Ahad, Ogos 16, 2015

IJTIHAD’15 : INJEKSI THAQAFAH SIMULASI WEHDAH

11 OGOS 2015, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)  di bawah program Hari Tautan
Ukhuwah yang dikenali juga sebagai IJTIHAD’15 telah mengadakan program khusus untuk para mahasiswa baru . Program ini berlangsung selama 4 hari iaitu pada 3, 4, 6 dan 8 Ogos 2015 bertempat di Dewan Masjid Tantawi dan Imarah Selangor. Program ini telah melibatkan seramai 153 orang mahasiswa baru.

Antara objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk meribatkan ukhuwah antara mahasiswa baru dengan ahli BKASM. Seterusnya menerapkan nilai tarbiah ruhiyyah dan fikrah islamiah sekaligus menambahkan pengetahuan serta kefahaman tentang kehidupan di Mesir .Selain itu, program ini juga telah memperkenalkan nilai kesatuan Islam bagi  membentuk kematangan mahasiswa agar mampu menggerakkan Islam demi generasi akan datang .

Program ini bermula dengan slot perasmian oleh Ustaz Muhammad Sufi bin Muhammad Yusoff, Penasihat BKASM sesi 2014/2015. Seterusnya program ini diteruskan dengan slot Taklimat Zakat oleh Ustaz Muhammad Farid Bin Muhammad Zainal, Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir.  Program pada hari pertama  berakhir dengan slot Forum BicaraSiswa : “Apa Peranan Kita” yang disampaikan oleh dua orang panelis yang hebat iaitu Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari dan Ustazah Adilah binti Safiuddin. Pelbagai maklumat yang diberikan oleh mereka dan manfaat sebagai seorang mahasiswa yang berjiwa Islam.

Program ini diteruskan lagi pada hari kedua pada jam 9.00 malam dengan slot Diskusi Kitab : “Peranan Pemuda Dalam Membawa Islam”  oleh Ustaz Khairul Faris bin Abd. Aziz, Fasilitator KPKM sesi 2014/2015. Intipati kitab ini menerangkan tentang bagaimana menjadi seorang pemuda yang berthaqafah dan berjiwa seorang daei sebagaimana  yang dikupaskan oleh pengisi dan antara pesanan terakhirnya adalah "jadilah seorang pemuda yang berjiwa Rabbani dan Ansarullah agar Islam terus tertegak di atas muka bumi ini".

Pada malam 6 Ogos 2015, program IJTIHAD’15 diteruskan lagi dengan slot Teknik Muamalat oleh Ustaz Abdul Hadi bin Hidzan dan Ustazah Noor Hidayah binti Mat Toher. Slot ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa bagi  mengenali serba sedikit bahasa ammiyah di Mesir agar memudahkan mereka bermuamalat dengan orang arab di Mesir tambahan juga  menambahkan ilmu pengetahuan  mereka tentang bahasa.

Walaubagaimanapun, program ini tidak hanya diribat melalui slot sahaja malah pihak program telah mengadakan qiamullail agar dapat meribatkan hati dan iman mereka supaya  sentiasa segar. Bangun malam ini bermula pada jam 3 pagi, 8 Ogos 2015. Selepas itu, program ini  diteruskan dengan solat subuh secara berjemaah dan tazkirah oleh para fasilitator. Walhal, mereka juga diberi ruang dan peluang untuk melontarkan idea dan pandangan secara berkumpulan yang dikenali sebagai GKB (gerak kerja berkumpulan).

Slot diteruskan dengan bersama kepimpinan BKASM bagi memberi penerangan tentang sejarah BKASM dan PMRAM yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hafiz bin Rasimi dan Ustazah Nur Ezzati binti Maher. Tambahan pula, slot ini bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan BKASM sebagai tempat rujukan kepada mahasiswa Selangor .Program ini berakhir dengan slot perasmian penutup oleh Ustaz Muhammad Farid bin Muhammad Zainal, Pegawai Atase Pendidikan Selangor. Antara nasihat yang diberikan oleh beliau agar terus menjaga  kesatuan ini dan pilihlah persatuan yang membawa ke arah kebenaran dan akhirat.  Selepas itu , majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada mahasiswa terbaik dan kumpulan yang terbaik.

Harapan kami dari program IJTIHAD’15, agar para mahasiswa mampu membentuk kematangan diri dari sudut pemikiran dan syahsiah sekaligus menjadi seorang insan yang berjiwa islam agar melahirkan generasi yang rabbani dan ansarullah.
Wallahua’lam.
Sekian .

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

“Injeksi Thaqafah Simulasi Wehdah”

Disediakan oleh,
Azzah Nazihah binti Zakaria
Setiausaha IJTIHAD’ 15
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan