Selasa, Ogos 25, 2015

KEMBARA BALTIM'15 - Hati Dipateri Menyemai Jiwa Rabanni



22 dan 23 Ogos 2015, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dibawah Lajnah Sambutan dan Rehlah telah berjaya menganjurkan jaulah santai ke Baltim, Kafr Syeikh. Program  khusus yang melibatkan mahasiswa Selangor ini diberi nama KEMBARA BALTIM’15, ini kerana Baltim merupakan destinasi yang julung kalinya dipilih sebagai destinasi jaulah santai Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir pada kali ini.

Antara objektif yang digariskan pada KEMBARA BALTIM’15  adalah mengukuhkan ukhuwah antara ahli BKASM pada setiap peringkat dan seterusnya menerapkan nilai tarbiyah ruhiyyah dan jasadiyah dalam kalangan ahli selain menanamkan nilai kesatuan islam dalam diri peserta yang menjayakannya.

Seramai  45 orang peserta  telah menyertai jaulah kali ini yang diketuai oleh Ustaz Mohamad Zahiruddin bin Mohamad Kamal, selaku pengarah KEMBARA BALTIM’15. Sebelum bertolak, peserta menunaikan solat fardhu subuh secara berjemaah di Musolla Darul Ehsan. Perjalanan ke Baltim dengan menaiki sebuah bas  bertolak seawal jam 5 pagi dari kompleks kediaman pelajar Selangor. Perjalanan panjang  yang memakan masa hampir 5 jam ini mejadi lebih meriah dan seronok dengan pengisian ta’aruf dan kuiz yang telah disusun oleh unit pengisian.

Setibanya di Baltim, peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk check in di Villa Qosr An-nur seterusnya membuat persiapan sarapan. Program diteruskan lagi dengan majlis perasmian dan nyanyian lagu tema ‘gemuruh’. Jaulah KEMBARA BALTIM’15 telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua 1 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015, Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari. Setelah selesai perasmian, peserta diberikan peluang  melakukan aktiviti bebas, sementara menunggu aktiviti seterusnya peserta menunaikan solat jama’ taqdim Zohor dan Asar secara berjemaah.

Program diteruskan lagi dengan aktiviti memasak dan makan yang melibatkan seluruh peserta di lapang yang disediakan. Aktiviti seumpama ini mampu meribatkan lagi ukhuwah diantara ahli BKASM yang terlibat. Para peserta kemudiannya bersiap dan dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk melakukan aktiviti pantai pada kira-kira jam 4 petang. Aktiviti ini dimulakan dengan  sukaneka dan diteruskan dengan mandi pantai sehingga jam 6 petang. KEMBARA BALTIM’15 diteruskan lagi selepas solat jama’ taqdim maghrib dan isya’ dengan pengisian santai ilmiah, pengisian bertajuk “Fiqh Musafir” ini disampaikan oleh ustaz Khairul Amirin bin Khabir yang merupakan mantan AJKT Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2014. Setelah itu, peserta diberikan santapan malam berbentuk BBQ yang disediakan oleh unit masakan dan diteruskan dengan aktiviti bebas.

Hari kedua KEMBARA BALTIM’15 dimulakan dengan solat Subuh secara berjemaah dan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Badrul Annuar bin Mahbob selaku Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan sesi 2014/2015 dan para peserta diberikan sedikit taklimat aktiviti untuk hari kedua di Baltim. Bagi mencergaskan suasana pagi hari, para peserta memulakan aktiviti “warming up” dan “trade mark” kumpulan masing-masing sebelum melakukan aktiviti yang agak mencabar iaitu explorace. Setelah selesai beriadah, peserta disajikan dengan santapan pagi dan aktiviti bebas serta membuat persiapan terakhir untuk pulang ke Kaherah. Sebelum berangkat pulang, para peserta sempat bergambar bersama tanda kenang-kenangan dan  rombongan KEMBARA BALTIM’15 bergerak pulang pada jam 11 pagi. Perjalanan pulang ke Kaherah tidak sunyi dengan berlangsungnya majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua 1 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015. Para peserta rombongan tiba dengan selamat di Kaherah pada jam 4 petang

Pihak AJK pelaksana program mengucapkan ribuan terima kasih diatas kerjasama dan keterlibatan mahasiswa dalam menjayakan KEMBARA BALTIM’15 dan diharapkan objektif yang digariskan berjaya tercapai. Semoga ukhuwah yang dibina ini kekal dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah.

“Hati Dipateri, Membina Generasi Rabbani”
“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
MOHAMMAD AZRI BIN MOHD SHAMSURI
SETIAUSAHA,
KEMBARA BALTIM'15
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2014/2015





0 comments:

Catat Ulasan