Jumaat, Julai 31, 2015

QUDWAH TERAS IKATAN HATI - TINTA JUMAAT SIRI KE-29

          Islam datang sebagai agama kerahmatan dan kecintaan yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia di samping menekankan konsep tauhid ‘ubudiyyah’ sebagai asas pembinaan iman dalam jiwa tiap mukmin. Maka Rasulullah sebagai tokoh peribadi terbaik mencerminkan bahawa kasih sayang adalah penghubung antara insan. Sikap ini mampu menundukkan kebatilan hati-hati yang tegar memusuhi Islam.

Firman Allah dalam Surah An- Nahl ayat 125 :-
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ
هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِين

‘’Serulah ke jalan TuhanMu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik Sesungguhnya TuhanMu lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Dia jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.’’

Amru bin Al-‘Asr adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kecerdasan dan dan kepakaran dalam menyusun strategi  peperangan. Ketika persiapan dilakukan untuk membebaskan Mesir dari cengkaman penjajahan Romawi dan Parsi, munculnya desas-desus bahawa kedatangan Islam akan menjadi sesuatu yang menakutkan. Malah dicanang ke seluruh penduduk Mesir bahawa Islam akan merampas harta sewenangnya, menyerbu dan memperlakukan dengan zalim terhadap wanita.
Saat keberangkatan menuju ke Mesir, berlaku satu peristiwa yang menarik hati. Semua khemah-khemah sudah siap dikemas akan tetapi ada satu yang dibiarkan tetap tegak berdiri. Lebih menghairankan, ianya milik panglima Amr bin Al-‘Asr. Di atas khemah tersebut ada seekor burung dara yang sedang mengeram telurnya menyebabkan beliau tidak tergamak mengganggu ketenangan burung itu. Berita ini tersebar ke seluruh Mesir membuatkan persepsi mereka berubah. Ternyata tentera Islam memasuki Mesir dengan penuh kedamaian malah diberi jaminan keselamatan.
Ini adalah salah satu contoh kecil daripada ajaran Islam. Setelah diamati penyebabnya amatlah sederhana akan tetapi memberi jawapan yang bererti. Kalau kepada burung sahaja panglima tentera Islam punyai sifat belas kasihan, apalagi terhadap manusia. Prinsip inilah yang seharusnya disebarkan. Sikap kasih sayang dan penuh kelembutan menjadi modal untuk berdakwah di lapangan masyarakat tanpa mengenepikan sikap waspada terhadap musuh-musuh Islam.

“ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh:
Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Lajnah Kesenian & Sukan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015




0 comments:

Catat Ulasan