SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Sabtu, Mei 25, 2013

WARKAH TARBIAH (Pemuda Kebanggaan Islam)


Para pemuda ibarat ruh dalam setiap tubuh komuniti ataupun kelompok, baik ia dalam skop kecil ataupun luas seperti negara. Mereka merupakan jentera penggerak kemajuan sesebuah negara. Sebagai generasi penerus, kaum muda selalu dituntut untuk meningkatkan kualiti di pelbagai dimensi kehidupan. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda (mafhumnya), "Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang-orang tua." - Riwayat Bukhari

Ungkapan Baginda S.A.W jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda S.A.W. Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman, bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah Taala. Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya didaulatkan di atas tanahair kita khasnya dan di atas muka bumi ini amnya.

Pemuda yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah dan melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah. Pemuda yang memiliki aqidah yang benar, fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah.

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah.

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak-injak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri.

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah S.A.W, yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata-mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan dan kebejatan.

Ringkasnya, pemuda seperti inilah yang diperlukan oleh PMRAM untuk menjadi penyambung perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak cahaya dakwah dan tarbiah seterusnya kembali menerangi bumi Malaysia khususnya setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah.

Kita sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang, membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah. Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita-cita besar perjuangan Islam.

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid. Menang mendaulatkan syariat Allah Taala atau menang mengatasi desakan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan. Jika tidak, syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai.

Kita mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" (Islam) yang ingin di"pasar" (dakwah) kepada masyarakat.

Semangat semata-mata, jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata-ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat.

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah Taala. Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat.

Kesimpulannya, pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga. Bersedia bila diperlukan, hadir bila dipanggil, bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan persatuan (jamaah) dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak.
Moga-moga kehidupan kita didunia bernilai disisi-Nya dan bahagia saat tika bertemu dengan "cinta sejati" iaitu Tuhan sekalian alam (Allah S.W.T).

"WITH TARBIAH WE LEAD UMMAH"
"KITA PMRAM"

NUKILAN 
USTAZ IKRAMI BIN DAIM
KETUA LAJNAH DAKWAH & TARBIAH 
BKASM SESI 2012/2013

Jumaat, Mei 24, 2013

Najah imtihan wasilah redha Allah


بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العالمين , نحمدك اللهم أنت فاعل المختار لكل مفعول من الكائنات والآثار
ونصلي ونسلم على سيدنا محمد وهو مصدر الفضائل وعلى آله ومن نحا من نحوه من الأواخر والأوائل
أما بعد

  Alhamdulillah bersyukur kepada Ilahi kerana kita dianugerahkan nikmat menuntut ilmu di bumi Mesir ini.Perjuangan menuntut ilmu bukan sekadar dalam medan peperiksaan namun lebih besar daripada itu.

Kita sebagai Azhari dan Azhariah memikul pundak tanggungjawab ilmu yang sangat besar untuk dicurahkan di bumi Malaysia kelak.Oleh itu,keprihatinan kita terhadap ilmu perlu dititikberatkan.Bukan sahaja menuntut dan memahami ilmu bahkan menyampaikan dan mengamalkan ilmu tersebut.

Walaupun peperiksaan di Al-Azhar bukanlah satu hadaf utama dalam menimba ilmu namun dengan peperiksaan inilah menjadi kayu pengukur pandangan masyarakat negara kita terhadap penimba ilmu di Mesir ini.Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa memastikan usaha keras,doa dan tawakal yang unggul menjadi benteng pertahanan untuk menghadapi pertempuran peperiksaan ini.Peperiksaan yang meliputi seluruh penuntut di bumi Mesir ini samada Pengajian Islam,sains kesihatan,ulum islamiah dan bu’uth.

