Jumaat, Disember 12, 2014

TARBIAH MEMBENDUNG SIFAT MARAH - Tinta Jumaat Siri - 2

 TARBIAH MEMBENDUNG SIFAT MARAH
“ Tarbiah bukan segala-galanya,tapi segala-galanya bermula dari tarbiah ”

Berdasarkan dari kata hikmah di atas, tarbiah ini boleh disimpulkan kepada dua iaitu tarbiah ruhiyyah dan tarbiah jasadiah. Tarbiah ruhiyyah melibatkan hati dan iman manusia. Hati ini pula kadang-kadang diusik dengan sifat mazmumah yang boleh mendatangkan murka Allah antaranya sifat marah.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa seseorang lelaki berkata kepada Rasulullah S.A.W : “Berwasiatlah kepadaku”,lalu sabda Nabi S.A.W : (jangan engkau marah ).

Maka dia mengulangi pertanyaannya yang sama berkali-kali. Nabi S.A.W tetap bersabda: (jangan engkau marah). Sifat marah merupakan satu sifat yang lumrah di dalam diri manusia dan tidaklah Allah membebankan manusia itu melainkan dengan kemampuannya. Manusia yang sedang marah akan hilang sifat waras dan petunjuk pada dirinya.

Rasulullah S.A.W sendiri telah melarang seseorang itu menjatuhkan hukuman antara dua pihak dalam keadaan dia marah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar R.A dengan sabdanya :
“Tidak boleh seseorang hakim itu menjatuhkan hukuman di antara dua individu sedang ia dalam keadaan marah.”

Seterusnya, sifat marah ini juga boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Pada ketika itu,degupan jantung hati akan menjadi rancak, tekanan darah semakin naik, urat-urat saraf akan menjadi kejang, sistem saraf dan saluran darah menjadi tegang. Maka, sifat marah ini boleh dikawal melalui beberapa cara iaitu :
1. Selalu berzikir kepada Allah
2. Menjaga percakapan dari bercakap sesuatu yang tidak elok
3. Berwuduk dengan segera
4. Sentiasa mengambil pengajaran dari sirah Rasulullah S.A.W, para sahabat dan orang-orang soleh.

Akan tetapi, sifat marah ini boleh jadi sifat yang terpuji bila mana ia diletakkan di tempat yang sepatutnya.Yakni bila mana seseorang itu marah bukan kerana nafsu,tetapi kerana Allah SWT,Rasulullah dan Islam seperti mana apabila hukum Allah dicabuli, undang islam dipermainkan dan sebagainya.Waktu inilah sifat marah itu adalah patut. Diceritakan Saidina Ali R.A hampir menetak orang musyrikin di dalam perang Khaibar tetapi tidak terjadi lantaran diludah musyrikin tersebut. Terbantut keinginannya kerana sifat marah. Orang yang hebat dan berani bukanlah dilihat pada pahlawan yang berani sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W :
”Bukanlah keberanian itu hanya dengan bertempur di medan perang bahkan keberanian itu ialah seseorang yang mampu mengawal dirinya ketika ia sedang marah”.

Kesimpulannya, banyaknya perpecahan yang berlaku adalah berpunca dari sifat marah yang sentiasa dibisik oleh syaitan. Orang yang kurang cerdik dalam menahan marah akan selalu mengundang kerosakan kepada diri. Setiap pendakwah hendaklah hadam dan teliti dalam menilai segala penyakit dalam diri masyarakat di sekelilingnya kerana bila mengenal penyakit itu, seperti dia telah merawat separuh penyakit. Akhir sekali, pendakwah perlulah menunjukkan akhlak yang terbaik.

“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”

Disediakan Oleh :
Ustaz Mohd Faiz Bin Ismail Shah
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan