Jumaat, Januari 24, 2014

Tinta Jumaat Edisi ke-36:KESATUAN TUNGGAK KEKUATAN ORGANISASI


Bismillahiwalhamdulillah. Segalapuji-pujian dirafa’kan hanya kepada Allah SWT seterusnya selawat serta salam buat junjungan kekasihNya penghulu segala nabi dan rasul, Muhammad SAW,para ahlul bait,sahabat baginda,tabi’in,tabi’ tabi’in,seterusnya sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian.

Firman ALLAH SWT:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At Taubah : Ayat 71)

Di dalam surah As-Saff ayat ke-61 Allah berfirman,maksudnya:

 “Sesungguhnya Allah sangat mencintai orang yang berjuang di jalan-Nya dalam keadaan berbaris rapi seperti sebuah bangunan yang kukuh.“

Di dalam sebuah hadis dari Abi Musa Al-Asy’ari,Rasulullah SAW bersabda:

"المؤمن للمؤمن كالبنيان يَشُدُّ بعضُه بعضاً – وشبك بين أصابعه"
Maksudnya: Orang mukmin bagi mukmin yang lainnya umpama sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.Kemudian baginda mengisyaratkan dengan merapatkan jari jemarinya.

Berdasarkan  nas Al-Quran dan hadis yang dinyatakan,jelaslah bahawa konsep kesatuan adalah satu tuntutan di dalam Islam.Lelaki beriman dan wanita yang beriman wajib menjadi penolong sebahagian yang lain di dalam urusan amar ma’ruf dan nahi mungkar,melaksanakan solat,menunaikan zakat dan melabuhkan  ketaatan kepada Allah dan RasulNya.

Ibarat sebuah bangunan yang tersusun kukuh tidak rapuh.Batu batanya saling membentengi tiang bangunan.Tiang pula tetap teguh membawa beban atap,atap pula berkorban panas dan hujan melindungi insan dan apa sahaja di dalamnya.Ya itulah gambaran yang cantik mengenai silah mukmin dengan mukmin yang lain.

Orang beriman adalah bersaudara.Tidak ada lebih dan kurangnya seseorang mukmin melainkan taqwa menjadi nilainya.Peristiwa hijrah baginda SAW jelas menjadi bukti bahawa perkara pertama yang dilakukan oleh baginda adalah mempersaudarakan antara muhajirin dan ansar.Perkara tersebut adalah salah satu konsep kesatuan yang dianjurkan oleh Islam bermula dengan qudwah baginda SAW.

FirmanNYA lagi:

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)

Seorang tokoh gerakan Islam ada menyebut di dalam kitab karangannya menganjurkan kepada Amal Islami yang serius. Menurut beliau, umat Islam apabila sibuk dengan amali,maka perdebatan akan berkurangan.Hal ini kerana apabila umat Islam itu ditimpa kelemahan dan kemunduran serta kelunturan semangat ahli akan berlaku sekiranya mereka hanya sibuk berdebat yang akhirnya mewujudkan perpecahan.Oleh kerana itulah,kesatuan merupakan tunjang kepada Amal Islami terutamanya kesatuan dari segi fikrah dan amal.

Natijah daripada kesatuan fikrah dan kefahaman, maka akan lahirlah kesatuan amal dalam organisasi kearah matlamat yang satu. Aspek penting dalam merealisasikan kesatuan amal dan matlamat adalah wala’ dan taat yang mutlak kepada Allah, Rasul dan ketaatan kepada pimpinan pada perkara kebenaran.

Di dalam sebuah hadith dari Auf bin Malik,Rasulullah SAW bersabda:

افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقةً، فواحدةٌ في الجنة وسبعون في النار، وافترقت النصارى على اثنتين وسبعين فرقةً، فإحدى وسبعون في النار وواحدة في الجنة، والذي نَفْسُ محمَّدٍ بيده لَتَفْتَرِقَنَّ أمتي على ثلاث وسبعين فرقة، فواحدة في الجنة، واثنتان وسبعون في النار.قيل يا رسول الله.من هم؟
قال:الجماعة

Maksud sabda Rasulullah SAW:”Orang-orang Yahudi berpecah kepada 71 puak,maka satu puak ke syurga dan 70 puak ke neraka,Orang-orang Nasrani berpecah kepada 72 puak,71 puak ke neraka,satu puak ke syurga.Demi tuhan yang diri Muhammad berada di dalam tanganNYA demi sesungguhnya umatku berpecah 73 puak,satu puak ke syurga dan 72 puak ke neraka.Lalu ditanya Ya Rasulullah siapakah mereka itu?.Maka baginda menjawab: “Mereka adalah yang berada di dalam Jamaah (iaitu yang berada di dalam kumpulan Islam)”
(HR Abu Daud & Ibnu Majah)

Semoga kita semua terlorong untuk berada di dalam kesatuan Jamaah seperti mana yang disebut di dalam hadis di atas.Segala keputusan oleh pimpinan perlu ditaati selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat. Keingkaran kepada perkara tersebut dan saling merasa hebat akan mewujudkan perpecahan dalam jemaah biarpun wujudnya kesatuan fikrah di dalamnya.Sesuai dengan moto PMRAM yang sering kita sebutkan “Satu Fikrah Satu Amal”.

“PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN”
“KITA PMRAM”

Hasil Nukilan:
Ustazah Siti Nurliana Binti Zainudin
Timbalan Lajnah Penerangan dan Penerbitan

BKASM 2012/2013

0 comments:

Catat Ulasan