Jumaat, Julai 03, 2015

ADAKAH AKU MUAZ ATAU MU'AWWIZ ? - Tinta Jumaat siri ke - 26


ADAKAH AKU MUAZ ATAU MU'AWWIZ ?

Semasa peperangan Badar pada 17 Ramadan Tahun ke-2 Hijrah,diceritakan bahawa Abdurrahman bin Auf didatangi dua orang remaja dari kaum ansar, Muaz bin Amr Al-jamuh,  berusia 14 tahun dan Mu'awwiz bin Afra berumur 13 tahun. Kedua- duanya bersenjatakan pedang. Tentera Quraisy seolah olah tidak menghiraukan kehadiran dua remaja itu kerana menganggap kedua duanya tidak berbahaya. Mereka lebih memilih Abdurrahman bin Auf agar ditawan hidup hidup untuk dijadikan tebusan kerana beliau terkenal sebagai saudagar yang kaya.

Dalam kondisi pertempuran, Abdurrahman bin Auf meminta agar remaja tersebut menjauhi medan peperangan kerana memikirkan dirinya yang masih muda.Namun Muaz seraya menjawab bahawa dia telah mendapat izin dari orang tuanya.Dengan pantasnya, Mu'awwiz menyatakan hasrat kedatangannya adalah untuk membunuh musuh Islam iaitu Abu Jahal.

Pada mulanya ,Abdurrahman bin Auf tidak menghiraukan kata-kata dua orang remaja itu .Namun kerna perilakunya yang terus mendesak Abdurrahman agar menunjukkan di mana Abu Jahal,maka akhirnya beliau terpaksa menyetujui permintaan mereka.
“Ibuku berpesan jangan pulang ke rumah selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari   badannya,” jawab Muaz bersungguh.
“Abu Jahal menghina serta menyakiti Rasulullah, maka aku ingin membunuhnya,” kata Mu'awwiz   pula.

Abdurrahman bin Auf tersenyum mendengar kata-kata dari dua orang remaja yang berani itu.Beliau berjanji akan menunjukkan Abu Jahal apabila berjumpa nanti.Diringkaskan cerita, setibanya terlihat kelibat Abu Jahal, maka Muaz dan Muawwiz terus berlari ke arahnya yang masih berada di atas kuda.Ketika itu Abu Jahal tidak menyedari kedatangan dua remaja tersebut. Muaz tiba terlebih dahulu , namun dia tidak tercapai untuk menebas kaki Abu Jahal tetapi dia telah menebas kaki kanan kuda yang dinaiki Abu Jahal.Seketika kuda tersebut jatuh tersungkur, makaAbu Jahal    juga tersungkur. Abu Jahal sangat marah dan mencuba untuk bangun tetapi dengan cepat Muaz menebas kaki kanan Abu Jahal hingga putus. Muawwiz yang menyusul pula memukul kepala Abu Jahal.

Ikramah, anak kepada Abu Jahal yang turut berada di situ segera menolong dan melindungi bapanya.Dia menyerang Muaz dan menebas tangan kiri remaja itu sehingga hampir putus.Ikramah membiarkan Muaz berusaha untuk lari kerana melihat Mu'awwiz ingin membunuh bapanya.Maka  terjadilah pertempuran antara Ikramah dan Mu'awwiz dan akhirnya remaja ini gugur syahid.

Dalam pada itu,Muaz terus berlari menuju Rasulullah.Namun perjalanannya terganggu kerana tangan kirinya yang terkulai itu.Akhirnya Muaz berhenti seketika dan mengambil keputusan untuk memutuskan tangannya.Tanpa menghiraukan kesakitannya ,Muaz terus berlari hingga bertemu Rasulullah.

Menerusi kisah ini,kita sebagai remaja hari ini yang bakal menjadi penerus perjuangan nabi,perlulah mengambil ibrah sebanyak-banyaknya daripada kisah dua orang remaja tersebut.Medan perjuangan kita dan mereka hari ini cukup berbeza.Namun sejauh manakah kita dapat memposisikan diri kita seperti mereka?.Semoga kita sama-sama dapat merungkai persoalan "Adakah Aku Muaz atau Mu'awwiz?"

 Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh :
Siti Noor Aisyah binti Ismail
Timbalan Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015


0 comments:

Catat Ulasan