Jumaat, Mac 15, 2013

TINTA JUMAAT (ISLAM MENGUBAH ARAB)



       Disebutkan di dalam Fiqh Sirah karya Syeikh Said Ramadhan Al Buti,mengapakah Islam diturunkan di Tanah Arab yang tidak bertamadun,tiada pembangunan? Walhal di sekitarnya Parsi dan Rom,2 kuasa besar dunia yang agung ketika itu.Jawapannya mudah,kerana Allah s.w.t ingin menunjukkan kepada hambanya bahawa Islam adalah penyelesaian.

       Bangsa arab ketika jahiliyyah mereka,seperti bangsa yang tiada budi pekerti.Bunuh sana sini,merompak menganiaya,berperang sesama sendiri telah berubah menjadi bangsa yang menawan 2/3 dunia.Semuanya kerana Islam.

     Dari akal budi yang sebelumnya rendah dan tidak terkenal,dalam masa hanya seperempat abad,telah terbit rijal-rijal yang umpama bintang di malam hari.Dalam seperempat abad,tersusun seluruh Tanah Arab.Dalam setengah abad,tumbang kekuasaan kerajaan Parsi dan Rom.Dalam tiga perempat abad,menyeberang ke Semenanjung Iberia,tanah Andalusia.Dalam satu abad.telah mengetuk pintu kerajaan China!Semuanya berasal dari semangat ajaran Nabi Muhammad S.A.W.

     Daripada menyembah berhala,sebanyak orang sebanyak kabilah dan suku,mereka telah bersusun bahu menghadapkan muka kepada Allah s.w.t,Tuhan Sekalian Alam.

    Dahulu yang dipandang dalam kalangan arab ialah harta,kabilah,anak yang ramai dan keturunan.Taasub kabilah bukan kepalang.Berperang dan bergaduh dengan kabilah lain walaupun kabilah sendiri yang bersalah.Datangnya Islam menunjukkan yang utama ialah TAQWA.Adapun anak-pinak,harta dan kabilah jika menghalang taqwa maka tidaklah berguna.

     Islam datang menghapuskan taasub dan membanggakan perkauman sendiri.Islam menyeru bahawa semua manusia adalah sama.Yang membezakan ialah iman dan taqwa. Paling nyata Islam bukan untuk Arab sahaja bukan juga untuk satu-satu masa sahaja.Walaupun diturunkan dalam bahasa arab,seruannya untuk serata dunia.Setelah Islam tersebar keluar daripada Tanah Arab,hikmah hidup pula terdapat pada bangsa bukan arab seperti Parsi,Turki,India,Melayu dan sebagainya

     Khilafah Islamiah yang silih berganti sebagai bukti.Setelah Daulah Abbasiah gagal mempertahankan kedaulatannya atas nama Islam,Allah s.w.t gantikan pula dengan Daulah Uthmaniah yang berbangsa Turki.Bangsa mana sekalipun dan dari suku mana sekalipun pasti akan mulia dengan Islam.Seperti kata Saidina Umar R.A:

Kita adalah kaum yang dimuliakan kerana Islam.Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain Islam,pasti akan dihina Allah s.w.t

*Rujukan dan olahan dari Sejarah Umat Islam karya Prof. Dr. Hamka.

“PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN”
“KITA PMRAM”


HASIL NUKILAN:
FIKRY HAKIM BIN FADZILULLAH
TIMBALAN YANG DIPERTUA  1
BKASM SESI 2012/2013


0 comments:

Catat Ulasan