MEMAHAMI ISLAM GAYA PARA SAHABAT RADIYALLAHU ANHUM - Tinta Jumaat Siri Ke-23


Islam yang telah sampai kepada kita hari ini adalah hasil dari berkat titik peluh usaha pendakwah terdahulu yang sanggup berkorban meninggalkan tanah air untuk menyampaikan Islam. Usaha dahsyat dari para mujahidin dan pendakwah terdahulu dalam membawa Islam sehingga 2/3 bumi ini menerima naungan agama tauhid ini. Lalu timbul persoalan apakah rahsia semua ini?? Mungkin satu sudut yang kita boleh nilaikan ialah kerana mereka memahami Islam dengan sebenar-benar kefahaman.

Benarlah kata ulama, Islam yang sampai kepada kita hari ini ibarat sebatang sungai yang sedang mengalir. Semakin jauh dari hulunya, semakin kotor dan berkeladaklah ia. Kita ini sperti di hilir sungai yang telah jauh meninggalkan generasi rabbani dan salafus soleh. Ditambah lagi dengan keterbukaan media dan gejala fitnah zaman kini yang maha dahsyat,kita telah tenggelam dengan pelbagai masalah yang makin menjauhkan kita dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Faham Islam yang disematkan dalam diri para sahabat R.A oleh Rasulullah SAW bahawa agama ini bukan semata-mata milik diri sendiri tetapi ia perlu disebar dan disampaikan kepada dunia lain. Sebab itulah kita lihat, selepas kewafatan Rasulullah SAW, ramai para sahabat berpindah keluar dari Madinah untuk membebaskan tempat-tempat lain daripada pengaruh syirik yang dikenali dalam sejarah Islam sebagai “Futuhat” seperti Basrah, Syam, Kufah, Mesir dan lain-lain. Kalau diikutkan emosi,pasti saja mereka tidak ingin keluar dari Madinah kerana di situlah memori indah mereka dirakam bersama Rasulullah SAW dan terus kekal di sana sehingga akhir hayat.. Contoh jelas yang kita boleh lihat ialah seperti yang berlaku kepada Bilal Bin Rabah, Abu Ubaidah Al Jarrah dan ramai lagi.

Para sahabat didikan  Rasulullah SAW juga amat memahami keutamaan atau priority semasa. Ini kerana  mereka amat faqih dalam memahami nas-nas yang bersifat qathie dan zanni seterusnya mengeluarkan ijtihad-ijtihad yang hebat. Mereka tidak tenggelam dalam kancah perdebatan perkara furu’ dan fokus kepada menjaga maslahah umum. Jika kita merujuk buku “ Nazhoriyyat Fi Fiqh Umar” dan “ Al Khulafa Ar Rasyidun Bainal Ijtihad Wal Istikhlaf” sebagai contoh, kita akan mendapati banyak fakta kes yang melihatkan kebijaksanaan para khulafa rasyidin dan sahabat menentukan priority semasa.

Sebagai contoh yang lain, ketika era zaman fitnah pembunuhan khalifah Saidina Uthman Bin Affan RA, Ibnu Abbas telah diarahkan oleh khalifah ketika itu iaitu Saidina Uthman sendiri untuk mengetuai rombongan haji dari Madinah ke Mekah. Ibnu Abbas tetap berkeras untuk mempertahankan khalifah daripada serangan puak pemberontak dan mengeluarkan satu kenyataan yang amat mengujakan:

” دعني أكن معك يا أمير المؤمنين. فان الجهاد لقتال هؤلاء الخوارج احب الي من الحج ”
Biarkan aku bersama kamu wahai khalifah. Sesungguhnya berjihad melawan puak Khawarij itu lebih aku sukai daripada melaksanakan haji.

Akhirnya Ibnu Abbas terpaksa taat dengan arahan khalifah untuk mengetuai rombongan haji ke Mekah daripada menetap di Madinah untuk mempertahankan khalifah. Maka peristiwa itu pun terus berlaku dengan kematian Saidinba Uthman Bin Affan RA

Kefahaman yang jitu inilah menjadikan Islam mampu tersebar ke seluruh pelusuk dunia, dalam masa yang sama umat Islam itu kuat dan berpengaruh. Para sahabat kenal benar apakah perkara yang perlu dilaksanakan demi menjadikan Islam tetap teguh ditempatnya.


“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”



Disediakan oleh :
Fikhry Hakim bin Fadzilullah
Penasihat
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]