SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Sabtu, Mac 30, 2013

TINTA JUMAAT (UBATILAH HATIMU)



   
Hanya seorang hamba yang benar-benar merasai sifat kehambaannya kepada ALLAH akan menjaga hatinya.Hati tempat berhubung antara seorang hamba dengan pencipta.Ia perlu dijaga dan dicuci sekerapnya agar ALLAH senang menyentuh hati hambaNYA.Seumpama sebuah gelas yang sudah berhabuk,apabila dituangkan kedalamnya air,air itu tetap berubah menjadi kotor.

Bagi mendapatkan air yang bersih,gelas itu perlu dibasuh terlebih dahulu,kemudian isilah dengan air.Pasti hasilnya air itu jernih.Begitu juga dengan hati kita,apabila sudah bercampur dengan penyakit dan dosa,jika hendak terus mengamalkan kebaikan,amat sukar untuk hati itu untuk menerimanya dalam keadaan ianya masih sakit.Hakikatnya,cucilah hati itu dan ubatilah ia,pasti ia akan memantulkan sinar iman dan biasan taqwa yang luar biasa.

Mafhum hadith Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging,jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya,dan apabila ia buruk maka buruklah seluruh tubuhnya.Ingatlah ianya adalah hati”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ubat hati itu ada lima perkara.

Baca al-Qur’an dan Hayati Maknanya
Firman ALLAH s.w.t:
“Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

Solat Malam
Hadith Rasulullah s.a.w:
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - Hadis riwayat Imam Muslim

Puasa
Firman ALLAH s.w.t:
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) maka hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain." (al-baqarah:183)

Zikir
Firman ALLAH s.w.t:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayatNYA kepada mereka,bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal” (al-anfal:2)

Berkumpul dengan orang-orang soleh
Mafhum hadith Rasulullah s.a.w:
“Seseorang tergantung agama teman dekatnya, maka hendaknya kalian memerhatikan siapakah teman dekatnya.” (HR. Ahmad).
Justeru,marilah sama-sama kita memperbaiki keadaan hati kita.Urusan hati merupakan urusan antara kita dengan ALLAH.Kalam saidina Ali Radhiallahu anh:

“Sesiapa yang memperbaiki urusan akhiratnya,nescaya ALLAH s.w.t akan memperbaiki urusan dunianya.”
Wallahua’lam


‘GENERASI RABBANI PELAPIS TARBAWI TRANSFORMASI UMMAH BERKUALITI’
‘KITA PMRAM’

Nukilan : 

Ustaz Asraf Bin Alias 
Ketua Lajnah Ekonomi 
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM 12/13)

Jumaat, Mac 15, 2013

TINTA JUMAAT (ISLAM MENGUBAH ARAB)



       Disebutkan di dalam Fiqh Sirah karya Syeikh Said Ramadhan Al Buti,mengapakah Islam diturunkan di Tanah Arab yang tidak bertamadun,tiada pembangunan? Walhal di sekitarnya Parsi dan Rom,2 kuasa besar dunia yang agung ketika itu.Jawapannya mudah,kerana Allah s.w.t ingin menunjukkan kepada hambanya bahawa Islam adalah penyelesaian.

       Bangsa arab ketika jahiliyyah mereka,seperti bangsa yang tiada budi pekerti.Bunuh sana sini,merompak menganiaya,berperang sesama sendiri telah berubah menjadi bangsa yang menawan 2/3 dunia.Semuanya kerana Islam.

     Dari akal budi yang sebelumnya rendah dan tidak terkenal,dalam masa hanya seperempat abad,telah terbit rijal-rijal yang umpama bintang di malam hari.Dalam seperempat abad,tersusun seluruh Tanah Arab.Dalam setengah abad,tumbang kekuasaan kerajaan Parsi dan Rom.Dalam tiga perempat abad,menyeberang ke Semenanjung Iberia,tanah Andalusia.Dalam satu abad.telah mengetuk pintu kerajaan China!Semuanya berasal dari semangat ajaran Nabi Muhammad S.A.W.

     Daripada menyembah berhala,sebanyak orang sebanyak kabilah dan suku,mereka telah bersusun bahu menghadapkan muka kepada Allah s.w.t,Tuhan Sekalian Alam.

