Jumaat, Januari 23, 2015

ISLAM PADA NAMA TAPI BUKAN PADA JIWA - Tinta Jumaat Siri ke -8

ISLAM PADA NAMA TAPI BUKAN PADA JIWA


        Bumi ciptaan Allah swt ini dimakmurkan oleh manusia yang sebahagian besarnya beragama Islam, mewakili kira-kira 1.6 bilion daripada seluruh populasi manusia. Jika dilihat angka itu, maka akan tergambar di benak fikiran kita, umat Islamlah yang menguasai dunia. Tapi realitinya bukan seperti yang kita sangka, majoriti tak semestinya menguasai. Kita (umat Islam) adalah umat yang tertindas dan dikuasai sebenarnya!

        Pernahkah kita terfikir mengapa umat Islam di sekitar Timur Tengah yang berjumlah lebih kurang 321.9 juta tidak mampu mengalahkan Israel yang rakyatnya hanya berjumlah sekitar 8.2 juta orang?? Sehingga kini Zionis Israel tanpa segan silu meratah batang tubuh Umat Islam Palestin sesuka hati walaupun gencatan demi gencatan senjata kononnya telah dimeterai. Pasti jawapan yang mungkin kita terfikir ialah, kita Islam pada nama tapi bukan pada jiwa.
Umat Islam hari ini kualitinya mungkin sudah tidak sama seperti dulu. Jikalau kita qiaskan kondisi umat Islam sekarang dengan hadith nabi yang berbunyi :

خير القرون قرني ثم الذىن يلونهم ثم الذين يلونهم. رواه مسلم
Sebaik-baik kurun ialah kurunku,kemudian yang mengikuti mereka, kemudian yang mengikuti mereka.

        Ibaratnya kita ialah umat yang paling jahat sekali kerana jauhnya zaman kita dengan Rasulullah SAW ditambah lagi dengan pelbagai fitnah yang terkumpul pada zaman ini. Jadi tidak hairanlah kita ini juga disamakan seperti buih di lautan seperti kata Rasulullah  SAW:

يوشك الامم ان تداعي عليكم كما تداعي الاكله إلى قصعتها فقال قائل أومن قلة نحن يومئذ؟؟ بل أنتم يومئذ كثير ولكنكم غثاء كغثاء السيل ولينزعن الله من صدور عدوكم وليقذفن الله في قلوبكم الوهن . فقال وما الوهن فقال حب الدنيا و كراهية الموت . رواه أبو داود
“Hampir saja para umat (yang kafir dan sesat, pen) mengerumuni kalian dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang bertanya,”Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit?” Rasulullah berkata,”Bahkan kalian pada saat itu banyak. Akan tetapi kalian bagai buih yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.”

        Hadith ini merupakan hadith lazim bagi seorang azhari kerana kerapnya kita mendengar setiap kali tazkirah mahupun ceramah. Tapi tak ramai yang betul-betul faham dengan hadith ini. Cukuplah hadith ini untuk menyedarkan kita semua bahawa banyak tak semestinya kuat dan sedikit tak semestinya lemah dan rawatlah penyakit kronik kita iaitu “cinta dunia”. Binalah jati diri muslim kita dari sekarang dan fahamilah Islam dengan kefahaman yang syumul. Wallahua’alam.

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan oleh :
Fikhry Hakim Bin Fadzilullah
Penasihat BKASM SESI 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan