Jumaat, Jun 28, 2013

TINTA JUMAAT “ISLAMIS DEMOKRAT” SUATU BAHANA



Tujuan atau matlamat terbesar kita dijadikan di atas muka bumi ini adalah menegakkan hukum Allah taala. Bila mana tertegaknya hukum dan syariat Allah, maka kejayaan itu telah tiba dan makna penciptaan manusia telah mencapai hadafnya.

Secara umumnya, islamis demokrat bermaksud seseorang pendokong demokrasi yang bersifat islamik.Pada sudut pemahaman istilah ia memberi makna bahawa golongan ini adalah golongan Islam yang hanya beriman dan mahu   bergerak di atas ruang demokrasi yang dibuka oleh Islam. Mereka hanya menerima segmen demokrasi daripada Islam.

Namun, kesilapan sebahagian daripada orang islam yang terlibat dalam sistem ini menjadi keliru antara mana satu untuk dijadikan hadaf dan mana satu yang dijadikan sebagai wasilah. Lantaran timbullah istilah-istilah seperti “Islamis Demokrat”, atau dalam erti kata mudahnya, kami memperjuangkan demokrasi tanpa meninggalkan Islam.

Ini kerana terlalu banyak pemikiran yang meletakkan sifat kepada Islam sehingga seolah-olah wujud golongan yang memperjuangkan segmen tertentu daripada Islam, seperti hanya mendukung demokrasi dalam Islam, tetapi tidak cenderung kepada syariat islam.

Istilah ini sangat bertentangan dengan pemahaman dan ajaran yang dibawa nabi Muhammad s.a.w. Islam mengajar kita tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem demokrasi ini, apatah lagi ia dibuat dan digubal daripada barat.

Namun islam mengajar kita menggunakan peluang yang ada untuk menegakkan syariat islam walaupun peluang tersebut hanya ada 1%.Kerana itulah kita di Malaysia tetap menggunakan demokrasi itu, kerana kita tahu peluang yang ada itu tetap tidak akan disiakan.
Kemunculan aliran baru yang mendukung pemikiran ini yang kemudiannya dizahirkan untuk menolak kesyumulan   Islam.
     Mereka mahu Islam yang lebih diterima rakyat, Islam yang lebih demokratik, Islam yang berkebajikan dan  seumpamanya. Apakah Islam yang dibawa oleh Nabi SAW itu ditolak manusia, zalim dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat? Mengapa mereka melihat Islam secara yang sempit, dan hanya mahu beriman pada elemen demokrasi dalam Islam, tidak pada keseluruhan syariatnya?

ﺃﻓﺘﺆﻣﻨﻮﻥ ﺑﺒﻌﺾ ﺍﻟﻜﺘﺐ ﻭﺗﻜﻔﺮﻭﻥ ﺑﺒﻌﺾ

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagian kitab yang lain”

ﻳَﺎ ﺃَﻳُّﻬَﺎ ﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﺁﻣَﻨُﻮﺍ ﺍﺩْﺧُﻠُﻮﺍ ﻓِﻲ ﺍﻟﺴِّﻠْﻢِ ﻛَﺎﻓَّﺔً ﻭَﻟَﺎ ﺗَﺘَّﺒِﻌُﻮﺍ ﺧُﻄُﻮَﺍﺕِ ﺍﻟﺸَّﻴْﻄَﺎﻥِ ۚ ﺇِﻧَّﻪُ ﻟَﻜُﻢْ ﻋَﺪﻭٌّ ﻣُﺒِﻴﻦٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, anutilah Islam itu secara keseluruhannya, dan jangan kau mengikuti langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata”

ﺃَﻓَﻐَﻴْﺮَ ﺩِﻳﻦِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻳَﺒْﻐُﻮﻥَ ﻭَﻟَﻪُ ﺃَﺳْﻠَﻢَ ﻣَﻦْ ﻓِﻲ ﺍﻟﺴَّﻤَﺎﻭَﺍﺕِ ﻭَﺍﻟْﺄَﺭْﺽِ ﻃَﻮْﻋًﺎ ﻭَﻛَﺮْﻫًﺎ ﻭَﺇِﻟَﻴْﻪﻳُﺮْﺟَﻌُﻮﻥَِ

Dalam konteks kita hari ini, kerana amat berhajat kepada kuasa, tanpa hala tuju sebenar yang jelas, maka golongan ini dengan bangga mengisytiharkan kelahiran kumpulan mereka yang digelar “Islamist Democrat”.

Mereka mungkin orang-orang Islam yang beriman kepada demokrasi, lalu mereka menjadi kumpulan Islamis demokrat. Sebetulnya mereka ialah kumpulan “demokratis beragama Islam”.

Tidak pernah zahir dalam sejarah bahawa adanya kumpulan Islamis yang mendukung faham tertentu sahaja dalam Islam, seumpama menerima Islam pembangunan (hadhari) atau Islam demokrasi sahaja. Islam tetap Islam. Tidak ada Islam Demokrat, Islam Hadhari, Islam Liberal, Post Islam, Islam Progresif dan seumpamanya.

"PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN" 

Nukilan:
MUHAMMAD SUFI MOHD YUSOF  |
KETUA JABATAN FASILITATOR |
LAJNAH DAKWAH & TARBIAH |
 BKASM SESI 2011/2012



0 comments:

Catat Ulasan