    Dahulu yang dipandang dalam kalangan arab ialah harta,kabilah,anak yang ramai dan keturunan.Taasub kabilah bukan kepalang.Berperang dan bergaduh dengan kabilah lain walaupun kabilah sendiri yang bersalah.Datangnya Islam menunjukkan yang utama ialah TAQWA.Adapun anak-pinak,harta dan kabilah jika menghalang taqwa maka tidaklah berguna.

     Islam datang menghapuskan taasub dan membanggakan perkauman sendiri.Islam menyeru bahawa semua manusia adalah sama.Yang membezakan ialah iman dan taqwa. Paling nyata Islam bukan untuk Arab sahaja bukan juga untuk satu-satu masa sahaja.Walaupun diturunkan dalam bahasa arab,seruannya untuk serata dunia.Setelah Islam tersebar keluar daripada Tanah Arab,hikmah hidup pula terdapat pada bangsa bukan arab seperti Parsi,Turki,India,Melayu dan sebagainya

     Khilafah Islamiah yang silih berganti sebagai bukti.Setelah Daulah Abbasiah gagal mempertahankan kedaulatannya atas nama Islam,Allah s.w.t gantikan pula dengan Daulah Uthmaniah yang berbangsa Turki.Bangsa mana sekalipun dan dari suku mana sekalipun pasti akan mulia dengan Islam.Seperti kata Saidina Umar R.A:

Kita adalah kaum yang dimuliakan kerana Islam.Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain Islam,pasti akan dihina Allah s.w.t

*Rujukan dan olahan dari Sejarah Umat Islam karya Prof. Dr. Hamka.

“PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN”
“KITA PMRAM”


HASIL NUKILAN:
FIKRY HAKIM BIN FADZILULLAH
TIMBALAN YANG DIPERTUA  1
BKASM SESI 2012/2013


Ahad, Mac 03, 2013

SMILE’13:KEMBARA SYITA’ DAMIETTA



              Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir di bawah Lajnah Sambutan & Rehlah telah mengadakan jaulah ke bumi Dumyat berkesinambungan daripada hari keluarga siswi Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir , Simulasi Ukhuwwah Siswi (SMILE ’13) pada 20hb Februari 2013 bersamaan 10 Rabiul Akhir 1434H.

              Seramai 143 orang siswi dan 7 orang barisan musyrif dari kalangan mutazawwijin dan musyrif dari Dumyat bersama menjayakan Kembara Syita’ Damietta ’13. Pendaftaran dibuka kepada peserta di maktabah dan seterusnya dibahagikan untuk tempat duduk di bas berdasarkan senarai kumpulan yang telah ditetapkan.Permusafiran ke bumi Dumyat dimulakan dengan solat sunat musafir dan solat sunat hajat. Perjalanan ke          Dumyat bermula pada pukul 2.15 pagi dari Hayyu Asyir, Kaherah dan dimulakan dengan bacaan doa oleh musyrif didalam setiap bas dan perjalanan mengambil masa selama 3 jam 30 minit untuk tiba di Dumyat Jadid untuk menunaikan solat fardhu Subuh.

            Selepas menunaikan solat fadhu Subuh, para peserta bersarapan di dalam bas sementara menuju ke Pantai Kerang untuk meneruskan aktiviti Kembara Syita’ Damietta ’13. Setelah tiba di Pantai Kerang,mahasisiwi intelektual diberikan sedikit taklimat tentang tentatif dan dibahagikan mengikut kumpulan sepertimana SMILE ’13 seterusnya mendengar kalam dari Yang Dipertua II , Ustazah Siti Aisyah bt Ismail. Aktiviti diteruskan dengan senamrobik seterusnya siswi diberi peluang untuk mengutip kerang dan melakukan aktiviti bebas. Sebahagian siswi membakar ayam BBQ untuk santapan tengahari buat seluruh peserta Kembara Syita          Damietta ’13.

         Tepat jam 12.00 tengahari peserta Kembara Syita’ Damietta meneruskan jaulah ke Masjid Amru al- Asr dan menziarahi makam seorang ulama yang merupakan salah seorang dari tiga Muhajirin yang berhijrah ke Mesir. Masjid Amru al-Asr ini merupakan masjid yang pertama di Mesir menurut penjaga masjid tersebut.Struktur binaannya sama seperti Masjid Amru al-Asr di Kaherah.Para peserta menunaikan solat Jama’ Taqdim Zohor & Asar di masjid ini.

          Perjalanan diteruskan lagi ke tempat pembinaan kapal yang terdapat di bumi Dumyat. Terdapat rangka-rangka kapal yang masih di dalam proses pembinaan yang mana sebahagian besar menggunakan tenaga manusia dan sangat menarik perhatian para peserta Kembara Syita’ Damietta ’13. Seterusnya menuju ke destinasi yang dinanti oleh setiap peserta iaitu Ro’sul Bahr yang mana terdapat pertemuan antara Laut Mediterrinian dan Sungai Nil yang tidak bercampur air dan isinya yang membuktikan kekuasaan penciptaan Allah Taala.Ro’sul Bahr ini juga mengisahkan tentang pertemuan antara Nabi Musa dan Nabi Khidir .

          Peserta menunaikan Solat Jama’ Taqdim Maghrib dan Isya di Ro’sul Bahr.Tepat jam 8.00 malam peserta  Kembara Syita’ Damietta memulakan perjalanan pulang ke Kaherah dan selamat tiba di Kaherah tepat jam 12.00 malam.

           Pihak pelaksana mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh siswi Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir yang menyertai Kembara Syita’ Damietta ‘13 diatas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan jaulah tahunan kali ini.Semoga objektif untuk merapatkan ukhuwwah di antara kita tercapai.


Disediakan oleh:

Hanis Madihah bt Meor Hamdan
Pengarah,
Kembara Syita’ Damietta ‘13
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2012/2013

TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA RED GIANTS PMRAM CAWANGAN SELANGOR



Pada 10-12 Februari yang lalu, telah berlangsungnya satu kejohanan bola sepak anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir  yang dinamakan Piala Malaysia(MASCUP ’13) yang bertemakan ‘SATU PIALA, SATU PERJUANGAN’. Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dibawah Lajnah Kesenian dan Sukan telah menghantar satu pasukan yang terdiri dari 2 orang pegawai dan 13 orang pemain untuk sama-sama merebut satu piala yang diimpikan bersama-sama 24 pasukan yang lain yang terdiri dari seluruh BKAN  dan DPM.

Pasukan ‘Red Giants’ diundi didalam kumpulan D bersama-sama pasukan dari Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Mansourah dan Zaqaziq. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua ahli pasukan membuahkan hasil yang berharga apabila layak ke pusingan suku akhir bersama-sama pasukan dari Mansourah.

Di peringkat suku akhir, pasukan Selangor berentap dengan pasukan Kedah di mana masa permainan ditambah kepada 10 minit separuh permainan.berbanding sebelum ini di peringkat kumpulan yang menggunakan format 7 minit separuh permainan. Kesyukuran di panjatkan kepada Allah apabila sekali lagi pasukan Red Giant melangkah ke peringkat seterusnya iaitu ke separuh akhir selepas Berjaya menawaskan pasukan Sang Kenari dengan keputusan 1-0. Di peringkat separuh akhir, pasukan Selangor bertemu pasukan Tok Gajah, yang merupakan BKAN taakhi kepada pasukan Selangor iatu Pahang, namun apakan daya, takdir Ilahi telah menetapkan perjuangan pasukan Red Giant hanya sampai diperingkat separuh akhir sahaja apabila tewas tipis kepada pasukan Pahang 1-0 dengan kedua-dua pasukan menunjukkan kesungguhan yang begitu tinggi.

Di peringkat penentuan ketiga dan keempat, pasukan Selangor tewas kepada pasukan Dumyat dengan perlawanan yang berformatkan hanya sepakan penalti.

Sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada para pemain, penyokong mahupun yang terlibat secara langsung atau tidak langsung  yang bertungkus lumus berusaha sepanjang kejohanan ini dilaksanakan. Harapannya, semoga semangat dan azam di dalam kejohanan ini diteruskan dalam kehidupan dan pada masa akan datang.

“ SATU PIALA SATU PERJUANGAN “
“ PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN ”


Muhammad Faez Ehsan bin Mohd Supian
Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2012/2013

GRANDS’13 BKASM MENDAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN




KAHERAH, 19 Feb 2013 – Grand’s atau nama lainnya “Gathering Together With Selangorians 2013” adalah satu nama bagi Sambutan Hari Keluarga khas untuk anak-anak Selangor Ikhwah di perlembahan Nil ini yang telah diadakan selama tiga hari iaitu pada 16, 17 dan 18 Febuari 2013.

