Jumaat, Februari 20, 2015

BKASM JULUNG KALINYA MENGADAKAN JAULAH KE SELATAN SINAI

PERJALANKU SINAI ‘15

18 FEBRUARI 2015, RABU – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2014/2015 dibawah kelolaan Lajnah Sambutan & Rehlah (LSR) buat julung-julung kalinya telah mengadakan lawatan ilmiah ke Semenanjung Sinai selama tiga hari dua malam pada 15, 16, dan 17 Februari 2015 khusus untuk ikhwah.

Objektif yang diketengahkan pada jaulah kali ini antaranya ialah mengukuhkan ukhwah antara ahli BKASM pada setiap peringkat serta menambah pengetahuan dan thaqafah tentang sejarah dengan adanya penerangan dari musyrif berpengalaman sepanjang jaulah. Selain itu, jaulah ini juga bertujuan membentuk ahli yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental melalui aktiviti-aktiviti lasak ketika di sana.

PerjalanKu Sinai ‘15 mendapat sambutan yang memberangsangkan dari ahli dengan disertai seramai 62 peserta dari Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor termasuk dua orang peserta dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Terengganu. Menariknya pada kali ini, PerjalanKu Sinai yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Auzaie bin Roslan ini turut disertai Atase Pendidikan Negeri Selangor Mesir, Ustaz Mohamad Farid bin Zainal bersama ahli keluarga, dan Encik Shamsul Andri bin Masruddin, Pembantu Pegawai Atase Selangor Mesir.

Program dimulakan dengan taklimat disiplin dan keselamatan serta tentatif pada jam 1.00 pagi dan diikuti dengan Solat Sunat Hajat serta Solat Sunat Musafir sebelum bertolak. Rombongan bertolak dari Kaherah kira-kira jam 3 pagi dan berhenti rehat untuk Solat Subuh di Muzium Mini Suez sebelum meneruskan perjalanan. Antara tempat bersejarah yang dilawati pada hari pertama ialah Terowong Ahmad Hamdi, Kubu Israel, Telaga Uyun Musa, sauna semulajadi di Hamam Firaun. Penerangan tentang tempat-tempat tersebut diberikan oleh Musyrif program yang sangat berpengalaman, iaitu Ustaz Mohd Nur Afzan bin Ab Wahab. Destinasi terakhir pada hari tersebut ialah Dahab, tempat membeli-belah bagi para peserta juga merupakan tempat penginapan pada malamnya di Hotel Jawhara.

Hari kedua jaulah dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah serta tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Yang DiPertua BKASM, Ustaz Anas bin Mohd Bhukhari diikuti dengan ucapan dari Ustaz Mohamad Farid bin Zainal. Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada pagi hari antaranya snorkeling di Blue Hole dan menaiki Glass Boat sambil menikmati pemandangan indah dasar laut yang terdapat di sana. Perjalanan kemudiannya diteruskan lagi menuju ke St Catherine untuk melawat Uyun Musa dan Wadi Arbain sebelum menginap di Hotel Wady Mouquddus yang terletak di kaki bukit Sinai. Pada malam tersebut, peserta dijamu dengan hidangan BBQ kemudian berehat untuk persediaan mendaki bukit Sinai.

Misi pendakian bukit Sinai dimulakan pada jam 2.45 pagi dan kumpulan pertama tiba di puncak kira-kira jam 4.45 pagi dan menunaikan Solat Subuh di masjid yang terletak berdekatan dengan tempat Nabi Musa bermunajat kepada Allah. Alhamdulillah semua peserta yang mendaki akhirnya berjaya menamatkan pendakian mereka hingga ke puncak. Lebih menakjubkan, anak-anak kecil Ustaz Mohammad Farid yang turut serta dalam juga berjaya menyempurnakan misi pendakian bukit setinggi 2,285 itu. Keinginan para peserta untuk menyaksikan matahari terbit tidak kesampaian apabila cuaca pada pagi tersebut agak mendung dan berkabus. Namun, tanpa disangka-sangka salji turun ketika mereka berada di puncak Sinai.

Sepanjang perjalanan menuruni bukit, para peserta melawat perkampungan Nabi Ilyas AS, Monastery St Catherine, pancaran lembu Samiri, dan menziarahi makam Nabi Harun AS sebelum kembali ke hotel untuk bersiap pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, peserta sempat dibawa menziarahi makam Nabi Saleh AS dan mengadakan majlis penutup program di dataran padang pasir berhampiran. Rombongan PerjalanKu Sinai tiba di kediaman Hayyu Asyir pada jam 3 pagi.

Pihak pelaksana program PerjalanKu Sinai ’15 merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang menyertai jaulah pada kali ini diatas sokongan dan kerjasama yang sangat baik sepanjang program. Semoga objektif untuk mengukuhkan ukhwah antara ahli tercapai dalam menuju 50 Tahun BKASM melalui kembara tarbiyah ini dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah.

“TEGUH PEMIKIRAN, RIBAT KEBERSAMAAN”


Disediakan oleh,
(LUQMAN BIN MOHD ZAKI)
Setiausaha PerjalananKu Sinai ’15,
Lajnah Sambutan & Rehlah,
BKASM sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan