KARYA KREATIF : WARKAH BUATMU TEMAN


Berbisikkan namaMu ya Ilahi yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang serta Sang Pentaut hati…

إنه من سليمــن وإنه بسم الله الرحمــن الرحيم ألا تعلوا علي وأتونى مسلمين

Khusus buatmu TEMAN yang disayangi kerana Ilahi.
Sekujur tubuh yang lemah ini meninta rindu padaNya buat disampaikan padamu,
Sekalung rindu beserta seutas rantai tasbih ukhwah ku titipkan padamu,
Seluas lautan nil kesyukuran daku bentangkan padaNya
Yang telah  menghamparkan nikmat pertemuan yang sedetik nian,
Tiada dapat ku ungkap madah bicara hati ini saat sekian lama tiada ketemu,
Andai bisa ku kecapi semula nikmat ini,tikar sejadah ku rebah padaNya.

Ukhwah yang berbunga keranaNya pasti akan diuji dengan dedaun perpisahan,
Namun ranting-ranting pertemuan tetap bertahan pada sang pokok,
Kerana akarnya sangat ampuh walau dibidas dengan badai kesedihan.

Andai dikau mengerti wahai TEMAN,
Rimbunan kesibukanku di sini telah menenggelamkan buah rindu,
Pada memoirku yang dahulunya sangat ku rindui,
Sedikit sebanyak tiadalah aku lemas dalam kerinduan yang tiada batasan mahupun tepian,
Alhamdulillah kerana ku yakin dengan setiap cangkir janjiNya pada hambaNya yang meyakiniNya.

Bisikan dariku untukmu wahai sang pendamba cinta Allah,
Selimutilah jiwamu dengan kedinginan tahajud padaNya,
Rehatkanlah mindamu dengan kekhusyukan ibadah fardhu padaNya,
Jua rebahkanlah tubuhmu dengan sorongan bantal muhasabah keinsafan,
Tatkala tubir matamu ingin meninggalkan cerahnya dunia,
Agar istana syurga yang kita sama-sama impikan dapat kita jejaki dengan langkah-langkah keredhaanNya.

Sahutanku padamu wahai TEMAN yang dicintai,
Basahkanlah bibirmu dengan tadahan doa buat diriku yang sangat tiada berdaya ini,
Bukan mudah untukku menempuhi hidup seterusnya di sini dengan status yang berbeda,
Jutaan harapan dari tanah air mendambakan kejayaanku,
Agar aku segera menumpahkan bakti di Malaysia kelak,
Targetku selama empat tahun sahaja di sini,
Walaupun ku sedari tidak mencukupi untukku ku garapi segala ilmu yang ada,
Namun harapan-harapan mereka yang menanti jua harus ku tuntasi.

Buat madah terakhir dariku,
Ku layangkan ciuman ukhwah fillah dari perlembahan nil ini buatmu di perlembahan laut merah,
Harapanku memuncak ke awan melihat dikau tegar menjelajahi denai-denai dakwahdi lorongmu yang tersendiri,
Rempuhilah longgokan balak yang berada di hadapanmu,
Agar kau temui sebuah istana yang diilustrasikan daripada balak tersebut,  
Dan pertemuan kita yang abadi di istana syurgaNya kelak.

Fikir dan Zikir…

"Mujahid Profesional Mujahidah Intelektual"
"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"

Nukilan :
Ulfatun Nadzirah  Tugiman Razaq
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan 
BKASM sesi 12/13





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]