Jumaat, April 03, 2015

DOKONGAN PADU KEPADA PMRAM



بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah. Pujian bagi Allah tuhan yang menguasai sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan Muhammad SAW serta para keluarga Baginda, sahabat-sahabat dan para penerus rantai dakwah sekalian.

    Atas coretan ini saya selaku Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015 (PMRAM Cawangan Selangor) ingin melafazkan takziah buat seluruh ahli dan kepimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) atas pembekuan pendaftaran PMRAM. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan ganjaran yang besar di sisi-Nya.

    Pmram merupakan satu wadah kesatuan anak-anak Melayu yang bertapak di bumi Mesir ini sejak 85 tahun keberadaannya. Dengan kapasiti umur yang matang dan ahli yang mendokong, kesatuan ini dijaga dengan rapi dan dijulang sebagai khilafah kecil yang menaungi anak-anak Melayu. Pelbagai mehnah dan tribulasi yang telah dikecapi samada pimpinannya mahupun ahli. Sejarah telah memaparkan bagaimana episod PMRAM cuba untuk diharamkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Bahkan PMRAM juga pernah melalui pengalaman dibekukan sekitar 70an yang lalu.

   Pembekuan PMRAM kali ini sepertimana yang dimaklumkan oleh Saudara Hanifulfuad bin Husin, Presiden PMRAM 2014 dalam Persidangan Khas baru-baru ini bukanlah asing buat ahli dan kepimpinannya. Bahkan ianya menjadi sebahagian daripada mehnah perjuangan sepertimana mereka-mereka terdahulu mencipta sejarah. Pasti dan pasti, PMRAM akan kembali menuju ke persada ummah dengan izin Allah SWT suatu hari nanti. Beriman dengan satu hadis nabi SAW :
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله  (رواه مسلم)
Bermaksud : Akan sentiasa ada satu kumpulan dalam kalangan umatku mereka berada di atas jalan kebenaran, tidak ada sesiapa yang mampu memudharatkan mereka sehinggalah tibanya qiamat.

   Saya mewakili kepimpinan dan ahli di peringkat PMRAM Cawangan Selangor akan terus bersama mendokong PMRAM dari pelbagai aspek dan kepentingan demi menjayakan resolusi yang telah disepakati dalam Persidangan Khas baru-baru ini. Di kesempatan ini juga saya meluahkan rasa kesal dan kecewa sekiranya di sana terdapat tangan-tangan ghaib yang cuba menjatuh dan meroboh kesatuan yang telah dibina sejak sekian lama ini. Jika benar, maka Allah adalah sebagi-baik hakim yang akan mengadili suatu masa kelak. 

  Akhir kalam daripada saya, saya menyeru seluruh mahasiswa-mahasiswi yang berada di perlembahan Nil ini mahupun yang berada di tanah air agar kita dapat bersatu dan bergandingan bahu dalam mengembalikan era kegemilangan PMRAM untuk masa akan datang. Semoga nusrah Allah bersama para pendokong kebenaran.

#kitaPMRAM
#BersamaBersatu

Anas bin Mohd Bhukhari
Yang Di-Pertua
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

(PMRAM Cawangan Selangor)

0 comments:

Catat Ulasan