إنا فتحنا لك فتحا مبينا ®
Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata
وينصرك الله نصرا عزيزا ®
Dan agar Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak)

(Surah al-Fath: 1 & 3)

InsyaAllah,kejayaan pasti akan menziarahi kita dengan kuasaNya.Semangat dan usaha adalah modal untuk mengecapinya.Keyakinan pula adalah promosi untuk menggarapnya.Sedangkan keuntungan dan kerugian akan menjadi rahsia Yang Maha Pemberi Kejayaan.Iktibarkanlah  rasa tanggungjawab terhadap ilmu agar kita mampu terus mengorak langkah walaupun pernah tersadung  kerana  batu kecil di atas jalanan  mahupun tersungkur di curam yang tidak diingini.

"PENGUKUHAN THAQOFAH & AKADEMIK AHLI "
"KITA PMRAM"


Ulfatun Nadzirah bt Tugiman Razaq
Timbalan Lajnah Pendidikan
BKASM 2012/2013

TINTA JUMAAT (Ada Apa dengan REJAB?)


Allah S.W.T berfirman :

1. “Bulan haram dengan bulan haram, dan pada (terhadap) sesuatu yang patut dihormati” (Al-Baqarah: 194)

2. “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada 4 bulan haram” (At-Taubah: 36)
Kenapa BULAN HARAM?
 Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram.
Pertama,
 Dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua,
Dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu.
Nah,REJAB ada ini!
         27 Rejab
       
 Berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi Jumhur Ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas Rasulullah SAW berdasarkan dalil qat’ie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.
Rejab dan KITA
Selaku Umat Islam dan Umat Nabi Muhammad S.A.W,sewajarnya bulan ini kita sambut dengan perbanyakkan amalan  kepada pencipta dan kita digalakkan melazimi Doa :
"اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان"
Semoga kita senantiasa mempertingkatkan amalan kita dari semasa ke semasa.Pilihanraya Umum (PRU 13) telahpun melabuhkan tirainya.Semangat PRU kita ambil untuk dimuhasabahkan bersama. Kurangkan kontroversi,tingkatkan prestasi diri,demi Umat Islam yang lebih berkualiti.
Salam Imtihan,Salam Mujahadah Untuk Ummah

“PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN”
“KITA PMRAM”

 HASIL NUKILAN:
USTAZAH NORAIN HARUN
JABATAN FASILITATOR
BKASM SESI 2012/2013


Rabu, Mei 22, 2013

WARKAH TARBIAH (Mengurus keluhan menjadi syukur dan ikhlas)


       Makhluk yang namanya manusia pasti pernah mengeluh. Sedar atau tidak, mengeluh itu sendiri adalah sifat asli manusia. Hanya sahaja, frekuensi dan kualiti keluhannya yang membezakan antara satu personaliti dengan personaliti lainnya. Biasanya perbezaan ini berkait dengan taraf kefahaman dan cara pandang seseorang tentang sesuatu masalah yang sedang dihadapinya. Sabar, ikhlas dan seberapa besar keinginan untuk mengubah sebuah keadaan menjadi lebih baik, biasanya akan meminima-kan isyarat-isyarat keluhan. Sebaliknya, sikap buruk sangka terhadap kejadian yang sedang menimpa secara automatik akan menimbulkan keluhan-keluhan yang kemudiannya beralih menjadi penyesalan.

       Secara sejatinya mengeluh adalah rasa tidak puas, tidak ikhlas menerima sebuah ketentuan yang terjadi, baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Ketika kita sakit kita berkeluh kesah, atau menyalahkan orang lain. Atau ketika ditimpa musibah kita mempersoalkan rahmat Allah, manakala kepada majikan jika gaji kecil kita mempersoalkan reputasi syarikatnya. Jika anak-anak nakal dan bermasalah ada juga yang menyalahkan isteri sebagai tidak pandai mendidik dan sebagainya. Kita juga kecewa dan kesal apabila h/p tidak terjawab atau berbalas.

