Jumaat, Februari 27, 2015

KESEDARAN ISLAM YANG SEBENAR - Tinta Jumaat Siri ke -13



 KESEDARAN ISLAM YANG SEBENAR

Firman Allah swt dalam Surah Al-Isra’ ayat (11) :
ويدع الإنسن بالشر دعاؤه بالخير وكان الإنسن عجولا
Maksudnya : “Dan manusia seringkali berdoa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa”.

Allah swt berfirman juga dalam Surah Al-Maidah ayat (45) :
ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الظلمون
Maksudnya : “Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Kehilangan Islam dalam praktikal hidup masyarakat

                Cara hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-quran. Mereka menolak kekuasaan, kebesaran dan janji-janji Allah.
                Keyakinan umat Islam mestilah dibina semula agar mereka merasai pentingnya rahmat Allah. Penolakan terhadap rahmat Allah dalam kehidupan mereka dianggap sebagai satu ancaman keras yang sentiasa membahayakan keselamatan jiwa, fikiran dan amalan.
                Kesan daripada penolakan tadi, umat Islam kini kehilangan Daulah Islamiyyah ke arah ‘Ubudiyyah nilai hidup sebenar dan akhlak sebenar.

Punca

Penolakan umat Islam terhadap Islam berpunca dari ‘aqidah yang lemah. ‘Aqidah yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai ad-Din. ‘Aqidah yang sakit lantaran dipengaruhi dan diserang oleh cara hidup bukan Islam.
Pelbagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkahlaku umat hingga Islam kembali menjadi dagang. Islam sebagai ad-Din turut asing di hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud hanyalah realiti mempertikaikan kehendak-kehendak Allah swt. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang Islam kehendaki dan mempertikaikan nilai-nilai syara’.

Siapakah yang akan menyambut seruan kesedaran

Setiap daie perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan rahmat Allah dan yang ingin menyahut seruan Allah. Fitrah manusia untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melalui proses. Daie atau murabbi perlulah bijaksana menggunakan teknik dan cara bertindak dalam menarik mad’u yang pelbagai.
 Daie perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan rahmat Allah. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah dalam setiap bidang.
Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur atau tidak berfungsi dengan betul. Hati-hati ini juga perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan berpunca dari permasalahan ‘aqidah yang mesti diterokai terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi iman sebenar agar tindakan yang lahir selaras dengan tuntutan iman. Iman kepada Allah adalah pemancar. Dari pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam.

Oleh yang demikian, daie atau murabbi perlu memahami bahawa ‘mukmin’ adalah natijah yang lahir daripada tarbiah yang menekankan keimanan kepada Allah.

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "



Disediakan oleh,
Nurul Nazuwa binti Zazamudin
Timb. Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan