TINTA JUMAAT (SYA’BAN : KUKUHKAN PERSEDIAAN)

Umat Islam baru sahaja beranjak keluar daripada bulan Rejab dan kini melangkah pula ke bulan Sya’ban.Maka,semakin hampir kita dengan madrasah Ramadhan,namun bagaimanakah persediaan kita dalam 

menghadapi bulan mulia ini?
Abu Bakr Al-Balkhi telah berkata : “ Bulan Rejab seperti angin,bulan Sya’ban bagaikan mendung dan bulan Ramadhan bagaikan hujan.Siapa yang tidak menanam di bulan Rejab,lalu tidak menyiram tanamannya di bulan Sya’ban,maka jangan harap ia boleh menuai hasil di bulan Ramadhan”
.
Bulan Sya’ban sebagai warm-up

Bagi yang kurang arif tentang persediaan untuk menghadapi Ramadhan,maka berulanglah episod Ramadhan seperti tahun-tahun terdahulu,melangkah ke bulan Ramadhan tanpa apa-apa persediaan,malahan (nauzubillah) sebahagian besar harinya di bulan Sya’ban dihidangkan dengan makanan dan minuman yang berlebihan serta aktiviti yang tidak berfaedah dengan alasan akan berpuasa panjang di bulan Ramadhan.

Terpilih dalam suatu pertandingan lumba lari 400 meter,bagaimana ingin memecut andai fizikal dan mental tidak bersedia?

Dengan air siraman apakah yang ingin kita basahkan pada tanah Sya’ban?
Beberapa amalan boleh kita lakukan dengan keyakinan agar Ramadhan kita nanti adalah Ramadhan yang sama,tetapi natijahnya adalah berbeza dan lebih baik; antaranya adalah:

·         Mulakan dengan taubat yang sebenar.Bertaubat adalah wajib setiap masa dan ketika.Firman Allah SWT : “Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah,hai sekalian orang mukmin,supaya engkau semua memperoleh kebahagiaan” (An-Nur:31)

·         Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan yakin bahawa Allah akan menerima kita sebagai tetamunya pada bulan Ramadhan ini.

·         Tambahkanlah pengetahuan dan ilmu tentang hukum-hukum puasa dan kelebihan bulan Ramadhan.

·         Berkumpullah bersama ahli keluarga,anak-anak serta isteri bagi berkongsi segala ilmu tentang hukum-hukum berpuasa serta sentiasa galakkan si kecil untuk berpuasa.Ahli keluarga kita di sini adalah ahli beit dan rakan-rakan Arab yang kita ada.Bergaullah bersama mereka dengan baik.

·         Sediakan bahan bacaan yang boleh dibaca di rumah khususnya mengenai bulan Ramadhan.Para imam pula boleh membacakan bahan bacaan ini kepada makmum.

·         Berpuasa pada bulan Sya’ban adalah persediaan yang baik untuk berpuasa di bulan Ramadhan.Kita berada di dalam bulan ini sekarang,adakah kita sedar atau tidak?Sama-sama kita teliti semula sabda baginda Nabi SAW ketika ditanya oleh Usamah Bin Zaid :

“Wahai Rasulullah,aku tidak pernah melihatmu memperbanyak berpuasa (selain Ramadhan) kecuali pada bulan Sya’ban?Rasulullah SAW menjawab : “Itulah bulan di mana manusia banyak melupakannya,iaitu antara Rejab dan Ramadhan.Di bulan itu segala perbuatan dan amal baik diangkat ke Tuhan semesta alam,maka aku ingin ketika amalku diangkat,aku dalam keadaan berpuasa”.(Hadith Riwayat Abu Dawud dan Nasa’ie)

·         Banyakkanlah membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran,ia adalah penawar dan terapi terbaik bagi hati.

Selamat menyiram tanaman amalan anda.Moga hasilnya dapat kita tuai bersama di madrasah Ramadhan nanti.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
اللهم آمين

"WITH TARBIAH WE LEAD UMMAH"
"PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN"

Nukilan :
Ustazah Nur Azimah Binti Shahtir 
Timb. Ketua Lajnah Dakwah Tarbiah 
BKASM sesi 2012/2013 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]