       Itulah sebahagian contoh kecil yang merupakan sebuah manifestasi dari perasaan tidak puas yang akhirnya membuahkan keluhan. Fenomena di negara yang kita cintai ini juga melalui denai ketidak-puasan hati di mana-mana akibat penyalahgunaan kekuasaan, korupsi-kolusi dan nepotisme dan banyak lagi kriminal politik yang semuanya menunjukkan pada satu hal, Ketidakpuasan! Sebuah potret masyarakat yang diwarnai dengan berbagai keluhan.

       Allah Taala menyukai hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan dan bersabar ketika ditimpa sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan. Tetapi masalahnya, apabila seseorang itu hanyut dalam keluhan, panca-inderanya pun tidak mampu memainkan fungsinya untuk melihat, mendengar, mencium dan merasakan nikmat yang bertebaran diberikan oleh Allah Taala. Hatinya serta merta buta dari mengingat dan bersyukur atas nikmat Allah yang tiada batas.

       Pada zaman Sayyidina Umar Al Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi BaituLlah yang maksudnya, "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit."

       Doa beliau didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Saidina Umar hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda tersebut dan bertanya, "Mengapa engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tidak ada permohonan lain yang engkau mohonkan kepada Allah?"

       Pemuda itu menjawab, "Wahai Ya Amiral Mukminin! Aku membaca doa itu kerana aku takut dengan penjelasan Allah dalam surah Al A’raf ayat 10, Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami hasilkan bagi kamu di muka bumi (sumber) penghidupan. Tetapi amat SEDIKIT kamu yang bersyukur. Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit itu, lantaran terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah."

       Semoga kita menjadi hamba-hamba yang dikategorikan "sedikit" oleh Allah dalam ayat tersebut. Dengan selalu menjaga ikhlas dan sabar terhadap segala kejadian atau ketentuan yang diberikan oleh Allah. Dan berprasangka positif bahawa apa yang telah terjadi adalah yang terbaik menurut Allah, sehingga hanya rasa syukur sahaja yang terlintas dibenak, terucap dibibir dan terlihat dari tindakan kerana sesungguhnya jika kita bersyukur maka Allah akan menambah nikmat-Nya dan jika kita ingkar, sesungguh nya azab Allah sangatlah pedih.

http://1.bp.blogspot.com/-faHpJOFs9lg/USciD6qvt3I/AAAAAAAAAzQ/AKu-rohqnl0/s400/14_7.png

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Ibrahim:7)

Mengeluh Hanya Pada Allah Taala

       Ketika sebuah kejadian tidak diingini menimpa seseorang, menyakitkan hati, membuat kepala berdenyut-denyut dan menjadikan seseorang itu merasa diberi ujian yang sangat berat dan tidak sanggup mengatasinya sendiri, lalu benarkah tindakannya jika ia mengeluhkan masalahnya kepada orang lain?

       Rasulullah S.A.W pernah mengalami sebuah kondisi yang jauh dari yang beliau inginkan. Para kaum musyrikin mengabaikan seruannya. Dalam kondisi tertekan tersebut Rasulullah S.A.W mengeluh hanya kepada Allah Taala. seperti yang terkandung dalam Surah Al Furqan ayat 30 :

http://1.bp.blogspot.com/-bpK6wnXrN-o/UScir5ROheI/AAAAAAAAAzY/vOznAt5HG2E/s400/25_30.png
"Dan berkatalah Rasul (Muhammad), 'Ya Tuhanku! Kaumku ini sesungguhnya telah meninggalkan jauh Al Quran sebagai perlembagaan."

Begitu pula dengan Nabi Yaaqub berkata :

http://4.bp.blogspot.com/-S3X6B9-_QGk/UScjKFlg4wI/AAAAAAAAAzg/6klYqMjaEC8/s400/12_86.png
"(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya."(Yusuf:86).

       Manakala Nabi Ayyub A.S yang disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya, ketika Nabi Ayyub berkata :

http://4.bp.blogspot.com/--NpZf2IxJQI/UScjklNXNZI/AAAAAAAAAzo/glhVoPmpfWw/s400/21_83.png
 "Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani." (Al Anbiya’:83)

       Sebaiknya, mengeluhlah hanya kepada Allah kerana sesungguhnya semua kejadian sudah menjadi sebuah ketentuanNya dan hanya Dialah sebaik-baik pemberi solusi. Tetapi dalam kondisi-kondisi di mana seseorang mengeluh tentang masalahnya kepada sesame manusia yang diyakini amanahnya mereka untuk mendapatkan penyelesaian, maka dalam hal ini sebahagian ulama memperbolehkan.


Sebagaimana kata Ibnu Qayyim , dalam ‘Uddatu Ash Shabirin"Menceritakan kepada orang lain tentang perihal keadaan, dengan maksud meminta bantuan petunjuknya atau pertolongan agar kesulitannya hilang, maka itu tidak merosak sikap sabar; Seperti orang sakit yang memberitahu kepada doktor tentang keluhannya, orang teraniaya yang bercerita kepada orang yang diharapkan dapat membelanya, dan orang yang ditimpa musibah yang menceritakan musibahnya kepada orang yang diharapkannya dapat membantunya".


"GENERASI RABBANI PELAPIS TARBAWI TRANSFORMASI UMMAH BERKUALITI"
"KITA PMRAM"

NUKILAN : 
USTAZ MOHD IKRAMI BIN DAIM 
KETUA LAJNAH DAKWAH & TARBIAH 
BKASM SESI 2012 /2013

Jumaat, Mei 17, 2013

TINTA JUMAAT (Rejab Dihayati Ramadhan Dinanti)


Bulan Rejab merupakan bulan ke tujuh dalam penanggalan Islam (Hijriah). Pada bulan ini terdapat peristiwa yang sangat agung dan suci yakni Isra’ Mi’raj Nabi Muhammad SAW. Di mana peristiwa suci itu merupakan awal dari perintah Allah kepada umat Muhammad SAW  untuk menjalankan perintah solat lima waktu diyakini terjadi pada 27 Rejab 1434H ini.

Dalam kepercayaan Umat Islam, dikenal empat bulan haram (suci) satu diantaranya Rejab, dimana secara berurutan adalah Dzulqa’dah, Dzulhijjah, Muharram, dan satu bulan yang tersendiri,  Rejab.dinamakan bulan suci  kerana pada bulan-bulan tersebut orang Islam dilarang mengadakan peperangan.


اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ

(Allahumma baariklana fii rajabin wa sya’baana wa ballighnaa ramadhaan)

Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (Hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan”. (HR Baihaqi)

Khasiat dan kaifiatnya apabila membaca doa ini, sebagaimana diriwayat dari Anas r.a.: “Adalah Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam apabila masuk bulan Rejab, baginda mengucapkan doa tersebut”. (Ruj. Al-Azkar an-Nawawiyyah).

Tentang bulan-bulan  ini, Al-Qur’an menjelaskan:
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”

Keagungan Rejab membuat bulan ini menjadi bulan ibadah, seperti puasa. Banyak masyarakat Islam yang sering kali tidak mengerti kesucian puasa pada bulan yang agung Rejab ini. Mujibah al-Bahiliyah pernah meriwayatkan, Rasulullah bersabda “Puasalah pada bulan-bulan haram (mulia).” (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah, dan Ahmad).

