ISTIQAMAHKAN KAMI - Tinta Jumaat Siri ke-24

“Aku terjaga wahai Rasulullah, menjadi sangat rindu kepada syurga, sedangkan umurku telah lanjut, tulang-belulangku telah lemah, aku juga sangat rindukan bertemu Tuhanku. Maka doakanlah untukku, wahai Rasulullah, agar aku diberi rezeki syahadah dan dapat bersama Khaisamah di dalam syurga,” Lalu Rasulullah S.A.W mendoakannya dan beliau syahid di dalam peperangan Uhud. - Abu Khaisamah R.A-

Kisah di atas merupakan sebahagian daripada kisah para sahabat yang mempunyai kecintaan yang tinggi untuk bertemu Rabb-nya dalam keadaan yang terbaik. Kita tertanya-tanya, bagaimanakah generasi awal didikan Rasulullah S.A.W boleh mempunyai kecintaan dan semangat yang tinggi dalam memperjuangkan Islam?

Ini tidak lain kerana mereka menyedari tujuan penciptaan mereka dan tanggungjawab yang telah Allah S.W.T taklifkan kepada mereka, untuk beribadah kepada ALLAH S.W.T, memberikan ketaatan dan kesetiaan kepada Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin serta menegakkan kalimah Allah sehingga ke martabat yang tertinggi.
Firman Allah S.W.T:

من المؤمنين رجال صدقوا ما عهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا
Ertinya: Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).
(Surah Al-Ahzab :23)

Dalil ini membuktikan perjuangan menegakkan kalimah Allah diteruskan dari generasi ke generasi. Oleh yang demikian, kita sebagai anak-anak generasi muslimin harus menyedari tanggungjawab kita dalam meneruskan tanggungjawab ini, tanpa memandang kepada kitakah yang akan berjaya melaksanakan segala-galanya sehingga mencapai kemenangan, atau akan disambung anak-anak generasi selepas kita. Cukuplah kita berbangga dan berasa mulia kerana kita telah menjadi salah satu mata rantai perjuangan Islam, sekalipun tidak sampai kepada kemuncak kemenangan. 


DI SINI IA BERMULA

Generasi terdahulu memperoleh ganjaran tertinggi dengan berjihad di jalan Allah. Bagaimana pula jihad kita? Tuntutan bergerak dalam medan amal menuntut komitmen yang tinggi daripada kita. Sejauh mana kita menyedari keperluan bergerak dalam medan amal dan mencuba untuk memposisikan diri dengan sebaik mungkin? Ketahuilah natijah yang akan kita dapat daripada medan ini memberi faedah kepada diri kita dan orang lain. Manfaatkanlah segala ruang dan peluang yang disediakan wadah kesatuan kita di Mesir ini, untuk menceduk selautan ilmu dan pengalaman agar menjadi bekalan kita apabila turun ke medan sebenar di Malaysia kelak. Moga Allah pelihara kita daripada sebarang fitnah dunia yang tidak mengenal yang ‘alim mahupun jahil.

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "



Disediakan oleh :


Nur E’zzati binti Ahmad Mahir

Timbalan Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]