Ahad, Ogos 12, 2012

Langit Tidak Selalu Cerah


Pintu bilik diketuk.

‘Masuklah, tak kunci pun!’, kata Kasim separuh menjerit.
Kelihatan kepala Wafi terjengul di muka pintu.
‘ Banyak lagi ke nak kena cover? Kau nak aku tolong apa-apa ke? ‘
‘ Sikit je lagi ni. Kejap lagi habislah. Esok dah kena exam balik. Fuhh berasap kepala aku! Entah apalah nasib aku, kena dur tahun ni ‘, ujar Kasim sambil merenggangkan tangannya.
‘ Relakslah bro. Kau nak tahu tak, sebenarnya aku jealous dengan kau. ‘
Kasim memandang Wafi kehairanan, meminta penjelasan.
‘ Sebab Allah pandang kau! ‘


  
Hendak berjaya itu bukan senang. Bila melihat teman-teman seperjuangan boleh lepas, tapi mengenangkan diri yang terkandas seketika, pastinya perit. Pahit!
Tapi segeralah buang rasa perit itu. Kerana di sebalik keperitan itu, Allah akan kurniakan hikmah yang manisnya lebih dari sekilang madu.

Bila Allah pandang.

Sabar itu kekuatan. Menenangkan.
Redha itu pula, merehatkan.
Seorang sahabat pernah bercerita pengalamannya berdur thani kepada saya. Katanya, ada senior yang cemburu dengan nasibnya itu. Saya terpaku. Ada pula jenis manusia yang begitu, cemburu kepada orang yang terpaksa melalui kesusahan. Seperti tidak kena tempat!

Lantas dia menyambung cerita. Katanya, senior itu cemburu kerana Allah memandang dirinya. Bayangkan dalam berjuta orang yang ada, sahabat saya itu terpilih untuk menerima ujian.  Di saat orang lain boleh mula mengemas buku-buku tahun sudah, dia masih lagi perlu membuka setiap helaian yang ada. Saya kagum padanya. Saya melihat ada kekuatan dalam dirinya sekarang. Mungkin kerana pengalaman yang mengajarnya menjadi sekuat itu. The chosen one.

Sebab Allah lebih tahu.

Kita ini jarang-jarang sekali hendak bersyukur. Sudahlah syukur pun  berkira, hendak mencari hikmah yang tersirat, seperti menunggu kucing bertanduklah jawabnya!
Hakikatnya banyak perkara yang kita tidak tahu, tapi itu semua rahsiaNya.

Dengan penuh kasih sayang Allah berfirman di dalam al-Quran mafhumnya,


Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. ‘ (Al-Baqarah : 216)

Mungkin hari ini kita sedih ditimpa ujian, tapi sesuatu yang kita perlu sematkan dan ingat, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Belajar bukan main susah, siang malam berkepit dengan buku tapi natijahnya tidak seberapa. Allah tangguhkan kejayaan buat sementara.Terbaik pada pandangan Allah, itulah yang terbaik untuk kita. Bersangka baiklah padaNya.

Dia Pencipta.
Kita yang dicipta.
Maka Pencipta lebih tahu nasib yang diciptakan.


Peluang kedua.
Ciptalah alat secanggih manapun, masa yang lepas sama sekali tidak akan beputar kembali. Dan kita akan terus bergerak ke usia seterusnya. Kata guru saya, peluang pertama memang tidak akan pernah sama dengan peluang seterusnya. Maka bersungguhlah!
Setiap masa akan ada peluang. Rebutlah selagi peluang itu ada. Biarlah bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
                     

Langit memang tidak akan selalu cerah. Tapi sedarlah, mendung yang muncul dan hujan yang turun boleh menyuburkan tanaman lain. Kadang-kadang kita masih kabur, tapi hikmah itu tetap ada!
Hidup ini bukanlah nilainya berpandukan natijah di atas sehelai kertas. Tapi bagaimana kita berusaha memaknakan keputusan yang kita peroleh dalam sebuah pentas kehidupan. Dan adakah kita benar-benar orang yang bersyukur dengan nikmat Tuhan?

 “Pasak Keilmuan Teguh Pemikiran”
“Kita PMRAM”

Nur Nadhira Fadzlin MD HANAFIAH 
Ahli Perubatan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 11/12

0 comments:

Catat Ulasan