Ahad, November 23, 2014

PEMENANG ARTIKEL TERBAIK BERSEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE 39


Berikut adalah pemenang-pemenag artikel bersempena menuju Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir  2014 kali ke 39. Artikel terbaik telah dimenangi oleh saudara Muhammad Sufi bin Mohd Yusof  di sebelah ikhwah, manakala di sebelah akhawat telah dimenangi oleh saudari Adilah bt Mohd Safiuddin.

ARTIKEL TERBAIK IKHWAH


SYURA DIAPLIKASI MEMATANGKAN ORGANISASI


Syura adalah suatu barangan berharga bagi manusia. Barang yang smakin menghilang ini memberi manfaat dan matlamat yang besar kepada tujuan penciptaan manusia itu sendiri.

Permulaan sejarah syura boleh dilihat ketika mana di awal fatrah penciptaan manusia. Sebagaimana firman Allah S.W.T :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

(Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.") -al Baqarah : 30-

Perbualan yang direkodkan ini adalah contoh salah satu cabang daripada cabang mesyuarat atau syura. Kalau kita amati rekod ini, ia adalah hadiah khusus daripada Allah kepada Bani Adam sejak awal penciptaan manusia lagi. Allah S.W.T meminta pandangan daripada para malaikat perihal penciptaan manusia dan keturunannya, walaupun hakikat kebenaran pengetahuan Allah Taala sememangnya mengetahui natijah dan hasil bagi tiap-tiap suatu perkara. 
Begitu juga catatan sejarah yang menunjukkan bahawa konsep syura ini tetap berjalan berterusan pada zaman Nabi Muhammad, para sahabat, tabi tabiin, sehinggalah ke hari ini. Kisah peperangan badar mencatatkan perihal cadangan untuk keluar berperang dan perihal hasil tawanan perang. Tidak dilupa sejarah peperangan Uhud, perjanjian Hudaibiyah, peperangan Ahzab, peperangan Tabuk, perlantikan Abu Bakar sebagai khalifah pertama orang mukmin, keputusan di dalam menjalankan hukuman bunuh kepada golongan yang murtad serta golongan yang enggan membayar zakat, perihal perletakan tarikh hijriah dan lain-lain turut merekodkan sejarah berkenaan syura yang boleh kita rujuk kembali sejarah ini. Maka, konsep syura ini adalah sunnah bermasyarakat bagi kita sebagai hamba Allah untuk diguna pakai dan memanfaatkannya.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T secara khusus menyebut berkenaan syura pada 2 ayat di dalam surah As-Syura dan Ali-Imran. Sebagaimana yang difirmankan :


وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُون

(Dan bagi orang-orang yang mematuhi seruan Allah dan melaksanakan solat dan urusan mereka diputuskan dengan musyawarah antara mereka, dan mereka menginfaqkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan  kepada mereka) - As syura:38 -


وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِين


(Dan bermesyuaratlah dengan mereka  dalam urusan itu, maka apabila kamu telah berazam bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal) – Ali Imran: 159 -

Pada ayat pertama menjelaskan perihal sifat-sifat syura sebagai jaminan bagi jemaah Islam apabila beramal dengan wasilah ini. Antara ciri-ciri yang disebutkan antaranya beriman dan bertawakal kepada Allah, menjauhi dosa-dosa besar dan kemungkaran, sentiasa berusaha dalam menunaikan suruhan-Nya, mendirikan solat, bermusyawarah, menunaikan zakat, menginfaqkan harta di jalan Allah S.W.T. Kalau kita perhatikan, ayat ini adalah ayat makkiyah, menunjukkan bahawa syura dan konsep musyawarah telah diamal dan dipraktikkan dalam masyarakat Islam sebelum wujudnya negara Islam. Maka, tidak dapat dinafikan rekod Allah Taala memuliakan dan merahmati musyawarah daripada kalangan orang Islam yang menepati sifat dan kelayakannya.

Pada ayat kedua, khusus menjelaskan tugas dan peranan pemimpin dan seorang ketua di dalam menggerakkan organisasi, jemaah mahupun negara. Turunnya ia sebagai arahan kepada Nabi Muhammad untuk bermusyawarah dengan para sahabat di dalam urusan. Bermaksud kesinambungan perjalanan urusan kepimpinan tidak boleh lari daripada pengamalan syura dalam menghasilkan keputusan dan mewujudkan rahmat sesama kepimpinan dan ahli.

Oleh yang demikian, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sebagai organisasi penggerak kepada amal islami sekian lama ini, yang juga bergerak berpaksikan sumber rujukan utama umat Islam, juga bermatlamat mewujudkan kesatuan dalam mahasiswa-mahasiswi Selangor di Mesir ini, maka tidak dapat tidak turut bertanggungjawab dalam beramal dan menjalankan amanah ini. Oleh itu, kehilangan amal kepada wasilah ini adalah suatu dosa dan pecah amanah yang mesti dipertanggungjawabkan kepada ahli dan kepimpinan organisasi.

Justeru, peri pentingnya konsep syura ini adalah tanggungjawab bersama antara kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir serta ahli di dalam memberi kefahaman dan penekanan kepada semua berkenaan agenda agama ini. Hilangnya kefahaman dan semangat ahli sebagai contoh, malasnya dalam menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan perbincangan-perbincangan adalah suatu kayu ukur bahawa kita semakin lari daripada matlamat penciptaan manusia itu sendiri, sebagaimana yang disebutkan hadis Nabi s.a.w :

لئن يمشي أحدكم في حاجة أخيه خير له من أن يعتكف في مسجدي هذا شهرا

(Sekiranya seseorang di kalangan kamu berjalan menunaikan urusan (permasalahan) sahabatnya adalah lebih baik daripada duduk beriktikaf di masjid aku (masjid nabawi) selama sebulan)


Jelas pada kita, agenda musyawarah dan konsep syura ini adalah suatu kewajiban yang mesti dilaksanakan oleh para muslimin. Agenda ini adalah suatu keputusan yang telah disepakati oleh para ulama dalam mewajibkannya. Moga kita sama-sama beringat dan menggunakan wasilah ini dengan sebaiknya. Semoga kita sebagai ahli BKASM dapat memahami kewajiban ini seterusnya yakin dan beramal dengan amal islami yang dibawa oleh kesatuan ini.


“Syura Diaplikasi Mematangkan Organisasi”

Siru ala Barakatillah


Muhammad Sufi Bin Mohd Yusof









_________________________________________________________________________



 ARTIKEL TERBAIK AKHAWAT



 SYURA DIAPLIKASI MEMATANGKAN ORGANISASI



Organisasi yang baik merupakan cerminan dari pentadbiran  yang baik. Pentadbiran yang baik hanya mampu diterjemahkan oleh barisan kepimpinan yang baik. Maka, dalam sesebuah organisasi,aspek kepimpinan merupakan aspek utama yang perlu diberi  penekanan bagi menentukan halatuju jangka masa panjang organisasi tersebut.

Kepimpinan yang baik mampu menghasilkan produktiviti yang bermanfaat dan mampu dimanfaatkan sebaiknya. Dalam Islam,kepimpinan merupakan tunjang bagi sesebuah organisasi yang memandu sekalian manusia mencapai kesejaheraan dan kejayaan dalam menuju redha Allah. Gerak kerja yang dilakukan sentiasa meletakkan kepentingan organisasi melebih kepentingan diri sendiri. Semuanya dilakukan hanya untuk mendapat redha Allah S.W.T.

 Firman Allah S.W.T:
šوَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya 
( Surah Al-Baqarah ayat 207)

Mendepani ragam dan kerenah semasa yang pelbagai,kepimpinan perlu bertindak lebih profesional dan matang dalam usaha meraikan kepelbagaian. Dalam masa yang sama,langkah meraikan ini sama sekali tidak berganjak dari prinsip organisasi yang digariskan. Untuk terus memastikan keterikatan antara kepimpinan dan ahli,setiap perkara yang dilakukan perlu meletakkan perbincangan atau syura sebagai pendekatan. Syura tidak hanya diaplikasikan sesama kepimpinan bahkan ia boleh digarapkan kepada ahli dalam usaha memberi kefahaman kesatuan dan kerjasama.

