SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Ahad, Februari 10, 2013

KURSUS PROTOKOL YANG JULUNG KALI DILAKSANAKAN






KAHERAH, 9 Feb 2013  --    Kursus Etiket Sosial dan Pengucapan awam anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) siri yang pertama telah berlangsung dengan jayanya pada 9 Febuari 2013 pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang tadi.

Program ini telah diadakan di ruang surau asrama pelajar Selangor Hayyu Asyir dengan kehadiran peserta seramai lebih kurang 70 orang. Antara yang dipelajari ialah Bengkel Protokol dan Bengkel Penulisan Khutbah.

Program tersebut dimulakan dengan majlis perasmian yang dirasmikan oleh BP PMRAM angkat BKAN Selangor, iaitu Saudara Abdul Hadi bin Jusoh. Beliau mengingatkan bahawa bukan setakat ilmu turasi sahaja sudah memadai untuk berjuang, bahkan ilmu amali perlu ada di setiap muslim untuk kita memperjuangkan agama Islam itu sendiri dan akhirnya mencapai kemenangan.

Antara yang menarik dalam kursus ini ialah pengisi slot itu sendiri, iaitu Ustaz Mohd Faryzan bin Subkhi selaku Pegawai HEP Selangor dan juga selaku Panel Penggubal Khutbah  JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Tidak dilupakan juga isterinya, Puan Nur Atiqah Catherine selaku orang yang berpengalaman dalam bidang Protokol ini turut bersama dalam melancarkan kursus ini. Ini juga merupakan program terakhir mereka sebelum mereka pulang ke tanah air untuk meneruskan lagi khidmat di sana.

Selepas perasmian, acara diteruskan dengan slot pertama iaitu slot ‘Bengkel Protokol’ daripada Puan Nur Atiqah Catherine dan diakhiri oleh Ustaz Mohd Faryzan bin Subkhi untuk slot ‘Bengkel Penulisan Khutbah’. Kursus akan diteruskan lagi untuk siri yang kedua, iaitu pada 16 Febuari 2013 dan juga merupakan siri yang terakhir untuk Kursus Etiket Sosial dan Pengucapan Awam ini.

"MUJAHID PROFESIONAL , MUJAHIDAH INTELEKTUAL"
"KITA PMRAM"

Disediakan oleh : 

Ustaz Abdul Basit Bin Ruslim 
Setiausaha Kursus Etiket & Pengucapan Awam siri 1
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir 12/13 dengan kerjasama Pegawai HEP Selangor Mesir


Jumaat, Februari 08, 2013

TINTA JUMAAT -15 (Jiddiyah Asas Kebangkitan Jundullah)



       “Kita akan gunakan kekuatan secara maksima sehingga orang Palestina akan mendatangi kita dengan merangkak.”  - Rafael Eitan,ketua Tentera Israel.

“Tiap orang harus bergerak, berlari dan merebut puncak bukit sebanyak mungkin untuk memperluas pemukiman kerana apa yang kita rebut hari ini akan menjadi milik kita untuk selamanya. Apa yang tidak kita rebut akan menjadi milik mereka.” - Ariel Sharon, mantan Perdana Menteri Israel.

Lihatlah betapa hebatnya sifat  jiddiyyah  (kesungguhan)  mereka untuk merampas hak islam,maka tidak hairanlah jika hari ini kita lihat mereka berjaya merampas hampir keseluruhan tanah palestin. 

Sejarah pernah melakarkan bahawa  umat islam suatu masa dahulu, bukan sahaja memiliki keseluruhan bumi palestin bahkan lebih lagi,hampir 2/3 dunia.namun, dimanakah sifat jiddiyah kita untuk mempertahankan dan mengambil kembali hak umat islam pada hari ini?

