Jumaat, Februari 06, 2015

AMBIL IBRAH DARI SIRAH - Tinta Jumaat Siri ke -10




AMBIL IBRAH DARI SIRAH
              
  Allah SWT mentakdirkan setiap sesuatu terhadap segala perkara. Tidak ada yang terkecuali. Dari sekecil benda hingga sebesar perkara. Dengan segala takdir-Nya maka terciptalah sejarah atau sirah. Di dalamnya tersurat dengan sirah, tersirat pelbagai ibrah. Al-Quran sendiri banyak merekodkan kisah,sejarah dan diselitkan juga dengan pengajaran tentang para nabi, haiwan dan alam semesta. Begitu juga As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

ADA APA DENGAN SIRAH?

                Manusia asal pengetahuannya adalah jahil. Maka ilmulah yang akan mengalimkan mereka. Dengan mempelajari dan mengkaji sejarah maka kita akan dapati pelbagai perkara antaranya ilmu, kemahiran dan pengajaran yang utama. Sejarah para nabi, para sahabat dan tokoh-tokoh Islam adalah perkara yang mesti kita titikberatkan dalam kehidupan seharian. Ia diibaratkan kunci(keilmuan,kebijaksanaan dan kemahiran) yang membuka jalan kehidupan kita kepada kebahagian atau penderitaan kelak.
Firman Allah Ta’ala :
                “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan) nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui” (Surah Yusuf ayat : 3)


PENTINGNYA IBRAH

                Ibrah atau pengajaran merupakan elemen yang memainkan peranan kepada kita dalam memahami sesuatu sejarah itu sendiri. Intipati di dalamnya boleh jadi baik atau buruk, selamat atau bahaya bergantung kepada siapa yang memahaminya. Contoh yang mudah, si kaya akan belajar untuk terus jadi kaya kerana dia telah belajar apa itu erti miskin. Dahulu dia miskin, hidupnya jadi susah lalu dia mengambil pengajaran (kesusahan) akibat dari kemiskinan itu maka dia belajar(usaha) untuk menjadi kaya.
               
                Kesimpulannya, belajar dan kajilah tentang sirah dan ambil darinya ibrah. Seterusnya jadikan dan gunakan ia sebagai sebahagian panduan dalam menjalani kehidupan agar kita menjadi manusia yang sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan aman. Allahualam.


“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Muhammad Al-Fateh bin Ahmad Sapian,
Ketua Lajnah Kebajikan

BKASM sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan