SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Ahad, Mei 25, 2014

Israk Mikraj:1001 Ibrah Memimpin Mukmin.





بسم الله الرحمن الرحيم
سبحان الذي اسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصا الذي باركنا حوله  لنريه من اياتنا إنه هو السميع البصير


Maksudnya: Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami.Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Maha Melihat. (Surah Al-Isra’ ayat 1)

 Peristiwa Isra’ Mikraj ini cukup memberi ibrah yang besar buat seluruh umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam.Bukan kerana kelebihan bulan Rejab ini,dan bukan juga kerana tarikh keramat 27 Rejab namun ia adalah kerana apa yang dilalui oleh baginda sebelum diperjalankan,semasa dan selepasnya.Isra’ dan Mikraj merupakan satu mukjizat,walaupun di sana terdapat khilaf mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini.

IBRAH 1: ISRAK MIKRAJ PENAWAR DUKA BAGINDA 

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menerima tamparan yang cukup hebat ketika proses dakwah berlangsung.Ujian demi ujian menimpa,ditempuh dengan begitu sabar dan berakhlak.Namun,dengan takdir Allah swt baginda terus diuji dengan pemergian dua insan yang sentiasa mendampingi baginda ketika susah dan senang.

Kedua-dua insan tersebut sentiasa menyokong dan mendokong dakwah baginda.Mereka adalah bapa saudara dan isterinya yang sangat setia iaitu Abu Talib dan Saidatina Khadijah Binti Khuwailid.Tahun itu digelar tahun dukacita kerana jarak pemergian Abu Talib dengan Saidatina Khadijah sangat dekat iaitu pada tahun kesepuluh kenabian.

Ketika itu juga,penduduk Taif menolak seruan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam supaya beriman kepada ALLAH.Baginda dilempar dengan batu oleh hamba-hamba abdi,khadam dan kanak-kanak yang nakal sehingga berdarah kakinya.Malaikat jibril bertanya kepadanya adakah mahu azab dikenakan ke atas penduduk Taif atas izin Allah?Namun baginda menolak dan terus berdoa agar penduduk Taif berubah dan kembali kepada Islam.

Dua peristiwa itu sangat menyesakkan dada baginda,lantas Allah menghadiahkan satu rehlah untuk menenteramkan semula hatinya iaitulah Rihlah Israk Wal Mikraj.

IBRAH 2: SIMBOL KEAGUNGAN MASJIDILHARAM & MASJIDIL AQSA

Seperti yang disebut di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama,Isra’ berlaku dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa.Jelaslah di sini bahawa kedudukan dua Masjid ini sangat diutamakan di dalam Islam.Masjidilharam dan Masjid Al-Aqsa menjadi simbol keizzahan umat Islam sejak zaman berzaman dan sehinggalah pada zaman kita hari ini.

Namun,realiti yang berlaku,kesucian Masjidil Aqsa telah dirobek oleh tangan-tangan musuh-musuh Allah.Maka sudah menjadi tanggungjawab kitalah mengembalikan kesuciannya.Di dalam sebuah hadis Sahih Muslim jilid 3 hadis bernombor 1315:
Abu Hurairah ra berkata yang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:”Ziarah boleh dilakukan untuk mengunjungi tiga masid iaitu;Pertama,Masjidil Haram (di Makkah),kedua Masjidku (Masjid Nabawi di Madinah) dan ketiga,Masjid Iliya (Masjid Al-Aqsa di Palestin).”

IBRAH 3: MOTIVASI & NASIHAT PARA RASUL 

Ketika dimikrajkan dari Masjidil Aqsa ke sidratul muntaha,baginda dipertemukan dengan para nabi dan Rasul di setiap lapisan langit.Mereka memberi salam kepada baginda dan baginda dipersilakan untuk meneruskan perjalanan ke langit seterusnya.Apabila baginda telah menerima perintah solat dari Allah ke atas umatnya,baginda telah menerima nasihat daripada Nabi Musa alaihissalam supaya meminta kepada ALLAH agar dikurangkan bilangan waktu solat.Berdasarkan nasihat itulah kita pada hari ini dapat mengerjakan solat 5 waktu sehari semalam berbanding 50 waktu yang ditaklifkan pada permulaannya.

Begitulah cantiknya ibrah mikraj ini,baginda dipertemukan dengan Rasul-rasul yang turut sama merasai perit dan manisnya perjuangan menyeru umat masing-masing supaya mentauhidkan Allah.Ketika ini sudah tentu baginda mendapat satu motivasi yang luar biasa.

IBRAH 4: SOLAT TUNJANG KEKUATAN UMAT

Antara taklifan yang diterima oleh baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam ketika bertemu Allah swt di sidratul muntaha adalah Solat.Jelaslah disini ia merupakan kewajipan ke atas umat Islam dan tiada keuzuran kepada kita untuk menggugurkan pelaksanaannya. Jika difikir kembali,mengapa tidak turun sahaja wahyu untuk melaksanakan solat melalui malaikat Jibril seperti kebanyakan wahyu yang lain?Mengapa perintah solat ini Rasulullah menerima secara terus dari Allah swt?

Sudah tentulah,kerana solatlah yang menjadi pembeza antara muslim dan kafir.Ia perkara yang pertama akan ditanya ketika hisab kelak.Solat adalah wasilah antara khaliq dan mahluk,maka tunaikanlah dengan khusyu’ sehingga kita dapat merasakan kemanisan khusyu’ itu.

Saidatina Aisyah radhiallahu anha meriwayatkan:
“Adalah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berbicara dengan kami dan kami juga berbicara dengannya tetapi bila tiba sahaja waktu sembahyang ia seolah-olah tidak mengenali kami dan kami pula tidak mengenalinya.”

IBRAH 5: DIGELAR ASSIDDIQ

Antara faktor Saidina Abu Bakr digelar Assiddiq adalah kerana beliau selalu membenarkan apa sahaja yang berkaitan dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Selepas peristiwa Israk Mikraj,kebanyakan manusia ketika itu tidak mempercayai baginda,walhal sebelum itu mereka telah beriman.Beberapa orang menemui Abu Bakr kerana beliaulah sahabat yang paling akrab dengan Rasulullah lalu beliau ditanya:

“Adakah kamu mempercayai apa yang diceritakan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam?Dia mengaku bahawa dia telah melakukan israk dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa dalam masa satu malam!”

Abu Bakr dengan hati yang tenang bertanya “Adakah dia mengatakan perkara itu?” dan mereka menjawab “Ya”

“Kalau begitu,pasti dia seorang yang jujur”Jawab Abu Bakr tegas sambil membenarkan baginda.Bahkan kata Abu Bakr lagi sekiranya lebih dari itupun dia mempercayainya.

Hebatnya mukjizat ini ke atas iman para Sahabat.Sedikitpun tidak terpengaruh dengan nafsu.Sekiranya difikir melalui akal yang terbatas,mustahil perjalanan dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang biasanya memakan masa berbulan menaiki unta,dapat di ziarahi dalam masa yang sangat singkat.Melainkan Iman yang membenarkan.

Begitulah antara ibrah yang dapat kita singkapi melalui Israk dan Mikraj ini bahkan ianya mengandungi 1001 ibrah yang tidak dapat dirungkaikan melainkan melalui mata hati orang beriman.Akhirnya,marilah sama-sama kita menginsafi diri dan sentiasa menambahkan amalan dan pohonlah kepada Allah agar kita dipertemukan di dalam bulan Ramadhan tidak lama lagi.Sollu ‘alan nabi.

Siiru ala barakatillah
Rujukan:
1)Al-Quran
2)Hadith
3)Kitab Sirah Nabawiyah (Durus Wa ‘Ibar)
Fasal 3 m/s 43 & 44
4)Kitab Arrohiq al-Makhtum m/s 81 & 82

Siti Nurliana Binti Zainudin
Timbalan Lajnah Dakwah &Tarbiah
BKASM 2014