Mujahid dan mujahidah islam sekalian,

Ya, Cita-cita kita tinggi, ingin mendapat kemenangan dalam setiap pertempuran, ingin membina kembali daulah islamiah, tetapi, adakah sifat jiddiyah kita juga setinggi cita-cita kita? Kemenangan adalah suatu yang dicita ,Namun kemenangan tersebut  tidak mungkin dicapai dengan hanya menaruh harapan dan cita,tanpa melunaskan syarat kemenangan.

Antara syarat mencapai kemenangan yang sepatutnya ditanamkan untuk mengaplikasikan sifat jiddiyah yang jitu.Habib Umar pernah menyebut 3 syarat kepada sifat jiddiyah yang perlu kita amalkan:

1) Al-Istijabati al-fauriyah (menyahut dengan segera)

Jadilah mukmin sejati yang apabila mendapat perintah dari Allah, dia akan menyahut dengan segera,tanpa ragu,tidak malas dan tidak bertangguh.Apabila di seru untuk menegakkan kebenaran dan membenanamkan kebatilan,mereka jugalah yang berani menyahut seruan.

2) Al-‘Azmu al-qowiy (keazaman yang kuat)

Dalam melakukan sesuatu perkara kita perlulah meletakkan keazaman yang tinggi kerana kita memikul amanah ilahi yang sudah pasti menggalasnya tidak semudah memetik jari.Dengan keazaman yang tinggi, pasti segala cabaran yang datang,kita akan tempuhi sehingga apa yang kita impikan menjadi realiti.

3) Al-Musobarah (tabah dan istiqamah)

Ingatlah,fitrah kehidupan didunia adalah cabaran dan ujian.Laluilah kehidupan ini dengan menghalusi jalan kehidupan seorang mukmin yang sebenar.Tidak ramai yang mampu bertahan dengan tali Allah  yang benar ini hingga akhir hayat,Sabar dan istiqomahlah dalam menulusuri jalan ini.

Kesimpulannya,jika cita-cita kita besar,pastinya cabarannya juga besar,Pastikanlah jiwa kita juga besar untuk menghadapinya dan insyaAllah hasilnya nanti juga adalah kemenangan yang berlipat kali ganda.Selain itu, ingatlah, bagi mencapai kemenangan yang besar,perlu mulakan dengan sekecil-kecil perkara dan pastikan sifat jiddiyah kita sentiasa ada dan berterusan dalam setiap amal yang kita lakukan,walau dalam  sekecil-kecil amalan.

“MUJAHID PROFESIONAL , MUJAHIDAH  INTELEKTUAL”
“KITA PMRAM”

HASIL NUKILAN:

USTAZAH SITI SYAKIRAH BINTI ISMAIL
TIMBALAN  KETUA LAJNAH KESENIAN & SUKAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR 12/13







Sumbangan 3 Penjuru : BKASM cakna berkaitan kebajikan ahli




KHAMIS,7 FEBRUARI 2013- Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir, di bawah lajnah kebajikan BKASM sesi 12/13 telah mengambil inisiatif mengutip  sumbangan di setiap rumah  ahli BKASM untuk diberikan kepada  saudara-saudara kita yang ditimpa musibah baru-baru ini, antaranya Ustaz Salehuddin Bin Hatwi, Ustaz Azlan Bin Alias dan Ustaz Farid Bin Mohd Arif. Alhamdulillah, dengan hasil kutipan ini dapat menampung serba sedikit kos kerugian yang ditimpa oleh mereka.

BKASM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli kerana memberi kerjasama yang amat baik dalam membantu  ahli kita.Bersama kita jayakan pembawaan BKASM sesi 12/13 iaitu “Bersatu Berkebajikan”.

“Bersatu Berkebajikan”
“Kita PMRAM”

Muhamad Hafiz Naim Raduan
Ketua Lajnah Kebajikan,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir,
Sesi 2012/2013.


