Selasa, Julai 30, 2013

RIBAT UKHUWAH:MAJLIS IFTOR BAKAL MAHASISWA SERIBU MENARA


  Sabtu | 27 Julai 2013 - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2012/2013 dengan kerjasama Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa bersama bakal mahasiswa/wi baru yang akan ke Mesir. Majlis ini telah diadakan di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bertempat di Shah Alam. Majlis tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 128 orang yang terdiri daripada 73 orang ikhwah dan 55 orang akhawat. Bukan itu sahaja,malah majlis berbuka puasa ini juga turut disertai oleh ibubapa mereka.


      Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sentiasa memandang berat terhadap kebajikan para pelajar Selangor khususnya di Mesir. Justeru itu, majlis berbuka puasa ini adalah merupakan salah satu bentuk kebajikan awal yang diberikan kepada bakal mahasiswa/wi baru. Antara objektif majlis berbuka puasa ini diadakan adalah untuk memberikan gambaran serta pendedahan awal kepada bakal mahasiswa/wi tentang kehidupan di Mesir. Selain itu, majlis tersebut bertujuan untuk merapatkan hubungan sillaturrahim antara mahasiswa/wi Mesir dan bakal mahasiswa/wi baru.

            Majlis bermula pada jam 12.00 tengahari dengan pendaftaran peserta. Kemudian, diteruskan dengan ucapan Yang Berhormat  Dr. Halimah binti Ali selaku Exco Pendidikan Pengajian Tinggi & Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor, sekaligus merasmikan program “Majlis Iftor Bakal Mahasiswa Seribu Menara”. Majlis diteruskan dengan sesi dialog bersama wakil Lembaga Zakat Selangor yang juga merupakan mantan Pegawai Hal Ehwal Pelajar Selangor Mesir iaitu Ustaz Mohd Faryzan bin Subkhi, wakil daripada ILMAM Ustaz Mohd Farhan bin Mazlan dan wakil daripada BKASM iaitu Ustaz Abd Mun’im bin Abd Sukor selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2012/2013.

            Slot motivasi bersama bakal mahasiswa/wi dikendalikan oleh Prof Madya Dato’ Dr. Ab. Halim Bin Tamuri (Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor) dan beliau juga merupakan salah seorang ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Beliau mengucapkan tahniah kepada bakal mahasiswa/wi yang berjaya melanjutkan pelajaran ke timur tengah serta memberikan kalam taujihat berupa kata-kata semangat supaya mereka meneguhkan pendirian untuk menuntut ilmu di Mesir.

            Seterusnya, bakal mahasiswa/wi dibahagikan mengikut bidang pelajaran masing-masing ketika slot ‘Halaqah Mahabbah’. Mereka diberi pendedahan mengenai subjek-subjek kuliah serta sedikit penerangan mengenai keadaan pembelajaran di kuliah oleh mahasiswa/wi yang lebih berpengalaman. Seterusnya mereka diberi Kursus Intensif bersama Ustaz Mohamad Norhan bin Hamsi (Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad ) . Majlis tamat sekitar jam 7.00 petang dengan majlis berbuka puasa.

Disediakan oleh,

(NURAISHAH BINTI ZAINUDDIN)
Timbalan Setiausaha,
Majlis Iftor Bakal Mahasiswa Seribu Menara,

BKASM sesi 2012/2013.




0 comments:

Catat Ulasan