Rabu, September 12, 2012

MENGAPA PERLU CELIK SEJARAH?




                Sejarah telah mencorakkan perjalanan sunnatullah yang telah berlaku dan tidak pernah berubah. Manusia sangat perlu mengetahui sejarah silam supaya mereka mampu memanfaatkan segala nikmat Allah S.W.T. , seterusnya mampu hidup dalam keselesaan hasil daripada peristiwa dan pengalaman golongan terdahulu dalam episod perjalanan silam. Sunnatullah yang telah berlaku pada masa silam tidak sekali-kali akan dapat diubah atau dipesongkan sepertimana firman-Nya di dalam surah Fathir ayat ke-43 yang bermaksud:

                "Maka kamu sesekali takkan dapat mengubah sunnatullah, dan tidak pula akan menemui penyimpangan bagi ketentuan Allah itu"

                Sunnatullah adalah suatu kaedah thabit yang telah ditetapkan oleh-Nya di dalam Al-Quran yang agung yang mampu untuk manusia pegang dan dijadikan panduan. Contoh yang mudah adalah api. Sifatnya adalah akan tetap membakar sehingga Hari Kiamat, walaupun  terdapat situasi yang terkecuali apabila api tidak membakar jasad Nabi Ibrahim A.S. Ini adalah suatu bentuk mu'jizat dan seseorang takkan mampu untuk meletakkan tangannya dalam maraan api, lalu mengatakan bahawa dirinya dianugerahi mu'jizat sepertimana Nabi ibrahim A.S. Maka, api adalah sesuatu yang diketahui sejak turun-temurun akan sifatnya yang membakar.

                Begitulah umpamanya sunnatullah yang telah thabit berlaku kepada umat-umat terdahulu. Mereka mengalami proses perubahan daripada lemah menjadi kuat, bahkan juga maju menjadi mundur. Setiap perjalanan yang dilalui oleh umat terdahulu, pasti ada pengakhirannya, dan perjalanan jatuh bangun itulah yang mampu dijadikan panduan dan strategi kehidupan manusia pada zaman kini.

                Apabila kita membaca sejarah dan membelek-belek halamannya, maka kita akan dapati bahawa sejarah telah mengalami suatu proses perubahan sama ada daripada yang positif kepada negatif, ataupun sebaliknya. Sejarah berulang-ulang dalam fenomena yang begitu menakjubkan. Tatkala kalian membaca peristiwa 1000 tahun yang lalu, seolah-olah kalian merasakan peristiwa tersebut berlaku semula pada zaman kini walaupun subjek dan wataknya adalah berbeza. Ini memberi erti bahawa ketika mana kalian membaca peristiwa silam, maka ketahuilah bahawa kalian sedang membaca peristiwa pada masa yang akan datang. Maka, perhatikanlah jalan yang dilalui pada zaman sekarang, lantas kalian akan dapat mengetahui pengakhirannya.
                Sejarah hitam yang telah melanda umat Islam di Bosnia dan Palestin berulang sepertimana peristiwa berdarah umat Islam di Andalusia suatu ketika dahulu (kini dikenali sebagai Sepanyol dan Portugal). 60 ribu umat Islam telah dibunuh dalam masa sehari suatu ketika dahulu di Valencia. 40 ribu muslim dibunuh dan 7000 ribu gadis dirogol dalam masa sehari di Barbusytar, Sepanyol. Juga 60 ribu muslim dibunuh dengan kejam dalam peristiwa berdarah di Ubbazah. Hanya watak dan plotnya sahaja berbeza dengan yang berlaku di Bosnia dan Palestin.
                Mukmin yang berakal tidak akan sekali-kali memulakan sesuatu perkara daripada sifar tanpa meneliti terlebih dahulu peristiwa yang telah menimpa manusia terdahulu, kerana ini akan menyebabkan mereka mengulangi semula kesilapan, dan akan mengalami pengakhiran nasib yang sama seperti umat terdahulu. Setiap titik hitam yang mencemarkan perjalanan silam itu perlu dikaji punca dan sebabnya sehingga umat Islam berhasil menghindari bencana asbab kesilapan yang sama, serta mendapat suatu pengakhiran perjalanan yang baik dan tidak menyesal di titik pengakhiran kelak.

Benarlah madah seorang filsuf barat, George Santayana:
                "Mereka yang tidak mampu mengingati sejarah bakal mengulangi kisah yang sama"

                Ayuh teman! Mulakan diri membelek dan meneliti kisah sejarah yang melanda umat Islam, ambillah 'ibrah yang tersurat dan tersirat, nescaya kita semua dapat terselamat daripada menimpa musibah yang serupa. Kegemilangan Islam suatu ketika dahulu juga tidak mustahil mampu untuk diulang kembali, asalkan sejarah diambil peduli.


"PASAK KEILMUAN, TEGUH PEMIKIRAN"
"MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN"

Nukilan :
Abd Naafiq Taqiuddin bin Roslan
Setiasusaha Agung
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2011/2012

0 comments:

Catat Ulasan