Rabu, Februari 06, 2013

WARKAH TARBIAH 4 (Ar-Rijal)


Allah s.w.t berfirman :
"Dan andaikata mereka itu bersikap benar terhadap Allah, pastilah hal itu amat baik untuk mereka sendiri."
(Muhammad : 21)

Nabi Muhammad SAW bersabda :
"Tinggalkan apa-apa yang meragukan hatimu (jangan terus melakukan) dan berpindahlah kepada apa-apa yang tidak meragukan hatimu iaitu hatimu tenang apabila melakukannya. Maka sesungguhnya bersikap benar itu adalah ketenangan dan berdusta itu menimbulkan kesangsian."
(Riwayat At-Tirmizi)

Istifadah yang dapat kita sama-sama belajar adalah, kata As-Sidqu yang bererti benar itu, maksudnya tidak hanya benar dalam perbicaraan sahaja, tetapi benar dari sudut perbuatan juga. Maka inilah yang dimakasudkan oleh Nabi SAW iaitu jalan kebaikan yang menuju ke syurga.

Sewajibnya kita selaku Ar-Rijal yang sedang menuntut ilmu di Mesir ini, perlu menyedari akan perihal wajibnya berjemaah apatahlagi kita di zaman ketandusan khilafah Islamiah yang boleh memegang seluruh urusan umat Islam. Tanggungjawab ini sedang berada dibahu-bahu kita. Wajib merealisasikan aqidah yang sorih, ibadah yang sohih kerana ini tunjang tarbiah asas kekuatan kita semua. Kaum kuffar goyah melihat apabila kita semua bersatu. Perhalusi setiap tindakan aqal dan perbuatan kita, supaya setiap nas al-quran dan hadith sentiasa menjadi panduan seharian. Kerana Allah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang mengikuti jalan-Nya. Di sini

"WITH TARBIAH WE LEAD UMMAH"
"KITA PMRAM"

Ustaz Mohd Ikrami bin Daim
Ketua Lajnah Dakwah &Tarbiah 12/13
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) 

Sabtu, Februari 02, 2013

BKASM MENERUSKAN USAHA MENGHANTAR PROPOSAL ASRAMA BARU KEPADA YB DR HJ ABDUL RANI OSMAN




RABU,26 JANUARI 2013,Pejabat HEP Selangor Mesir dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah menganjurkan Ramah Mesra Bersama YB Dr Hj Abdul Rani Osman Timbalan Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor di Musolla Darul Ehsan,Haiyu Asyir.

Pertemuan tersebut diusahakan sebagai simbol keperihatinan kerajaan negeri terhadap anak-anak Selangor yang berada di Mesir dan pada masa yang mewujudkan sebuah perkongsian masalah , maklumat dan pendapat di antara para-pelajar dan kerajaan negeri. Antara pesanan yang ditekankan kepada Mahasiswa Mesir khususnya ialah :

“Bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran.Selain itu juga,bukan hanya belajar sahaja,perlulah seiring ilmu dengan amalan ketika mempraktikkan ilmu tersebut.Semoga menjadi printis contoh tauladan setiap lapisan masyarakat khususnya di Selangor kelak.”
           
               Sebelum berakhirnya ramah mesra , sebuah  proposal permohonan asrama baru telah disampaikan oleh Ustaz Abd Mun’im Abd Sukor selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2012/2013 kepada YB Dr Hj Abdul Rani Osman Timbalan Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor. Penghantaran proposal ini merupakan salah satu usaha BKASM selama hampir 3 tahun bagi membantu menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak Selangor di Mesir.
          
             Harapan BKASM kepada Seluruh anak-anak Selangor di Mesir agar sentiasa mengambil peluang bagi mendapatkan maklumat isu semasa secara jelas dari pihak berwajib khususnya isu yang berkaitan dengan negeri Selangor masa kini. Pada masa yang sama, BKASM juga mengharapkan permohonan proposal ini mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berwajib kerana ia merupakan sebuah tanggungjawab bersama yang sangat ditekan Islam kepada umat.

Pasak Keilmuan Teguh Pemikiran
Kita PMRAM

Muhammad Salihin bin Abdullah
Setiausaha Agung ,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir,
Sesi 2012/2013.