BERSABAR DALAM UJIAN BUKTI MUSLIM SEBENAR - Tinta Jumaat Siri ke - 20
Bersabar Dalam Ujian, Bukti
Muslim Sebenar
Allah berfirman di dalam Al-Quran:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (٢) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (٣)
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benar beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta (3) : Al-Ankabut ayat 2-3
Ayat ini menunjukkan fitrah hidup kita sebagai hambaNya seharusnya diuji lebih-lebih lagi orang yang beriman. Datangnya sesebuah ujian tersebut bukanlah untuk melemahkan kita bahkan menguatkan hati kita dalam meneruskan kesinambungan perjuangan Islam.
Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan tragedi gempa bumi yang berlaku di negara Nepal yang mengorbankan sebegitu ramai nyawa. Gempa bumi sekuat 7.8 richter itu sudah cukup memusnahkan sebahagian kawasan di Nepal. Namun, dalam hampir kesemua bangunan musnah, Masjid yang bernama masjid Khasmiri Taqiya yang berusia lebih 500 tahun tetap kukuh berdiri tanpa ada sebarang rekahan kesan dari gempa bumi tersebut. Subhanallah, ini jelas menunjukkan Allah menjaga syiar Islam yang ada di atas muka bumi ini.
Di Malaysia pula, kita digemparkan dengan berita kemalangan maut di lebuhraya Duke pada minggu ini. Episod hitam bagi dua kanak-kanak yang menjadi yatim piatu dek kerana sebilangan pengguna jalan raya yang berlumba tanpa mengambil peduli keselamatan orang lain. Akan tetapi, kita dapat lihat, bersatunya rakyat marhaen dalam mengutuk tindakan individu yang terlibat serta dapat dilihat banyak pihak datang menghulur bantuan. Ini membuktikan sensitiviti rakyat negara kita khususnya umat Islam begitu prihatin dengan nasib saudara seislam.
Jika kita singkap sirah Nabi Muhammad ketika diberi ujian oleh Allah dalam peristiwa “Ammul Huzni” iaitu tahun kesedihan yang telah menjadi titik tolak kepada baginda dalam menyampaikan dakwah Islam. Baginda diuji dengan kehilangan dua orang yang selama ini menjadi pendokong kepada dakwah nabi iatu isteri Baginda Siti Khadijah dan bapa saudara Baginda Abu Talib. Hikmah daripada ujian tersebut, Baginda diangkat darjat oleh Allah S.W.T melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj. Baginda bertemu Allah Taala dan seterusnya membawa pulang kepada umat Islam pensyariatan solat lima waktu yang kekal hingga ke hari ini.
Allah berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (١٥٥)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar : Al-Baqarah Ayat 155
Kesimpulannya, setiap ujian yang Allah timpakan kepada kita sama ada baik mahupun buruk, pasti ada hikmahnya disebaliknya. Sikap putus asa dan menyalahkan takdir ketika diuji adalah perkara yang kita patut hindari. Teruskan istiqamah dalam jalan dakwah walau seberat mana Allah timpakan ujian. Di setiap kesusahan itu, pasti ada kesenangan. Wallahu a’lam.
“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”
Disediakan oleh :
Mohd Azrollnaim Bin Arsyad
Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015
Ulasan
Catat Ulasan