Selasa, Mac 03, 2015

KHILAFAH : SUNNAH YANG SEPATUTNYA DIKEMBALIKAN

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وإنه لا نبي بعدي وسيكون خلفاء فيكثرون

“Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, apabila wafatnya Nabi maka akan ada yang menggantikan nabi, sesungguhnya tidak ada Nabi lagi selepas daripada aku, dan akan ramainya khalifah-khalifah (pemimpin-pemimpin) selepas aku”(Riwayat Bukhari)

Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w menjadi suatu titik permulaan bagi kehidupan umat Islam. Semangat untuk meneruskan legasi pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul menggugat para sahabat. Nabi tidak boleh diganti, hukum Allah yang meletakkan Nabi sebagai “khotaman Nabiyyin” tidak boleh diubah. Maka hasil musyawarah sahabat di Thaqifah Bani Sai’dah menjadi sejarah terpenting bagi umat Islam dalam mengingati sejarah permulaan khilafah selepas kewafatan Nabi S.A.W.

Permulaan Saidina Abu Bakar ketika memimpin umat Islam bukanlah suatu perkara baru, akan tetapi suatu perkara yang diteruskan daripada Nabi Muhammad sebagai ketua yang memimpin Negara Islam Madinah. “Manhaj Nubuwwah” iaitu kalimah yang sentiasa disebut mesti kita ingat dan amati bahawa bukan hanya “manhaj Nubuwwah” akan tetapi terkandung di dalamnya juga “manhaj khilafah” sebagai wasilah kesatuan umat Islam. Rekod Nabi S.A.W dalam mendirikan negara Islam, rekod Nabi melaksanakan pemerintahan negara islam, rekod Nabi memastikan negara-negara jiran tersebar tentang Islam adalah antara hujah yang mesti diingati bahawa manhaj khilafah adalah suatu kewajiban bagi umat Islam.

Penerusan zaman khilafah menjadi suatu kekuatan bagi umat Islam. Kekuatan yang sangat dibimbangi oleh musuh-musuh sama ada dari luar mahupun dalam. Justeru, usaha untuk melenyapkan khilafah terus dilakukan sehingga kemuncak pada pemerintahan khilafah Uthmaniah. Usaha dalam melenyapkan khilafah turut dibantu pengkhianat agama “Mustafa kamal Attartuk”. Sejarah kejatuhan khilafah ini juga disebut sebagai sejarah kerosakan yang paling besar dalam sejarah umat Islam. Sebab itu kalau kita perhatikan, berlakunya peperangan-peperangan besar di dunia bukanlah suatu yang tidak disengajakan, akan tetapi ia suatu agenda terancang yang merugikan umat Islam.

Peperangan dunia pertama, menyaksikan peranan khilafah di atas muka bumi dilenyapkan.
Peperangan dunia kedua pula, menyaksikan bagaimana orang-orang yahudi membahagikan negara-negara umat Islam kepada jajahan mereka. Antara yang boleh kita saksikan pembahagian negara-negara Islam di Asia Barat kepada British, Perancis dan Itali melalui perjanjian Sex-vico, pembahagian semenanjung Tanah Melayu  kepada British dan Siam melalui perjanjian Bangkok, pembahagian antara kepulauan Tanah Melayu melalui perjanjian Betawi juga di negara-negara Asia Tengah yang dibahagikan Antara China dan Soviet Union.

Walaupun dapat kita lihat selepas peperangan dunia kedua, negara yang ditadbir tetap ditadbir oleh penguasa-penguasa Islam, namun aliran pemerintahan yang dibawa tetap aliran yang sama dan mesra dengan barat yang tidak suka dengan Islam, perlembagaan-perlembagaan yang dilaksanakan tidak menuruti kehendak Islam. Maka menjadi suatu kebodohan sekiranya kita mendabik dada dengan sistem dan pemerintahan yang ada sekarang. Realitinya, kita sedang berhadapan dengan proksi-proksi yang telah dibina oleh mereka  semenjak daripada peperangan dunia kedua lagi.

Penerusan kepada kehilangan khilafah ini bukanlah suatu benda yang harus dibiarkan. Janji Allah dalam al-Quran berkenaan golongan-golongan yang menjaga dan mendokong agama ini tetap ada dalam meneruskan perjuangan mempertahankan Islam.

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خالفهم حتى يأتى أمر الله
“Senantiasa ada dalam kalangan umatku yang mempertahankan kebenaran, mereka tidak dapat dimudharatkan bagi siapa yang bertentangan dengan mereka, sehinggalah datangnya janji Allah”(Riwayat Ahmad)

Sebelum kejatuhan khilafah lagi, Sheikh Jamaluddin al-Afghani berusaha dalam meng’islah’ dan memperbaiki masyarakat dan kerajaan, Sheikh Muhammad Abduh yang berusaha mempertahankan khilafah daripada jatuh, begitu juga Sheikh Rasyid Redha dan lain-lain.

Selepas kejatuhan khilafah yang melenyapkan sistem kesatuan umat Islam di dunia, maka tetap ada juga penolong-penolong agama Allah atas muka bumi ini. Kewujudan persatuan-persatuan dan parti-parti Islam di setiap negara bukanlah suatu perkara yang tidak disengajakan, akan tetapi suatu inisiatif yang timbul bagi mengembalikan semula kekuasaan khilafah yang telah terjatuh bermula dengan negara masing-masing. Ia adalah amanah yang diletakkan atas bahu setiap muslim. Jika kita hidup dengan sistem khilafah itu wajib, maka lagi-lagilah wajib kita menghidupkan sistem khilafah itu ketika mana ketiadaannya.

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Apa yang tidak sempurna kewajiban kecuali dengan adanya perkara tersebut,
maka perkara tersebut menjadi wajib”

Sejarah yang terpahat dan diingati kita pada hari ini bukanlah suatu ilmu yang hanya untuk didiskusikan dan dikenang-kenangkan, akan tetapi ia suatu kewajiban yang mesti dilaksanakan bagi setiap individu yang bergelar muslim. Fenomena sekarang adalah kita hidup di zaman kejatuhan Islam, bukan di zaman kewujudan khilafah. Maka, inisiatif yang perlu diambil bagi umat Islam bukan sahaja mengembalikan manhaj nubuwwah (نيابة عن النبوة), malah turut terpalit adalah perlu mengembalikan manhaj khilafah yang telah hilang (نيابة عن الخلافة).

Namun, dalam memahami tuntuan dan kewajiban Islam ini, jangan kita lupa musuh-musuh Allah yang juga sentiasa berusaha dalam memadamkan agama-agama Allah ini. Agenda terbesar yang berjaya meresap ke dalam pemikiran orang Islam adalah agenda “Islam tanpa politik”,“Islam tanpa pemerintahan” atau yang lebih halus lagi, ”Islam tanpa syariah”. Fahaman-fahaman seperti tidak perlu berjemaah, tidak perlu mengembalikan khilafah, tidak perlu bersama-sama dengan kesatuan Islam adalah kefahaman karut yang berlawanan dengan sunnah Allah Taala dan sunnah perjuangan para rasul. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang membawa agenda musuh Islam tanpa kita sedar.

يا أيها الذين آمنوا إن تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم
“wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan memperteguhkan pendirian kamu” (Muhammad:7)

"Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan"

MUHAMMAD SUFI B. MOHD YUSOF
PENASIHAT 
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR SESI 2014/2015


0 comments:

Catat Ulasan