Hadis lainnya adalah riwayat al-Nasa’i dan Abu Dawud (dan disahihkan oleh Ibnu Huzaimah): “Usamah berkata pada Nabi Muhammad Saw, “Wahai Rasulullah, saya tidak melihat Rasulullh SAW melakukan puasa (sunnah) sebanyak yang Baginda lakukan dalam bulan Sya’ban. Rasulullah SAW menjawab: ‘Bulan Sya’ban adalah bulan antara Rejab dan Ramadan yang dilupakan oleh kebanyakan orang.’”
Sabda Rasulullah SAW lagi : “Pada malam mi’raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril a.s.: “Wahai Jibril untuk siapakan sungai ini ?”Maka berkata Jibrilb a.s.: “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau di bulan Rejab ini”

Banyak sekali keistimewaan yang diperoleh apabila kita mahu menunaikan puasa Rejab, salah satunya adalah seperti berikut:

LAKSANA PUASA SEBULAN.

Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa berpuasa pada bulan Rejab sehari maka laksana ia puasa selama sebulan, bila puasa 7 hari maka ditutuplah untuknya 7 pintu neraka jahanam. Bila puasa 8 hari maka dibukakan untuknya 8 pintu surga. Dan bila puasa 10 hari maka Allah akan mengabulkan semua permintaannya.”
HR. At-Thabrani

"GENERASI RABBABI PELAPIS TARBAWI TRANSFORMASI UMMAH BERKUALITI"
"KITA PMRAM"

Nukilan : 
Ustaz Mohd  Ikrami Bin Daim
Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah 
BKASM sesi 2012/2013

Khamis, Mei 16, 2013

WARKAH TARBIAH (Jangan Merajuk Wahai Pejuang Agama Allah)





Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie (pendakwah).

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya


Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan diri. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim

NUKILAN : 
Ustaz Mohd Ikrami Daim
Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah 
BKASM sesi 2012/2013

Jumaat, Mei 03, 2013

TINTA JUMAAT (HALATUJU : HARAPAN MAHASISWA)


Nukilan ini ingin mengupas 2 perkara semasa kita. Pendirian dan keinginan yang jitu serta jelas perlu digarap bersama dengan tindakan yang menghasilkan impak maksima.

Apakah yang ingin diutarakan ?

1.        Halatuju : harapan mahasiswa pada imtihan kali ini. Adakah gaya yang sama, tingkat yang sama atau kita mahu pergi lebih tinggi lagi dengan waktu yang ada. Tidakkah kita tahu Islam menuntut sebegitu pada umatnya. Mengapa kita perlu jadi yang terbaik? Kalaulah kita inginkan Islam itu bersinar dinegara kita, maka pada imtihan inilah perlu kita buktikan tahap pencapaian, kefahaman, dan pencernaan ilmu kita.

Isi pertama diatas perlu difikirkan dalam-dalam bukan sekadar literal ayat  sahaja kerana kita dipanggil DAIE, HAMBA ALLAH, dan KHALIFAH dimuka bumi ini.

2.       Halatuju ; harapan mahasiswa. Setujukah anda kalau saya mengutarakan yang kita mahu perubahan yang lebih baik pada Negara kita. Berkait  dengan point yang pertama, “inginkan Islam bersinar di Negara kita”. Perlu kepada kita menggerakkan ruang peluang yang ada supaya cita-cita ini dapat digapai. Kalau hanya bercakap belakang tanpa tindakan, maka ianya tidak mendatangkan hasil. Lebih malang sekiranya kita mendiam seribu bahasa. Kenapa kita perlu takut sedangkan itu perkara yang benar.

Jadi, kita perlu mempromosikan Islam itu perlu ditegakkan bagi menjamin masa depan ummah. Selain itu qiamullail, berdoa dan dakwah fardiah samada melalui telefon, laman internet dan sebagainya supaya kita dapat nikmat perubahan yang lebih baik.

Akhirnya peluang yang terbaik ini WAJIB( selari dengan tuntutan dalam surah Al-Ikhlas) dimanfaatkan.  

"GENERASI RABBANI , PELAPIS TARBAWI , TRANSFORMASI UMMAH BERKUALITI"
"KITA PMRAM"

NUKILAN: 
USTAZ ABDULLAH SHAHRUL BIN ROSLI 
AHLI LEMBAGA PENASIHAT BKASM SESI 12/13