Selasa, November 25, 2014

LAPORAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (MAT) KALI KE-39 BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2014


              Bertepatan pada tarikh 22 November 2014 yang lalu, bersamaan hari Sabtu, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir telah berjaya mengadakan satu program tahunan iaitu Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-39 bagi sesi 2014 yang bertempat di Kompleks Asrama Rumah Selangor Hayyu Asyir, Kaherah Mesir.
                Program ini bertujuan untuk melakukan pemilihan ketua dan barisan kepimpinan yang baru dalam sesebuah organisasi, mendekatkan ahli dan pimpinan sekaligus mewujudkan keharmonian dalam sesebuah organisasi, menegakkan dan menyebarkan keindahan Islam melalui penekanan konsep syura, melontarkan cadangan dan juga sesi muhasabah untuk menjadikan BKASM ke arah yang lebih baik seterusnya menjadi sebuah organisasi yang syumul dalam melaksanakan tuntutan dakwah kepada seluruh ahli amnya dan masyarakat Islam khususnya.
                Seawal jam 6.30 pagi ahli mesyuarat dan para hadirin telah mula menghadirkan diri bagi sesi pendaftaran dan memenuhi dewan persidangan. Majlis ucapan perasmian telah disampaikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Selangor sendiri iaitu Ustaz Mohd Farid Bin Mohd Zainal. Program diteruskan lagi dengan sesi taklimat berkenaan sepanjang program sebelum bermulanya Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) BKASM Kali Ke-39 pada jam 9 pagi.
                Seramai empat orang Setiausaha Sidang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut. Dua daripada kalangan ikhwah iaitu Ustaz Abdul Hadi Bin Hidzan dan Ustaz Muhammad Nurhilmi Bin Rostam. Dua berbaki lagi daripada kalangan akhawat iaitu Ustazah Nurul Adnin Binti Halin dan Ustazah Siti Nur Mahmudah Binti Adnan. Manakala Pengerusi Sidang dikelolai oleh Ustaz Abdul Mun'im Bin Abdul Syukur.
                Perjalanan mesyuarat diteruskan lagi dengan sesi  Pengesahan Minit Mesyuarat Agung (MAT) Tahunan BKASM Kali Ke-38 dan juga perkara-perkara berbangkit yang berkaitan. Seterusnya dibentangkan pula kepada para hadirin berkenaan Laporan Tahunan Lajnah dan Jabatan BKASM sesi 2014. Kemudian Pengerusi Sidang memberi laluan kepada ahli mesyuarat dan juga hadirin untuk menunaikan solat fardu Zohor dan makan tengahari. Selepas itu, mesyuarat disambung semula bagi sesi Pembentangan Laporan Kewangan BKASM sesi 2014 dan juga Pembentangan dan Perbahasan Usul.
                Selepas itu, para hadirin dan ahli mesyuarat diberi masa untuk berehat bagi menunaikan solat fardu Asar. Mesyuarat diteruskan lagi kepada sesi Muhasabah dan Cadangan Umum dan seterusnya melantik dua orang juruaudit bagi sesi 2014/2015.
                Pada belah malamnya pula telah diadakan sesi penyampaian sijil kepada Pengarah Program Mega sepanjang tahun 2014 dan juga penyampaian sijil kepada barisan AJKT BKASM sesi 2014. Malam itu juga disampaikan beberapa kategori anugerah. Antaranya anugerah Tunas Harapan, Aktivis BKASM 2014, Imuwan Muda dan Srikandi Itqan. Sejurus selepas itu majlis diserahkan pula kepada Pengarah SPR bagi mengumumkan dan mengisytiharkan senarai barisan AJKT BKASM yang baru bagi sesi 2014/2015.

                Kemudian, penghormatan telah diberikan kepada Yang Di-Pertua BKASM sesi 2014/2015 untuk memberikan sedikit ucapan alu-aluan dan ucaptama pada malam tersebut. Program di akhiri dengan nyanyian lagu rasmi BKASM, bacaan doa selamat dan sedikit jamuan makan beserta dengan tayangan video program sepanjang tahun 2014.
                Akhirnya, seperti yang dipersetujui dalam MAT Kali Ke-39 pembawaan dan usul BKASM bagi sesi 2014/2015 adalah seperti berikut.


Pembawaan BKASM untuk sesi 2014/2015 :
·         Pemikiran Wasatiyyah Membentuk Tunjang Ummah
·         Aplikasi Ilmu Menyumbang Integriti Ummah
·         Keutuhan Ekonomi Islam Tanggungjawab Bersama
·         Generasi Harapan Aset Kesatuan
Usul BKASM untuk sesi 2014/2015 :
·         Bersama dalam menuntut agihan zakat yang lebih profesional dan adil kepada anak-anak Selangor di Mesir.
·         Memperkukuh kesatuan BKASM dan PMRAM melalui kesinambungan ilmu dan amal.
·         Mempertahankan survival taakhi PMRAM cawangan Selangor.








               
Disediakan Oleh :                                                                          
                           
(AHMAD LUTFI BIN JAMALUDIN)                            
Setiausaha MAT Kali Ke-39 
BKASM 2014                                                 
                                                                                                   
                               

0 comments:

Catat Ulasan