Kebanyakan organisasi hari ini,berdepan dengan permasalahan,apabila kuasa kepimpinan dilihat
mendominasi serta kurangnya penghayatan ahli  terhadap kebersamaan menjaga organisasi. Syura dilihat mampu menjadi manual paling ideal bagi mewujudkan persefahaman dan merapatkan jurang yang timbul antara kepimpinan dan ahli. Syura bermaksud mesyuarat yang diadakan dalam rangka membuka peluang kepada setiap anggota mesyuarat melontar idea dan pandangan terhadap hal yang diperbincangkan. Allah S.W.T mencipta manusia dalam keadaan yang sangat unik. Setiap seseorang itu berbeza dengan yang lainnya dari semua sudut. Hal ini termasuk juga dalam aspek pemikiran,kefahaman dan pandangan. Maka melalui medan syura,permasalahan yang sama mampu diolah dengan sudut pandang yang berbeza. Perbezaan ini harus dilihat dari sudut positif agar ianya mampu disimpulkan menjadi keputusan yang sederhana,mampu diikuti dan dilaksanakan oleh semua peringkat.

Islam amat menitikberatkan tentang keadilan. Maka dengan itu Islam mengiktiraf konsep syura dilaksanakan dalam sesebuah sistem pentadbiran. Konsep Syura ini telah dipraktikkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W sewaktu membentuk kerajaan Islam yang pertama. Contohnya ketika mana Nabi S.A.W meminta pandangan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab A.S dalam menguruskan tawanan peperangan Badar.
Nabi Muhammad S.A.W mengamalkan konsep syura dalam setiap perkara dari hal kenegaraan sehingglah kepada hal-hal kekeluargaan. Ketelitian Nabi Muhammad S.A.W dalam memegang konsep syura sebagai tunjang pentadbiran dapat dilihat menerusi mafhum Baginda S.A.W:

Tidaklah sesuatu kaum itu bermesyuarat di antara mereka dalam urusan mereka melainkan Allah akan menunjukkan kepada mereka yang terbaik terhadap permasalahan mereka” dalam riwayat yang lain “ melainkan Allah kurniakan kepada mereka keazaman kepada petunjuk atau yang terbaik”.

Natijahnya,pembentukan Negara Islam Madinah merupakan cetusan sejarah yang terhebat pernah dimiliki dunia.Islam jatuh apabila timbul perasaan ingin mendominasi kekuasaan dan harta. Hal yang sedemikian telah mengakibatkan,pentadbiran diuruskan oleh mereka yang berkuasa tanpa mempedulikan lontaran suara dan pandangan dari setiap peringkat masyarakat.

Organisasi yang matang adalah organisasi yang mampu mendepani segala permasalahan melalui kesatuan dan kebersamaan antara kepimpinan dan ahli. Kepimpinan membuat keputusan dalam keadaan memikirkan hal-ehwal ahli. Manakala ahli bertindak mengikut keputusan yang telah dikeluarkan kepimpinan sesuai dengan permuafakatan yang telah dilaksanakan melalui syura. Syura yang memberi kesan adalah syura yang melahirkan rasa kasih sayang,saling menghormati dan menghargai perbezaan pendapat dan pandangan. Tidak mengangkat sesuatu pandangan kerana ikut-ikutan mahupun penggabungan yang melibatkan kepentingan tertentu. Keputusan dibuat dengan keazaman dan penggantungan yang tinggi kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا 
  عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya
(Al-Imran ayat 159)

Justeru itu,aplikasi syura dilihat sebagai manual utama untuk sesebuah organsasi  dalam menjamin kelangsungan dan keberjayaan matlamat yang dibawa di setiap peringkat. Selain itu, ianya juga membawa kepada terbina sebuah kesatuan yang harmoni dan aman dari perselisihan.


" TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN"

ADILAH BT MOHD SAFIUDDIN 



0 comments:

Catat Ulasan