Jumaat, April 19, 2013

KEMBARA SALAFUSSOLEH BAHNASA:MENYEMAI CINTA DAN KASIH KEPADA ULAMA'



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir di bawah Lajnah Sambutan & Rehlah telah mengadakan ziarah makam, kembara salafussoleh ke Bahnasa pada 11 April 2013 disebelah ikhwah dan 13 April 2013  disebelah akhawat. Ziarah makam yang diadakan pada setiap tahun telah memilih Bahnasa sebagai destinasi pada tahun ini untuk lebih mendekatkan mahasiswa/wi Selangor dengan para auliya’ serta mengetahui sejarah bumi Bahnasa dimana banyak bersemadinya jasad para sahabat dan orang-orang yang mulia.

Seramai 110 orang siswa yang mendaftar mengikuti kembara ini manakala 121 siswi dan 9 orang barisan musyrif dari kalangan mutazawwijin dan musyrif yang dipilih telah menjayakan kembara salafussoleh ini. Para peserta seterusnya dibahagikan tempat duduk mengikut bas masing-masing bersama taakhi yang telah ditetapkan. Permusafiran ke Bahnasa dimulakan dengan solat hajat dan solat musafir. Perjalanan bermula pada jam 1.30 pagi dari asrama Selangor dan mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk sampai ke bumi Bahnasa.

Usai para peserta melaksanakan solat subuh di masjid, para peserta bersarapan sebelum memulakan ziarah pada jam 7 pagi. Makam pertama yang diziarahi ialah makam Qodi Ali Jamam dan sayyid Jaafar bin Ali yang terletak didalam kawasan sekitar masjid. Seterusnya perjalanan diteruskan melihat pokok tempat berteduh sayyidatina Maryam yang  juga berada dikawasan berhampiran.

 Antara lain makam yang diziarahi seperti makam Hassan ibn Yahya ibn Hassan al-Basri, sayyid Muhammad bin Abdullah Abdul Rahman bin Abu Bakar as-Siddiq, tempat beribadat nabi Isa, kubah Muhammad bin Abi Zar al-Ghifari, kubah Muhammad Abu Samarah dan fathulbab.

Selain itu, terdapat juga tempat yang sempat dilawati oleh para peserta yang mempunyai sejarahnya tersendiri seperti Bahru Yusufi. Sungai Bahru Yusufi yang mempunyai banyak kelebihan dan keajaiban ini telah dikorek dan digali oleh malaikat Jibril dengan sayapnya setelah diarahkan oleh Allah untuk nabi Yusuf AS. Air sungainya yang bercampur sedikit dengan air sungai Nil mengalir melimpah ruah hingga dapat menampung keperluan air beberapa buah perkampungan dan negeri sekitarnya.

Sebelum  kembali ke masjid untuk makan tengah hari dan solat,  para peserta telah menziarahi makam Khaulah al-Azwar terlebih dahulu. Serikandi yang dikatakan hidup di zaman khulafa’ ar-rasyidin ini telah menyertai banyak peperangan dan digelar al-asadiah kerana keberaniannya.

Kemudian, peserta diberi masa untuk berehat, makan tengah hari dan menunaikan solat jama’ taqdim zohor dan asar sebelum meneruskan perjalanan lebih kurang pada jam 1 tengah hari. Kembara diteruskan lagi menuju ke makam sayyidina Ziyad bin Abi Sufyan, makam Hasan bin Soleh bin Zainal Abidin, sayyidatina Ruqaiyah dan kubah al-badariyyin.

Setelah itu, para peserta berkemas untuk menaiki bas dan menziarahi dua tempat terakhir sebelum terus berangkat pulang.  Dua tempat yang diziarahi itu ialah makam Abdullah  at-takruri dan sab’u banat (7 wanita syuhada’). Dalam perjalanan ke dua tempat tersebut, para peserta telah melalui kawasan Majra Hasha atau Majra as-Sail yang dikatakan tempat mustajab doa kerana terdapat banyak makam syuhada’ disitu.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah menjadi penutup tirai kembara salafussoleh Bahnasa sebelum  pulang ke Kaherah. Peserta ikhwah bergerak pulang pada jam 3.00 petang menaiki satu bas dan satu coaster dan  tiba di Kaherah jam 7.00 malam. Manakala pada hari kembara Bahnasa peserta akhawat pula, dua buah bas dan satu coaster memulakan perjalanan pulang  meninggalkan bumi Bahnasa pada jam 4.30 petang. Para peserta mengerjakan solat jama’taqdim maghrib dan isyak dalam perjalanan pulang dan selamat tiba  pada jam 9.30 malam.

Pihak pelaksana mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh siswa dan siswi Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir yang menyertai Kembara salafussoleh ke Bahnasa diatas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Semoga objektif untuk menanam rasa cinta terhadap para auliya’ dan ulama, menambah thaqafah dan meribat ukhuwah antara kita tercapai.

Disediakan oleh :

Norsyafikah binti Abdul Razak
Setiausaha,
Kembara Salafussoleh Bahnasa
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir  12/13

0 comments:

Catat Ulasan