Isnin, Januari 20, 2014

Muhadharah Ammah : Menyemai Cinta kepada Rasulullah SAW




SABTU, 18 JANUARI 2014-  Lajnah Pendidikan di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2012/2013 telah mengadakan muhadharah ‘ammah yang bertajuk الخصائص الكبرى على خير الأنام    bertempat di Musolla Darul Ehsan, Imarah Asrama Selangor, Hayyu Asyir. Muhadharah ini merupakan satu inisiatif dari Lajnah Pendidikan sempena ulangtahun kelahiran Rasulullah SAW.

Antara objektif yang diketengahkan adalah untuk meningkatkan pemahaman ahli dalam menghayati ulangtahun kelahiran Rasulullah SAW disamping menggalakkan ahli untuk mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Selain itu, muhadharah ini diadakan bertujuan untuk menerapkan rasa cinta pada alim ulama’ dan majlis ilmu sekaligus meningkatkan penguasaan bahasa arab dalam kalangan ahli. Muhadharah ini telah disampaikan oleh Al- Fadhil Syeikh Dr Hisyam Kamil Hamid yang mana beliau menceritakan mengenai keistimewaan Rasulullah SAW yang merupakan sebaik-baik manusia.

Baginda SAW diutuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam. Alam disini bermaksud keseluruhan ciptaanNya melainkan ALLAH. Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama tentang perintah IQRA’ di Jabal Nur dan di sana terletaknya Gua Hira’. Pelbagai mehnah dan cabaran yang telah dihadapi oleh Rasulullah SAW sepanjang penyebaran dakwah baginda SAW. Namun begitu, baginda tetap utuh meneruskan perjuangan menegakkan Islam kerana Islam itu sendiri adalah agama yang sangat mulia disisi ALLAH.

Alhamdulillah, muhadharah berakhir sekitar jam 9 malam. Sebelum berakhir, Al-Fadil Syeikh juga berpesan: “Bacalah kitab mengikut peringkat, jika tidak mengikut peringkat boleh diibaratkan seperti bayi beumur sebulan atau dua bulan tetapi sudah diberi makan nasi zabadi. Ia sememangnya makanan tetapi tidak sesuai baginya dan akan menyebabkan kematian”.

Lajnah Pendidikan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir berharap agar muhadharah ini dapat menggalakkan mahasiswa/wi untuk mendekati para alim ulama’ disamping mencintai ilmu dan menjadikan ilmu sebagai satu kewajipan dalam diri selari dengan pembawaaan BKASM pada sesi ini iaitu “Pengukuhan Thaqafah dan Akademik”.

Sekian, wallahua’lam.

Disediakan Oleh,

Nurul Nazuwa Binti Zazamudin
Timbalan Setiausaha
Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2012/2013


0 comments:

Catat Ulasan