Sambutan Hari Keluarga pada kali ini amat menggalakkan berbanding tahun-tahun yang lepas dengan pendaftaran peserta seramai lebih kurang 150 orang dari Kaherah dan wakil Muhafazoh. Untuk pengetahuan semua, ini adalah julung-julung kalinya Hari Keluarga dilaksanakan di Ain Sukhna, iaitu di sebuah kawasan pantai Meditrranean yang terletak kira-kira 100 Kilometer daripada Kaherah. Tempat tersebut juga merupakan antara penarik kepada ahli untuk menyertai Sambutan Hari Keluarga pada tahun ini.

Program dimulakan pada malam hari pertama dengan diskusi kitab yang bertajuk “Taakhi Baina al-Muslimin” karangan Doktor Ragib al-Sarjani yang dipimpin oleh saudara Mohd Qutaibah b. Mohamed, merupakan Badan Pengurus PMRAM sesi 2012. Kemudian, program diteruskan dengan pembahagian kumpulan dan diakhiri dengan makan malam.

Hari kedua program diadakan di Ain Sukhna. Program dimulakan dengan Majlis Perasmian Grands’13 yang juga dirasmikan oleh saudara Abdul Naafiq Taqiuddin b. Mohd Roslan selaku wakil BP PMRAM yang hadir dan beliau juga merupakan ahli BKASM. Antara aktivit-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang berada di sana ialah sukaneka pada waktu pagi hingga tengah hari. Kemudian acara diteruskan dengan makan tengah hari berlaukkan ayam BBQ dan  bersolat secara berjama’ah jama’ taqdim dan diakhiri dengan ‘Ice Breaking’ setiap kumpulan. Setelah itu, semua peserta pulang ke Kaherah pada jam 4.20 petang.

Hari terakhir Sambutan Hari Keluarga tersebut dilakukan di Dataran Hayyu Asyir. Acara dimulakan dengan Senamrobik. Kemudian diteruskan dengan Bola Tampar untuk acara Outdoor. Setelah tamatnya Bola Tampar, acara diteruskan lagi dengan Futsal dan dimulakan serentak dengan acara Indoor, iaitu FIFA 13, PES 13, Chess, Sahiba, Carrom dan Ping-Pong yang dilakukan di Musolla dan Lobby Asrama Rumah Selangor.
Pada malamnya, program diteruskan dengan ‘Malam Kebudayaan’ dengan persembahan setiap kumpulan. Setiap kumpulan telah ditugaskan dengan tugasan masing-masing. Ada yang bernasyid, berlakon, Pentomen, Dikir barat dan sebagainya yang juga bertempat di Musolla Asrama Rumah Selangor. Acara tersebut cukup meriah dan lucu dengan gelagat dan persembahan setiap kumpulan.

Manakala Majlis Penutupan GRANDS’13 telah diadakan pada 21 Febuari 2013 di Musolla Asrama Rumah Selangor, iaitu tiga hari selepas berakhirnya Sambutan Hari Keluarga. Majlis Penutupan tersebut dimeriahkan dengan gabungan Hari Keluarga Selangor disebelah Akhwat dan Majlis Wida’ untuk Ustaz Mohd Faryzan b. Subkhi dan sekeluarga yang merupakan mantan Pegawai HEP Selangor. Beliau telah berkhidmat selama dua tahun sejak penghujung 2010 sehingga awal 2013. Jasa beliau amat kami hargai dan sanjungi serta semoga Allah membalas segala usaha beliau selama berkhidmat di bumi Mesir ini.

"STAND TOGETHER UNITE FOREVER"
"KITA PMRAM".

Disediakan Oleh :

Abdul Basit bin Ruslim
Setiausaha GRAND'S 13
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) 12/13 




BKASM TURUN PADANG KE RUMAH MUTAZWWIJIN




SABTU,2 MAC 2013 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2012/2013 yang diwakili Ustaz Abd Mun’im Abd Sukor Yang Di-Pertua BKASM sesi 2012/2013 turun padang ke rumah Ustaz Muhd Bazli Zakaria sekeluarga (Baitul Muslim Cawangan Selangor) di Hayyu Sabiek.Sedikit cenderahati diberikan kepada Ustaz Muhd Bazli Zakaria sekeluarga sebagai tanda kenang-kenangan daripada pihak PMRAM cawangan Selangor.

