Jumaat, Ogos 17, 2012

Sekali Rebah Tidak Mesti Jatuh Selamanya


Firman Allah SWT:  

”Sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu padamu, dan sekiranya kau Kufur maka azabKu amatlah pedih”

Tanggal 10 September 2007, tibalah saya di bumi mulia yang saya impikan selama ini. Saya telah memasang tekad untuk berada di bumi ini selama 4 tahun sahaja. Alhamdulillah doa saya diperkenankan olehNya yang Maha Kuasa. Dalam kegembiraan nikmat yang saya perolehi, satu saat saya telah diuji dengan ujian yang tidak dijangka sama sekali, saya telah kehilangan orang yang tersayang. “Inna lillahi wainna ilaihi roji’un”. Ya Allah!, waktu inilah saya imbau kembali Kalamullah yang sentiasa meniti dibibir Azhariyyun…. “Adakah kamu menyangka kamu beriman jika kamu tidak diuji”.

Sahabat-sahabat seperjuangan,

Salah satu perkara yang paling ditakuti oleh kita selaku Mahasiswa Al Azhar adalah “GAGAL!”. Apakah kita mampu berdepan dengan kenyataan ini? Setiap manusia menginginkan kejayaan dalam kehidupan mereka, tapi apakan daya itulah yang tercipta buat sementara. Saya selalu memotivasikan diri saya dan sahabat-sahabat saya: “ kalau kita tengok natijah kita yang rasib, sampai bila pun kita akan sedih dan terus berputus asa, tapi cuba kita tengok kemampuan kita untuk lulus 9  daripada 13 madah..”

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Mungkin saya tidak pernah merasai kegagalan semasa di sana, tetapi ingatlah sahabat-sahabat, kejayaan bukan diukur di atas kertas peperiksaan  sahaja, tetapi bagaimana kita memanfaatkan ilmu yang ada. Ingat sahabat-sahabat, jangan sesekali kalian meletakkan diri kalian sebagai golongan I’ADAH, tetapi letakkan diri anda sebagai MUSTAJIDDAH walaupun ianya menyukarkan tapi kalian JANGAN MUDAH REBAH!. Dalam Kitab yang suci Allah telah berfirman yang bermaksud: “ Boleh jadi kamu membenci  sesuatu padahal itulah yang terbaik buatmu, dan apa yang kamu sukakan itu padahal itulah yang tidak baik buatmu..”.

Ingatlah sahabat-sahabat, manusia mempunyai seketul hati yang sifatnya sentiasa berbolak-balik. Bardosa besarlah kita seandainya kita tergolong dalam golongan yang bersangka buruk dengan Allah SWT. Jadikanlah ujian ini sebagai batu loncatan untuk kita lebih Taqarrub kepadaNya. Saya ingin berkongsi satu kata-kata hikmah yang saya peroleh dari salah seorang sahabat, katanya: “Dekat mesir ni ada dua perkara sahaja yang perlu kita tahu,”:

Pertama: Tidak semestinya golongan yang gagal itu disebabkan mereka kurang berusaha.

Kedua:  Ingatlah pada golongan yang berjaya, sebenarnya anda berada di dua persimpangan, samada anda berjaya dengan KEBERKATAN atau kejayaan anda disusuli KEMURKAAN.

Untuk akhirnya, tiada manusia di muka bumi Allah ini mahukan kegagalan dalam hidup mereka, tetapi KEJAYAAN tidak mustahil untuk digenggam bersama. Ingatlah sahabat-sahabat, kalian bukanlah golongan yang gagal, tetapi KEJAYAAN kalian masih ditunda. Ianya akan tiba pada saat dan ketika yang telah ditetapkan olehNya, InsyAllah Biiznillahi Ta’ala.


"Pasak Keilmuan Teguh Pemikiran"
"Bersatu Bersama Ukhuwah"


Ustazah Mimi Kartini Suid
Ahli Setia
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir .

0 comments:

Catat Ulasan