SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Isnin, Disember 29, 2014

RISALAH ILMIAH SIRI PERTAMA : ILMU ANTARA HAK DAN BATIL



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mencipta manusia di atas muka bumi ini daripada jahiliah kepada nur cahaya. Islam adalah satu-satunya agama yang memuliakan manusia dengan ilmu, bahkan kalaulah manusia bertaqlid dalam bab aqidah tanpa mengetahui hakikat sebenar ilmu maka dia boleh dikira berdosa dan murtad.
Allah berfirman dalam kalamNya yang Agung:

"يرفع الله الذين ءامنواْ منكم والذين أوتواْ العلم درجات"

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat”.        
    (Surah Al-Mujadalah: ayat 11)

Berdasarkan ayat di atas, Allah telah menunjukkan satu martabat yang khusus bagi manusia apabila mereka mempunyai ilmu. Itulah pemahaman Islam yang sebenar terhadap ilmu. Hal ini secara tidak langsung dapat menolak pandangan segelintir manusia yang memandang islam sebelah mata lalu terus melabelkan Islam itu jumud.

Persoalan yang seringkali timbul, adakah semua ilmu menjadikan kita mulia di sisi Allah?

Darsawarsa ini telah menunjukkan kepada kita manusia yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Meskipun begitu, telah tampak beberapa antara mereka yang ilmu mereka tidak memberi manfaat untuk diri mereka bahkan memudaratkan diri mereka dan yang lebih bahaya lagi adalah kepada orang lain. Ada yang sakit asbab peluru yang direka untuk ditembak orang yang tidak bersalah, ada pula yang terseksa punca daripada chemical yang dicipta dan ada yang hanya mengeluarkan kata-kata sehingga ramai yang gugur mati syahid di jalan Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"أشد الناس عذابا يوم القيامة : عالم لم ينفعه الله بعلمه"

“Manusia yang paling dahsyat ditimpa azab pada hari Qiamat ialah orang yang alim tetapi Allah tidak memberi manfaat limu bagi dirinya”

Melalui hadis Nabi SAW, kita akan dapati adanya golongan ilmuwan yang tidak baik dan tidak semua mendapat kemuliaan sepertimana yang Allah sebut dalam firmanNya. Asbab mereka diazab kerana tidak memanfaatkan ilmu mereka.

Konklusinya, kita sebagai manusia dan mahasiswa yang belajar di bumi barakah ini seharusnya menyeimbangkan antara ilmu dan amal. Kata Imam Ghazali, ”Ilmu tanpa amal gila, dan amal tanpa ilmu tidak akan menjadi”. Oleh yang demikian,  ilmu yang ada pada diri kita ini untuk diberi manfaat kepada orang lain, bukannya disimpan untuk diri kita sahaja. Wallahua`lam.

“APLIKASI ILMU MENYUMBANG INTEGRITI UMMAH”

Hasil Nukilan,
Aiman Fitry bin Zulkifli,
Ketua Lajnah Pendidikan,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015


Jumaat, Disember 26, 2014

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA DELEGASI KERAJAAN NEGERI

KAHERAH, 24 Disember 2014:  Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi Kerajaan Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) telah diadakan di Komplek Asrama Selangor bermula jam 7.30 malam. Antara wakil Kerajaan Negeri yang hadir pada malam tersebut ialah Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi(Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi), Y.B. Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad(Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi Dan Inovasi).
Dan wakil dari JAIS ialah Tuan Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad(Pengarah JAIS), Encik Mohd Azam bin Azmi(Penolong Pengarah Unit Pembangunan JAIS), Encik Muhamad Asmadi bin Mustakim(Ketua Sektor Pengurusan Akademik Bahagian Pendidikan Islam JAIS), Encik Mohd Shukri bin Ruslan(Pegawai Penyelaras Pengajian Tinggi Bahagian Pendidikan Islam JAIS).
Ucapan Majlis dimulakan dengan kalam daripada Ustaz Anas bin Mohd Bhukhari,Yang DiPertua Agung Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir. Dan disambung dengan kalam ringkas daripada Ustaz Muhammad Farid bin Muhammad Zainal,Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Hj. Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Y.B. Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad dan Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi.
Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab antara wakil kerajaan negeri dan pelajar. Banyak persoalan yang dilontarkan oleh pelajar untuk memohon penjelasan berkenaan beberapa perkara dan masalah yang timbul. Antara soalan yang dilontarkan ialah permasalahan zakat, peruntukan bangunan baru, status penghantaran pelajar baru ke Mesir dan lain-lain lagi.
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi berjumlah RM 10,000 pada malam tersebut. Turut menerima bantuan kewangan untuk pembelian perabot dan keperluan asrama pelajar Selangor di kaherah berjumlah RM 275,350.00 daripada JAIS.
BKASM mengucapkan ribuan terima kasih kepada delegasi Kerajaan Negeri dan Jais di atas kesudian untuk bersama dalam majlis ini. Juga buat semua anak-anak Selangor yang sudi hadir memeriahkan majlis. Semoga pertemuan dengan Kerajaan Negeri ini dapat membantu kehidupan mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai sudut serta mengeratkan lagi hubungan Kerajaan Negeri dengan anak-anak Selangor.

“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh,
NURUL AIN RAHMAT
Timbalan Setiausaha Agung II
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

IDEOLOGI SONGSANG MEROSAK UMMAH - Tinta Jumaat Siri Ke - 4


IDEOLOGI SONGSANG MEROSAK UMMAH

                Kita sering mendengar perkataan fikrah hangat dibahaskan akan tetapi hanya segelintir yang memahami pengertian dan pengaruhnya di dalam masyarakat hari ini. Fikrah dikenali sebagai satu ideologi atau pemikiran yang akan menatijahkan keperibadian seseorang itu.

                Acapkali kita diperdengarkan dengan istilah-istilah ideologi yang masyhur antaranya adalah sekularisme. Apakah yang dimaksudkan dengan Sekularisme?. Sekularisme adalah satu idea Barat yang dibawa oleh penjajah-penjajah ke Negara Islam supaya peranan agama Islam boleh dihadkan bagi memudahkan mereka mengambil alih kuasa pemerintahan dan ini adalah cara yang salah dalam Islam.

Firman Allah Taala yang bermaksud :


“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi” (Surah Ali-‘Imran : Ayat 85)



                Berdasarkan firman Allah, kita dapat melihat bahawa Islam “The Way Of Life”, peraturan yang mengatur hidup dan kehidupan manusia dan menjadikan dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk disampaikan kepada umat manusia dan berbahagialah orang yang mentaatinya. Jika kita berpaling daripadanya, maka kita akan mengikuti jejak langkah syaitan dan ia terbukti jalan yang salah.

 Firman Allah Taala yang bermaksud :


“Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” (Surah Al-Baqarah : Ayat 168)


              Maka benarlah bahawasanya Islam itu agama yang wajib diikuti, dan diterima di sisi Allah Taala. Malah, menafikan segala jenis pemikiran atau ideologi yang bercanggah dengan Islam agar masyarakat kita pada hari ini tidak terpesong dengan fikrah-fikrah yang batil serta menjerumuskan mereka ke dalam neraka.

 

 "PEMIKIRAN WASATIYYAH MEMBENTUK TUNJANG UMMAH"

“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”


 
Disediakan oleh : Ustaz Muhammad Auzaie bin Roslan
  Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah 
 BKASM sesi 2014/2015

Isnin, Disember 22, 2014

USRAH GABUNGAN MERIBATKAN UKHUWAH



19 DISEMBER 2014,KAHERAH – Jabatan Fasilitator, Lajnah Dakwah dan Tarbiah (LDT), Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), dengan kerjasama Lajnah Kesenian dan sukan (LKS)  sesi 2014/2015 telah mengadakan usrah gabungan semua ahli usrah ikhwah bagi sesi 2014/2015 yang bertempat Zahra’.Aktiviti yang telah dijalankan adalah futsal.

Aktiviti Futsal ini telah bermula pada pukul 8.00 pagi.Pihak BKASM telah menempah sebuah bas untuk pengangkutan pergi dan balik kepada semua ahli usrah.Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada ahli BKASM dan turut serta juga dalam program ini adalah Ustaz Mohammad Farid bin Mohammad Zainal,Pegawai Atase Pendidikan Negeri Selangor.

Salah satu objektif program usrah gabungan ini diadakan adalah untuk memperkuatkan dan mempereratkan lagi silaturrahim dan ukhuwah antara semua ahli dan sebagai salah satu wasilah kepada ahli BKASM yang baru untuk mengenali ahli yang lama.Selain itu, sempena imtihan  fatrah satu yang akan diadakan tidak lama lagi,program ini adalah bertujuan  menyihatkan tubuh badan semua ahli agar dapat menghadapi imtihan dalam keadaan baik sama ada akal dan tubuh badan kerana bertepatan dengan kata-kata ulamak “ AKAL YANG SIHAT DATANG DARI TUBUH BADAN YANG SIHAT”.

Program ini telah berakhir pada pukul 10.00 pagi dan alhamdulillah program ini  berjalan dengan baik.Semoga program seperti ini akan dapat diteruskan dan dijalankan pada masa akan datang dan juga semoga ahli-ahli BKASM dapat memberi komitmen yang baik terhadapt aktiviti yang dianjurkan oleh BKASM.Semoga BKASM sentiasa dipelihara Allah S.W.T.

Disediakan oleh,

Setiausaha,Lajnah Dakwah dan Tarbiah,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir,
BKASM 2014/2015.

Jumaat, Disember 19, 2014

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA - Tinta Jumaat Siri Ke -3

"TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA "

Seringkali kita terdengar slogan-slogan keramat dilaung.Hal ini disebabkan bangsa Melayu yang terlalu kaya dengan adat dan istiadat.Namun timbul satu persoalan, adakah kesemua adat melayu berlandaskan syariat?

Firman Allah:

وَمَن يَعصِ اللَّه وَرَسُولَهُ, وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ, يُدخِلهُ نَاراً خَلِدًا فِيهَا وَلَهُ, عَذَابٌ مُهِينٌ
                                                              (Surah An-Nisa' : ayat 14)

Maksudnya : Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya,dan baginya azab seksa yang amat menghina.

Dalam pada kita sibuk mempertahankan adat istiadat, perlu diingat, sejauh mana timbang tara kita berkenaan syariat? Tidak dinafi, ada adat yang berlandaskan syariat, namun masih lagi terdapat adat yang bertentangan dengannya.

Kita bukan lagi hidup pada zaman kegelapan yang menjadi penerus kejahilan tetapi selaku pengubah generasi mendatang, kitalah yang seharusnya memperjuang dengan mengubah adat berlandaskan syariat. llmu yang dimiliki bukan untuk disimpan tetapi perlu dikongsi dengan disebar luas pada bumi dan seisinya.

Sabda rasulullah S.A.W : 


من رأى منكم منكرا فليغيره بيده, فإن لم يستطع فبلسانه, فإن لم يستطع فبقلبه, وذلك أضعف الإيمان

Konklusinya, matlamat tidak menghalalkan cara.Namun apakah modus operandi untuk merealisasikan matlamat tersebut? Iaitu dengan mengubah cara menjadi luar biasa bersesuaian dengan kehendak syariat." Betulkan yang biasa, biasakan yang betul". Justeru, sebagai seorang yang "faqih dan fahim", kitalah pencetus perubahan sekaligus membawa revolusi kegemilangan ummah.

" Siapa yang berjuang mencari mati, dia akan menemui hidup!
Dunia dicipta untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat.
Kita adalah warga akhirat, kerana di sanalah kehidupan yang hakiki dan abadi ".


" TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN"

Disediakan Oleh:
Ustazah Siti Noor Aisyah binti Ismail
Timbalan Ketua Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

Isnin, Disember 15, 2014

JAULAH MAQAM AULIYA


13 Disember 2014,SABTU-  Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2014/2015 di bawah Lajnah Sambutan dan Rehlah(LSR) telah mengadakan jaulah maqam auliya’(kenali ulama ‘14) bagi peringkat ikhwah.
Antara objektif yang dibawa pada jaulah maqam auliya’ kali ini adalah merapatkan ukhuwah antara ahli BKASM. Selain itu, menarik minat ahli untuk menjadi muysrif penerangan jaulah. Jaulah ini juga bertujuan untuk memperkenalkan kepada ahli dengan ulama-ulama yang terdapat di Mesir sekaligus menjadikan ulama sebagai contoh dalam menuntut ilmu.

Jaulah ini disertai oleh 45 siswa dari Badan Kebajikan Anak Negeri(BKAN) Selangor dan 5 siswa dari BKAN Pahang termasuk 2 orang musyrif dan 3 ahli jawatan kuasa LSR yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Auzaie bin Roslan. Pendaftaran jaulah ini telah dibuka pada hari Khamis dan ditutup pada Jumaat malam.

Pada jam 7 pagi, para peserta diminta untuk berkumpul di hadapan asrama Selangor untuk mendengar kalam perasmian  oleh Yang Di Pertua BKASM,Ustaz Anas bin Mohd Bukhari seterusnya taklimat disiplin dan adab ziarah maqam yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Abdul Hadi bin Ismut. Selesai taklimat, peserta diberikan sarapan di dalam ‘coaster’ yang telah disediakan.

Tepat jam 7.45 pagi, jaulah dimulakan dengan menuju ke maqam pertama,maqam Syeikh Soleh Jaafari. Seterusnya maqam Syeikh Ibnu Hisham al-Ansori, Imam Sya’rani, Imam Muhammad Bin Syihabuddin, Sultan Hanafi, Saidatina Zainab, Saidatina Sukainah, Saidatina Ruqayyah, Saidatina ‘Atiqah, Ibnu Sirin dan Saidatina Nafisah. Seterusnya para peserta dibawa ke Masjid Amru Al-As untuk menunaikan solat zohor dan makan tengah hari. Jaulah diteruskan dengan ziarah ke maqam Imam al-Syafie, Syeikh Zakaria al-Ansori dan Saidatina Rabiatul Adawiyah. Kemudian para peserta solat Asar di Masjid Uqbah.

Peserta turut diberikan penerangan tentang konsep tawasul oleh musyrif sebelum diberikan ruang untuk bertawasul dan melihat sekitar maqam. Musyrif juga memberikan penerangan dan pencerahan mengenai maqam yang diziarahi bagi menyuntik sedikit sebanyak semangat dan ibrah dalam diri peserta. Jaulah ini diakhiri dengan membawa para siswa dibawa ke  Jabal Muqattam untuk melihat dan menikmati pemandangan sekitar Kaherah sebelum berangkat pulang pada jam 4.45 petang.

Pihak pelaksana mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peserta yang menyertai jaulah maqam auliya’ ini dari BKAN Selangor dan  Pahang di atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan. Semoga objektif untuk merapatkan ukhuwah antara kita tercapai dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T.

Disediakan oleh,
(Muhammad Fathiyuddin B Nor Zaman)   
Setiausaha Kenali Ulama' 14
Lajnah Sambutan & Rehlah 
BKASM sesi 2014/2015                                                                                                            

Jumaat, Disember 12, 2014

TARBIAH MEMBENDUNG SIFAT MARAH - Tinta Jumaat Siri - 2

 TARBIAH MEMBENDUNG SIFAT MARAH
“ Tarbiah bukan segala-galanya,tapi segala-galanya bermula dari tarbiah ”

Berdasarkan dari kata hikmah di atas, tarbiah ini boleh disimpulkan kepada dua iaitu tarbiah ruhiyyah dan tarbiah jasadiah. Tarbiah ruhiyyah melibatkan hati dan iman manusia. Hati ini pula kadang-kadang diusik dengan sifat mazmumah yang boleh mendatangkan murka Allah antaranya sifat marah.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa seseorang lelaki berkata kepada Rasulullah S.A.W : “Berwasiatlah kepadaku”,lalu sabda Nabi S.A.W : (jangan engkau marah ).

Maka dia mengulangi pertanyaannya yang sama berkali-kali. Nabi S.A.W tetap bersabda: (jangan engkau marah). Sifat marah merupakan satu sifat yang lumrah di dalam diri manusia dan tidaklah Allah membebankan manusia itu melainkan dengan kemampuannya. Manusia yang sedang marah akan hilang sifat waras dan petunjuk pada dirinya.

Rasulullah S.A.W sendiri telah melarang seseorang itu menjatuhkan hukuman antara dua pihak dalam keadaan dia marah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar R.A dengan sabdanya :
“Tidak boleh seseorang hakim itu menjatuhkan hukuman di antara dua individu sedang ia dalam keadaan marah.”

Seterusnya, sifat marah ini juga boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Pada ketika itu,degupan jantung hati akan menjadi rancak, tekanan darah semakin naik, urat-urat saraf akan menjadi kejang, sistem saraf dan saluran darah menjadi tegang. Maka, sifat marah ini boleh dikawal melalui beberapa cara iaitu :
1. Selalu berzikir kepada Allah
2. Menjaga percakapan dari bercakap sesuatu yang tidak elok
3. Berwuduk dengan segera
4. Sentiasa mengambil pengajaran dari sirah Rasulullah S.A.W, para sahabat dan orang-orang soleh.

Akan tetapi, sifat marah ini boleh jadi sifat yang terpuji bila mana ia diletakkan di tempat yang sepatutnya.Yakni bila mana seseorang itu marah bukan kerana nafsu,tetapi kerana Allah SWT,Rasulullah dan Islam seperti mana apabila hukum Allah dicabuli, undang islam dipermainkan dan sebagainya.Waktu inilah sifat marah itu adalah patut. Diceritakan Saidina Ali R.A hampir menetak orang musyrikin di dalam perang Khaibar tetapi tidak terjadi lantaran diludah musyrikin tersebut. Terbantut keinginannya kerana sifat marah. Orang yang hebat dan berani bukanlah dilihat pada pahlawan yang berani sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W :
”Bukanlah keberanian itu hanya dengan bertempur di medan perang bahkan keberanian itu ialah seseorang yang mampu mengawal dirinya ketika ia sedang marah”.

Kesimpulannya, banyaknya perpecahan yang berlaku adalah berpunca dari sifat marah yang sentiasa dibisik oleh syaitan. Orang yang kurang cerdik dalam menahan marah akan selalu mengundang kerosakan kepada diri. Setiap pendakwah hendaklah hadam dan teliti dalam menilai segala penyakit dalam diri masyarakat di sekelilingnya kerana bila mengenal penyakit itu, seperti dia telah merawat separuh penyakit. Akhir sekali, pendakwah perlulah menunjukkan akhlak yang terbaik.

“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”

Disediakan Oleh :
Ustaz Mohd Faiz Bin Ismail Shah
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015