Kepimpinan BKASM sesi 2012/2013 mengucapkan tahniah kepada Ustaz Muhammad Bazli Zakaria sekeluarga dengan kelahiran puteri sulong yang bernama Zainab An-Nabawiyyah.Dengan kelahiran cahaya mata yang baru ini dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan Ustaz Muhd Bazli Zakaria.
“Bersatu Berkebajikan”
“Kita PMRAM”

Muhammad Salihin Abdullah
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2012/2013


Jumaat, Mac 01, 2013

TINTA JUMAAT (NASIHAT BUAT HATI YANG GHAFLAH)



        Dalam hadis Nabi Muhammad Sallallahualaihi wassallam telah bersabda bahawa di dalam diri manusia ini mempunyai segumpal darah yang mana gumpalan darah ini apabila ianya baik maka baiklah segala luarannya dan apabila buruk maka begitu jugalah yang keluar dari dalamannya.

            Persoalannya sekarang sejauhmana rasa tanggungjawab kita terhadap perkara ini.selalu kita menyebut tentang         Thaharah yang menjadi penerimaan sah di dalam sesuatu ibadah, tetapi kita jarang memikirkan tentang Thaharah yang menjadi syarat penerimaan kita sebagai hamba.

              Hari ini manusia sibuk membetulkan keadaan bentuk fizikalnya untuk dilihat dan untuk dipuji oleh  orang ramai.Yang hodoh dan buruk menghabiskan wang berjuta-juta untuk memperelokkan keadaan wajah dan bentuk tubuh badannya,yang kurang pandai sanggup berhutang untuk membeli pil yang kononnya mampu menjadikan mereka seorang yang bijak pandai .

              Namun disana kita lihat berapa ramai manusia yang sanggup mengorbankan wang,masa,tenaga, harta untuk menghidupkan dan membersihkan hati daripada daki kesombongan,hasad,riya’ dan sifat mazmumah yang lain.

               Hati merupakan sebuah lautan manakala anggota tubuh badan merupakan sungai. Jika kita membiarkan sungai ini mengalir dengan kekotoran maka ianya akan memberi kesan kepada laut tersebut, begitulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk hati.

           Kekotoran hasad,sombong,suka merendahkan orang lain dan sebagainya adalah terhasil daripada anggota tubuh badan yang sering melakukan kejahatan.Tidak dapat disangkal lagi jika dikatakan bahawa kaum yahudi sekarang membuat perancangan yang cukup rapi dan tersusun untuk menumbangkan kekuatan umat islam pada masa sekarang.


              Mereka  berpenat lelah menyerang umat islam dengan senjata pada suatu masa dahulu,lalu mereka membuat kajian dan akhirnya mereka mendapat keputusan bahawa untuk merobohkan benteng umat islam yang kukuh ini adalah dengan menyediakan segala macam perkara yang melalaikan umat  islam.Akhirnya segala perancangan yang mereka jalankan ini memberi kesan kepada hati umat islam.
            Lalu kita lihat kesannya hari ini benteng persaudaraan yang dibina oleh Rasullullah pada suatu ketika dahulu ranap, musnah dan lebur dek sikap saling mengaibkan dan menjatuhkan antara satu dengan yang lain di kalangan umat islam.

             Hari ini mahasiswa yang bergelar azhari perlu meletakkan satu target bahawa pembelajaran mereka di sini baik di kuliah      usuluddin,bahasa arab,syariah islamiah,ulum,dirasat mahupun perubatan adalah untuk membina satu hati yang bersih daripada segala najis riya’,takabbur dan sebagainya.

              Inilah perjuangan Rasulullah S.A.W iaitu berjuang membebaskan dan membersihkan hati kaum Quraisy daripada daki       kebanggaan terhadap kaum sendiri,karat sombong terhadap pangkat,harta,kepandaian  yang melekat hitam  pada hati kaum Quraisy ketika itu.

             Akhir sekali,perbaikilah hati kalian dan berusahalah sehabis mungkin untuk menjaganya kerana di situlah pandangan Allah dan makhluk-makhluk yang berada di langit. Biar buruk paras rupa tetapi jangan dibiarkan buruk dan busuk hati ini kerana terdapat hadis yang baginda menunjukkan kearah dada para sahabat sambil menuturkan kalimah “at-taqwa ha huna”        sebanyak tiga kali yang bermaksud disinilah (hati) taqwa
                                                                                     
“GENERASI RABBANI,PELAPIS TARBAWI,TRANSFORMASI UMMAH BERKUALITI”
“KITA PMRAM”

HASIL NUKILAN:
MUHAMAD NAZIF BIN SHAARI
 KETUA LAJNAH SAMBUTAN DAN REHLAH
BKASM SESI 2012/2013