Jumaat, April 17, 2015

APLIKASI SIRAH DALAM KEHIDUPAN - Tinta Jumaat Siri ke -17


    Sirah adalah putaran kehidupan yang dilalui oleh baginda Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dan para sahabat .Di dalamnya tercatat pelbagai ranjau kehidupan berhadapan dengan musuh, puak munafiq dan berbagai lagi kesusahan serta penderitaan yang dialami oleh baginda dan para sahabat yang tak dapat digambarkan dek kewarasan akal.

   Putaran kehidupan mereka sering dijadikan modal,manhaj atau diskusi baik di medan sosial dan media massa yang lain.Tidak ketinggalan bagi  para daie yg beriltizam atas jalan baginda dan para sahabat, menjadikan sirah sebagai manhaj dan bekalan di dalam melayari bahtera seorang daie.
Namun begitu, perlu ditimbulkan beberapa persolan tentang bagaimana pembacaan dan penceritaan  kisah tauladan mereka yang didengarkan di corong- corong media massa. Adakah ianya  mampu memberi kesan dalam kehidupan muslim amnya dan mahasiswa muslim khususnya ?Mengapakah masih terdapat cendekiawan barat mampu menjadikan sirah baginda sebagai satu motivasi dalam kehidupan duniawi mereka sehinggakan mereka berjaya dalam kehidupan sedangkan orang-orang Islam membaca sirah yang sama namun tidak mendapat apa-apa hasil  daripada pembacaan mereka.

   Bahkan Umat Islam hanya mengetahui tentang kesedihan Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dan turut sama bersedih atas sirah baginda dan berterusan dalam keadaan begitu sedang jiwa mereka tidak menyedari bahawa pengakhiran kesedihan baginda adalah kebangkitan yang terserap dalam jiwa seorang hamba yang menjadi pemangkin semangat untuk terus maju dalam misi memperbetulkan akidah masyarakat pada ketika itu.

Allah S.W.T berfirman :-
ولقد جاءك من نباء المرسلين
Maksudnya : 
"Sesungguhnya telah datang kepadamu wahai Muhammad akan berita para rasul yang terdahulu"
(Surah al-Anam ayat 34)

   Ayat ini turun tatkala baginda sedih terhadap apa yang dilakukan pihak musuh kepada orang-orang muslim lantas ditenangkan oleh Allah S.W.T dengan pengkhabaran kisah tentang para rasul yang terkemudian daripada baginda. Di sini kita dapat melihat peranan sirah dalam kehidupan  individu muslim baik kehidupan dalam dakwah,menuntut ilmu,politik dan sebagainya iaitu sebagai motivasi dalam kehidupan.

  Oleh kerana itu, sebagai muslim yang sentiasa membaca baik Syamail Muhammadiah,Sirah Nabawiyah Durus Wa Ibar,Siar A’lamun Nubala,Tarikh At- Thabari dan sebagainya perlu memandang sirah ini dengan pelbagai skop baik pendidikan,ekonomi, politik dan lain-lain. Ini kerana kehidupan mereka menjadi panduan untuk kita berhadapan dan mengkaji tentang pergerakan musuh,dan juga sebagai panduan kehidupan kita yang mempunyai pelbagai corak dan warna.

   Ada yang membaca kisah Nabi Yusuf Alaihisaalam namun tidak mendapat apa-apa hanya sekadar tertarik dengan penceritaan ketampanan wajah baginda sahaja.lalu mengambil ayat-ayat tertentu di dalam surah Yusuf sebagai pengamalan untuk menjadi tampan seperti baginda Yusuf Alaihissalam sedangkan solat dan amalan sunat nya yang lain entah ke mana perginya.Adakah ini hasil yang dikehendaki daripada pembacaan  sirah?

   Hentikan membaca sirah,jika ianya hanya sekadar kisah dongengan dan hikayat orang-orang lama pada diri kita. Sirah adalah sebuah ibrah. Ambillah sebanyak mungkin ibrah daripada sirah Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dan para sahabat untuk nilai-nilai kebaikan dalam kehidupan.

“ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh :

Muhamad Nazif bin Shaari
Timbalan Yang Di-Pertua I
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir  sesi 2014/2015



0 comments:

Catat Ulasan