Jumaat, Ogos 07, 2015

HAK VS BATIL - TINTA JUMAAT SIRI KE - 30

Firman Allah SWT :

“Dan janganlah kamu mencampur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula, padahal kamu semua mengetahuinya.” ( surah Al-Baqarah ayat 42 )

Nabi SAW telah mewasiatkan kepada kita semua bahawa selagi manusia berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah yang sahih tidak akan sesat sampai bila-bila. Sesungguhnya Al-Quran dan Sunnah Nabi itu adalah petunjuk. Dalam Islam semua perbuatan, amalan dan niat mesti dibenarkan syarak dan matlamatnya juga jelas tidak bertentangan dengan syarak. Kita dilarang menggunakan kaedah untuk mencapai sesuatu matlamatnya yang baik tetapi cara dan jalannya haram.Terdapat satu kaedah umum dalam Usul Fiqh  Islam, iaitu menerusi satu pendekatan:

الغاية لا تُبرر الوسيلة
(Matlamat Tidak Menghalalkan Cara)

Ramai yang melaungkan perjuangan di atas nama Islam, hakikatnya seruan Islam mereka itu tersasar jauh dari apa yang diperkatakan. Umat Islam sama ada sedar atau tidak sedar,mereka memusuhi golongan kuffar dengan lisan mereka, namun dalam masa yang sama semua amalan dan perkara yang datang dari barat cepat-cepat diambil dalam kehidupan seharian. Baik dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Baru- baru ini banyak di media mengeluarkan kenyataan tentang seorang menteri berkaitan isu berpelukan dalam bidang perfileman adalah tidak salah menjadi kekesalan. Seolah-olah menganggap bahawa isu ini adalah sebuah isu remeh tanpa memandang kepada hukum asal yang telah termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah. Analoginya ibarat segelas air kosong yang hendak di minum ditambahkan sedikit arak.Walaupun air kosong itu elok namun apabila ditambah dengan   sumber yang kotor maka tetap saja ianya haram.

Umat Islam hari ini amat mudah untuk menghalalkan cara yang haram semata-mata untuk mencapai matlamat yang baik, walaupun jalan dan cara yang digunakan bertentangan dengan syariat, akhlak dan nilai-nilai murni yang digariskan Islam. Ingatlah bahawa agama ini milik Allah SWT dan Allah Ta’ala sahajalah yang berhak menentukan yang halal dan haram. Rasulullah SAW merupakan contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Jika Rasulullah SAW sendiri tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT di dalam menegakkan agamaNya, maka sudah semestinyalah kita sebagai umatnya juga wajib berbuat demikian.



" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan oleh :
Nuraishah binti Zainuddin
Timbalan Lajnah Penerangan & Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015





0 comments:

Catat Ulasan