Jumaat, Disember 06, 2013

DEMONSTRASI : SOLUSI ATAU POLUSI?

Mutakhir ini sering kali kita mendengar dan menyaksikan sendiri demonstrasi yang berlaku di sekitar kita. Demonstrasi yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menuntut kebenaran yang dinafikan oleh sebahagian pihak yang lain. Jadi, adakah demonstrasi ini salah satu jalan penyelesaian atau sebaliknya?Apa pula dari sudut hukumnya?

Suka untuk berkongsi sebuah artikel yang telah diterbitkan oleh MANHAL,PMRAM sebagai rujukan kita bersama.

Demonstrasi bermaksud tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan seumpamanya. Ia merupakan konsep atau wasilah dalam menyampaikan sesuatu perkara.  Disebabkan itu antara konsep dalam demonstrasi ialah mengadakan himpunan samada menyatakan sokongan atau bantahan, perarakan, rapat umum dan apa jua aktiviti yang melibatkan perhimpunan masyarakat yang ramai.

Maka hukum bagi demonstrasi adalah mengikut kepada tujuan dan wasilah yang digunakannya. Hal ini demikian kerana demonstrasi bukanlah tujuan utama, namun ia merupakan wasilah atau cara dalam menunjukkan sesuatu tujuan. Justeru dalam membincangkan hukum demonstrasi, kita lihat kepada jenis-jenisnya iaitu :

       - menunjukkan kekuatan islam dan ummat yang bersatu.
       -mencegah kemungkaran dan kezaliman serta menyeru ke arah perkara makruf.
       -menggunakan cara yang tidak bertentangan dengan syara' dan sebagai pemberitahuan secara 
        besar-besaran.
       -menggulingkan pemerintah islam yang adil.
       -mengangkat senjata.

Merujuk kepada jenis-jenis demonstrasi, maka para ulama' sepakat bahawa demonstrasi yang berbentuk untuk menggulingkan pemerintah yang adil dengan menggunakan cara yang tidak syarie iaitu menggunakan senjata  dan kekerasan, hukumnya adalah haram. Maksud firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat ke 59 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin dikalangan kamu"

Berkenaan ayat di atas, Imam At-Thabari menyifatkan ulul amri dalam ayat tesebut ialah ketua atau pemimpin berdasarkan hadith Nabi SAW yang menyuruh mentaati pemerintah selagimana di atas landasan yang benar.

Manakala demonstrasi yang berbentuk menuntut hak, menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan. Hal ini berdasarkan kepada dalil hukum asal bagi sesuatu perkara (selain dalam konteks ibadah)  adalah harus.

Demonstrasi adalah dalam konteks urusan dunia, tidak termasuk dalam konteks ibadah, maka hukum asal bagi konteks urusan dunia adalah harus dan terpulang kepada kebijaksaan manusia dalam menguruskan wasilah yang pelbagai dan sesuai dengan zaman mereka. Hal ini demikian kerana demonstrasi adalah wasilah kepada sesuatu tujuan yang ingin disampaikan. Maka sekiranya tujuan untuk menuntut hak yang dirampas dan keadilan yang sebenar dengan wasilah demonstrasi secara aman tanpa merancang menimbulkan huru-hara maka ia adalah diharuskan.

Dr.Yusuf Al-Qardhawi menerangkan 3 cara apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan kemungkaran, bahkan apabila mencegah sekiranya diam atau rahsia masih tidak berjaya, maka wajib ke atas ummat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencegahnya melalui :
                                                                             -undian pilihanraya
                                                                             -kuasa tentera
                                                                             -kuasa rakyat

Dalam konteks kuasa rakyat adalah termasuk sekali dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat  tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah.

Pebahasan ini adalah merujuk kepada perbahasan mencegah kemungkaran melalui 3 peringkat yang disuruh oleh Nabi SAW dalam sabdanya :
"Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran , maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman " -HR Muslim-

Dan Nabi SAW juga bersabda yang diriwayatkan oleh Anas RA yang bermaksud : " Bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Maka bertanya sahabat, 'Wahai Rasulullah, aku mengetahui bahawa  untuk membantu orang yang dizalimi maka bagaimana cara untuk membantu orang yang zalim?' Maka jawab Nabi SAW,' menghalangnya atau mencegahnya daripada berterusan melakukan kezaliman maka demikian kamu telah membantunya".



Semoga segala usaha rakyat di seluruh pelosok dunia yang mahu kebenaran tertegak di bumi Allah ini dengan berwasilahkan cara yang menepati syara' sentiasa diberi nusrah oleh Allah. Kemenangan Islam itu pasti dicapai suatu hari nanti

Artikel Asal : Manhal PMRAM
Nukilan:Mardhiah Binti Ibrahim
               Timbalan Lajnah Penempatan dan Perumahan

               BKASM 2012/2013

0 comments:

Catat Ulasan