Rabu, Mac 11, 2015

SEJARAH KESATUAN YANG DILUPAKAN - Tinta Jumaat Siri ke -14


SEJARAH KESATUAN YANG DILUPAKAN
            
  Bilamana sejarah diketengahkan di dalam perbincangan, perlu diketahui sejauhmana kesahihan sejarah tersebut. Sirah Nabi Muhammad s.a.w merupakan sejarah yang terperinci dan paling sahih berbanding dengan sejarah-sejarah yang lain disebabkan metod pengambilan sejarah tersebut yang tidak dapat dinafikan kebatilannya.

Sejarah melakarkan satu paradigma yang agung apabila manusia dapat disatukan di bawah satu wadah kepimpinan Islam bermula era negara Islam pertama iaitu Madinah. Di situ bermulanya kekuatan dibentuk dan disebarkan pengaruh Islam ke beberapa tempat. Setelah wafat baginda Nabi Muhammad s.a.w, diteruskan lagi peranan kepimpinan Islam oleh para sahabat bahkan mengutamakan perlantikan khalifah daripada pengebumian Nabi. Disebabkan peranan itu diteruskan, akhirnya Islam berjaya meluas hingga sepertiga dunia.

Kesatuan yang dibina atas dasar Islam. Kesatuan dari sudut bersatunya kawasan-kawasan yang sekiranya berlaku serangan musuh luar, maka mereka akan bersatu dalam melawan musuh tersebut sehingga kalah. Kesatuan dari sudut rujukan iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang relevan untuk setiap tempat dan masa.

Kesatuan terakhir yang terpenting adalah dari sudut pemimpin yang satu iaitu “Khalifah” yang menyatukan umat yang berada di dalam negara Islam selain mengelak daripada perpecahan. Kalaulah Islam mengajar kita dalam bab perselisihan antara suami dan isteri perlu didatangkan hakim, apatah lagi dengan perkara manusia yang lagi banyak mehnahnya.
Berdasarkan fenomena tadi, dapat kita simpulkan bahawasa perintis kepada tercetusnya kepada pemikiran kesatuan adalah ideogi Islam yang datangnya daripada Allah s.w.t. Allah berfirman di dalam kitabNya: "

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا"

Maksudnya: Berpeganglah kepada tali Allah dan jangan berpecah belah.(Surah Ali Imran, ayat 103)

Malangnya, kesatuan ini mula merudum dalam diri orang-orang Islam hari ini apabila khilafah dijatuhkan hasil daripada perancangan-perancangan Yahudi. Mereka menonjolkan seorang tokoh iaitu Mustafa Kamal Atartuk dalam misi menjatuhkan kesatuan melalui menjatuhkan khilafah selain daripada memburukkan khalifah pada ketika itu dan membangkitkan semangat nasionalisme Arab.
Kita, sebagai mahasiswa Mesir, perlu ada kesedaran tentang pentingnya kesatuan ini dan mengambil berat terhadap permasalahan yang kita hadapi pada hari ini. Ini kerana Islam membawa rahmat kepada seluruh alam dan tidak akan terjadi rahmat ini secara total melainkan adanya kesatuan. 

Akhir sekali, ingatlah firman Allah untuk kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w jadikan renungan:
 "كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر وتؤمنون بالله"
Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang mana menyuruh kepada kebaikan, melarang kepada kemungkaran dan beriman kepada Allah” (Surah Ali-Imran,110)

Wallahua’lam.

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Aiman Fitry bin Zulkifli,
Ketua Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2014/2015


0 comments:

Catat Ulasan