APA PILIHAN ANDA - Tinta Jumaat Siri ke -5


APA PILIHAN ANDA?


   Hakikat perjalanan kehidupan seorang hamba. Memilih untuk terus berada di jalan yang berliku hingga dikurniakan syurga atau memillih jalan dunia yang akhirnya dibalas dengan neraka. Diciptakan kita di atas muka bumi  Allah S.W.T tidak lain tidak bukan hanya untuk melaksanakan setiap suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Allah berfirman dalam Al-Quran :

{ وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون }

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKU

(Surah Az-Zariat:56)



{....ونبلوكم بالشر و الخير فتنة...}

...kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan...(surah Al-Anbiya':35)



   Ujian dan mehnah adalah sinonim dalam kehidupan manusia.  Namun apakah pilihan kita? Menjadikan ujian itu sebagai nikmat atau mengatakan ujian itu adalah bala? Satu perkara yang sama tetapi dua jalan yang berbeza. Fitrah manusia apabila senang, mudah  lupa pada penciptaNya. Namun, apabila payah merangkak-rangkak meminta kepada yang Maha Esa.


   Sedarkah kita ujian yang datang menimpa  tidak akan mampu kita membendungnya melainkan atas izin yang Maha Esa. Manusia yang menerima ujian tanpa ada sebarang kesedaran  umpama batu yang berlekuk disebabkan tekanan air yang jatuh padanya.  Tetapi berbeza bagi mereka yang menerima ujian diselitkan dengan pengharapan kepada Allah.


   Bagaimana mahu menjadi sebaik-baik ciptaan? Kembalilah kepada fitrah. Percaya kepada Allah, sesungguhnya Dia yang maha Pemelihara dan maha Mendengar. Terus beristiqamah dalam melaksanakan perkara-perkara asas seperti mendirikan solat fardhu dan membaca al-quran. Ditambah juga dengan amalan qiamulail. Sebagaimana Allah berfirman mafhumnya:


{Sesungguhnya jiwa orang yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap keperibadiaanya dan lebih jitu kata-katanya} (Surah Al-Muzzammmil:6)


   Bersempena dengan fatrah imtihan ini moleklah kita menjadikan wasilah ini sebagai kayu ukur dalam meningkatkan  tahap keimanan. Pilihan di tangan kita untuk terus beristiqamah atau kecundang di tengah jalan? Tepuk dada tanya iman. Akhir kata, ujian itu nikmat apabila memilih jalan menuju  kepadaNya tetapi  ujian itu bala apabila diabaikan tanpa pengharapan daripadaNya. Pandanglah ia dengan pandangan mata hati kerana pandangan itu ilham dari Illahi.


"Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan."



Disediakan oleh:

Norshafikah binti Abd Nasir,

Timbalan Lajnah Penempatan dan Perumahan,

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]