Khamis, April 23, 2015

RISALAH DAKWAH TERBITAN APRIL - ANDA AKAN DIDAKWAH

      ANDA AKAN DIDAKWAH
 
” Jom turun solat Jemaah kat musolla", ajak seorang rakan kepada rakannya yang lain.
"Nantilah, kalau sempat.. tak pun, jemaah kat bilik pun boleh kan?" jawab rakannya tadi.
Sedih.
Sedih mendengarkan alasan itu. Itulah hebatnya Allah Subhanahu wataa'la, hanya Dia-lah sahaja yang mampu untuk menggerakkan hati manusia seperti saya dan anda untuk menuju redha-Nya. TETAPI! Hidayah dari Allah SWT bukannya alasan untuk tidak mencari keimanan kepada-Nya.
"Jom kita puasa", kata seseorang kepada rakan karibnya.
"Hehe.. hidayah Allah tak sampai lagilah. Tak sampai seru, dah sampai nanti aku puasa la. Jangan risau, nanti aku puasa tiap-tiap hari. Huhu..", jawab rakannya dengan bersahaja. Nauzubillah.
Apakah perasaan anda, jika mendengar kata-kata seperti itu? Mungkin kemarahan akan menjelma ketika itu kan? Sabarlah dan terus bersabar. Seorang dai'e tidak kenal erti putus asa. Bukan  kejayaan yang Allah lihat, tetapi kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa itulah yang menjadi perhatian Allah SWT. Lagi dan lagi berusaha berdakwah.
TAKUT DIDAKWAH?
"Panas..panas! aku tak boleh dengar lagu-lagu nasyid ni. Aku jadi terbakar nanti" kata seorang teman kepada saya suatu ketika dahulu.

                Terbakar ke apabila mendengar ayat-ayat Allah, hanya syaitan sahaja yang akan lari bertempiaran apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT. Mengapa  apabila mendengar lagu-lagu korea dan inggeris tidak terbakar pula?. Kita sengaja meletakkan Allah itu jauh dari diri kita , kerana itu, kita sukar mendapatkan-Nya.

                Antara faktor, mengapa kita takut didakwah ialah kita berasa terpaksa dan dipaksa. Pernah suatu ketika semasa saya di sekolah menengah di tingkatan 1, warden asrama kami mewajibkan kepada semua pelajar untuk solat sunat rawatib, sesiapa yang tidak solat  atau meninggalkan solat sunat itu walau sekali pun akan didenda olehnya. Akhirnya semua pelajar akan mengikut suruhan itu walaupun dalam keadaan terpaksa.

                Bagi yang dapat menerimanya, paksaan itu lama-kelamaan akan menjadi kerelaan . Bagi yang tidak dapat menerimanya, pastinya tidak akan meneruskan ibadah ini setelah keluar dari sekolah. Di manakah silapnya? Keterpaksaan itu atau niat kita? Mungkin sebab ini juga menjadi alasan mengapa kita takut didakwah selain sebab keimanan yang nipis di dalam hati.
LAYAKKAH KITA BERDAKWAH?
" Kau pun banyak buat dosa, nak dakwah orang pula"
" Kau nasihatkan orang, tapi buat juga"
" Kita bukan Ulama, mana boleh cakap hal-hal agama ni"

                Kata-kata yang biasa kita dengar dan mungkin juga kita pernah menyebutnya. Benar,kita bukan orang a'lim ataupun ulama yang mempunyai ilmu yang menggunung  dalam bidang agama, kita insan yang dahagakan ilmu agama sebenarnya. Tetapi ilmu itu nasihat, semua yang kita tuturkan adalah dakwah.  Janganlah menyebut soal hukum yang berat-berat apabila ia bukan kepakaran kita, hanya sekadar ilmu yang kita tahu dan sebutlah berkenaan akhlak, adab dan hal-hal lain yang lebih ringan mengikut kemampuan kita.

                Firman Allah SWT:        
فذكر إن نفعت الذكرى
                Maksudnya:Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.

                Dakwah yang paling mudah ialah menunjukkan akhlak yang baik. In Sha Allah, semua mampu melakukannya. Tiada alasan untuk tidak berdakwah dan janganlah menyempitkan makna dakwah itu sendiri. Saya dan anda adalah pendakwah dan orang yang didakwah kerana ianya adalah proses mengenal  TUHAN. Nabi Musa a.s yang mempunyai kelebihan untuk bercakap terus dengan Allah SWT pun ditarbiyah oleh-Nya. Ini menunjukkan manusia perlu sentiasa didakwah, ditarbiyah dan ditazkirah.

                "Allah berfirman " Aku seperti mana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku akan bersama hamba-Ku jika di mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam khalayak ramai, Aku mengingatinya ditengah khalayak lebih ramai ( para malaikat dan seluruh makhluk). Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, aku mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku akan mendekatinya dengan berlari"                 ( hadis Qudsi Riwayat Bukhari )

                Walaupun kita tidak mahu berubah, tetapi sekurang-kurangnya  tetapkan di dalam hati kita mahu ditarbiyah dan mahukan agama. Kerana ianya pintu hidayah kepada kita. Seperti Saidina Umar r.a yang memerangi islam dan Nabi SAW, akhirnya beliau memeluk islam kerana hatinya terbuka mahukan  agama ( kisah beliau mahu mendengar ayat  Al-Quran dari adiknya). In Sha Allah, kita berada dalam kalangan hamba-hamba yang sentiasa beringat dan memperingatkan.
Wallahua'alam.


“PEMIKIRAN WASATIYAH MEMBENTUK TUNJANG UMMAH”

Hasil Karya : Nora binti Noor Rusdeen

| Lajnah Dakwah & Tarbiah |
| BKASM sesi 2014/2015 |




0 comments:

Catat Ulasan