Aku Masih Di Sini - Hasil Karya Terbaik ( Johan) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan
AKU MASIH DI SINI
Matanya terpanar merenung
ke luar tingkap, fikirannya melayang-layang ke langit biru, jiwanya tenang
menyelusuri daerah-daerah seni, jasadnya hanyut di lautan pena yang diciptanya.
Sesekali jemarinya menari-nari menyelangi penanya memberi isyarat
keghairahannnya untuk hanyut meninggalkan norma manusia. Begitulah citra hidup Luqman
seorang pemuda berusia 18 tahun yang tinggal bersama ibunya di sebuah kampung
yang bernama Kampung Bukit Hijau mengisi lapangan waktunya. Bapanya disayangi Tuhan
lebih awal ketika usianya 4 tahun akibat kemalangan jalan raya. Sejak dari
kecil aktiviti hariannya hanya dipenuhi dengan aktiviti yang menggembirakan
hatinya sahaja seperti membantu ibunya, membaca buku, mendengar muzik, menulis
dan mengimarahkan aktiviti-aktiviti masjid. Luqman sememangnya seorang yang
gemar menulis puisi, sajak, syair, cerpen bagi menuruti keghairahan hatinya.
Luqman baru sahaja
mengetahui keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) yang
didudukinya pada tahun lepas. Dia sedar keputusan peperiksaannya bukanlah
seperti yang diinginkan dirinya dan remaja-remaja seusianya. Di mata ‘mazhab
pendidikan baru’ yang dianuti oleh majoriti masyarakat setempat dia berada
dalam kalangan insan yang tidak mampu bersaing dan perlu dinyah serta
dipupuskan segera dari bumi ini. Dia yang sememangnya menyedari akan hakikat
dirinya terjun bersama-sama sakinah ke lembah seni pena meninggalkan ‘mazhab
pendidikan baru’ yang diterajui jeneral kapitalis.
Walaupun dari kaca
mata pentaksub ‘mazhab pendidikan baru’ dia tidak layak untuk menjadi robot
bagi mengisi kekosongan tentera untuk berjuang bersama-sama jeneral kapitalis
namun masih ada manusia yang memandangnya dengan penuh nilai kemanusiaan iaitu
ibunya Isza dan sahabat karibnya Nasir. Isza seorang guru yang mengajar di Sekolah
Kebangsaan Jeram. Sahabat sekampungnya Nasir pula seorang pemuda yang bekerja
di sebuah bengkel membaiki motor sejak berumur 15 tahun. Nasir yang juga mangsa
kepada ‘mazhab pendidikan baru’ terpaksa bekerja membanting tulang demi kelangsungan
hidupnya akibat pengabaian dan keberantakan perkahwinan ibu dan bapanya. Nasir mempunyai
kecenderungan dalam bidang muzik. Jika ada kelapangan waktu Nasir akan
mengunjungi Luqman di rumahnya bagi menyumbangkan melodi bagi setiap coretannya
yang puitis seterusnya dijadikan sebuah lagu. Selain ibunya Isza, Nasir juga
antara teman setia yang membaca setiap karya Luqman sama ada puisi, sajak atau
cerpen.
Luqman merasa
gembira dan selesa dengan kehidupannya sehinggalah pada suatu hari ibunya
memberikan harapan baru untuk melakukan sesuatu yang akan memberi impak pada
citra hidupnya. Ibunya berkias “Loq, di alam yang terbentang di hadapan kita
ini, awan-awan yang berarak, sungai-sungai yang mengalir, burung-burung yang
terbang tinggi, ayam-ayam berkokok di halaman, puncak gunung mencakar awan, pendek
kata dimana-mana pun kita berada akan tebentang penawar bagi hati dan jiwa
kita”. Kata-kata ibunya mula dihadam di setiap naik dan turun nafasnya kerana
dia sangat memahami apa yang cuba disampaikan oleh ibunya. Ibunya menyambung
lagi “Melalui setiap penulisan loq, ibu dapat menghidu karya-karya loq ada
bau-bau campuran dari A.Samad Said, Dato Shahnon Ahmad, buya HAMKA, A.Aziz Deraman,
Usman Awang dan lain-lain. Ibu baru terbaca di akhbar utusan rakyat ada menyediakan
ruangan khas untuk karya rakyat Malaysia. Karya-karya seperti puisi, pantun, sajak,
syair, gurindam dan cerpen akan disiarkan setiap hari. Dengan keupayaan yang ada
pada Loq ibu yakin karya Loq mampu menembusi jiwa nurani editor akhbar”. Kata
ibunya sambil tersenyum. Senyuman ibunya menjadi penguat bagi luqman untuk
menuruti nasihatnya yang tidak pernah menghampakan dan sentiasa menyokong apa
sahaja yang dilakukannya. Luqman juga mendapat sokongan dari sahabatnya Nasir
setelah dia menceritakan cadangan ibunya kepada Nasir dalam hidupnya cukuplah
dua insan ini sebagai pelengkap dirinya selepas Allah dan Rasul. Dia pun mula
mengalihkan karya-karyanya dari buku ke dalam komputer milik ibunya untuk
memudahkan penghantaran melalui email. Untuk percubaan pertama,dia berhasrat
untuk menghantar dua buah karyanya dahulu .Dia menghantar puisinya yang
bertajuk ‘sayembara hidup’ dan sebuah cerpen yang bertajuk ‘hamba seni’. ’Hamba
seni’ adalah sebuah hikayat ringkas diadaptasi dari hidupnya yang kecewa akan
sistem pendidikan sekolah yang tidak bermatlamat melahirkan manusia tapi hanya
melahirkan pekerja serta impiannya untuk
berbakti kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara tanpa berbekalkan sijil
kecemerlangan akademik. Ceriteranya dipersembahkan dalam bentuk tersirat dan
perlambangan. Dia menggunakan nama pena MonoloQue.
Usai menghantar
karyanya ke Utusan Rakyat penantian menjadi teman setianya sambil meneruskan
perjuangan penanya. Penantian itu diiringi pembelian akhbar utusan rakyat
hampir setiap hari oleh ibunya. Sebulan berlalu tanpa karyanya bersinggah di
akhbar utusan rakyat, terlintas di kepalanya bahwa karyanya mungkin tidak
menepati kriteria untuk disiarkan. Dua hari kemudian dia menerima email dari
ketua editor akhbar utusan rakyat yang tertulis:
From:forzamilan82@yahoo.com
Assalamualaikum, saya Farizal Malik
selaku ketua editor di akhbar Utusan Rakyat berbesar hati ingin menawarkan (secara
tidak rasmi) kepada tuan untuk menulis cerpen secara tetap dalam majalah
bulanan kami ‘Rakyat No.1’. Di samping itu tuan dialu-alukan juga untuk
menghantar karya-karya tuan di ruangan karya rakyat secara kerap. Hal ini
kerana kami mendapati di dalam karya tuan mempunyai idea yang baru, gaya Bahasa
yang cantik dan kesusasteraan yang tinggi. Berkaitan dengan karya tuan yang
lalu in sya ALLAH kami akan siarkan dalam minggu ini. Oleh itu,sudilah kiranya
tuan memberi maklum balas kepada kami berkaitan persetujuan tuan berkaitan
perkara ini. Surat rasmi akan dihantarkepada tuan. Sekian.
Setelah membaca email itu, dia segera memberitahu ibunya
tentang tawaran itu dan bertanyakan pendapat. Ibunya seraya berkata ,“ Buatlah
apa sahaja yang membuatkan hidup Loq gembira. Kegembiraan Loq kegembiraan ibu
juga, kedukaan Loq kedukaan ibu juga”. Tanpa diduga air mata Luqman menitis
membasahi bumi mendengarkan jawapan ibunya. Tidak perlu dibuktikan lagi bahawa
ibunya sentiasa berada di sisi walau dalam apa jua keadaan Luqman.
Dua hari kemudian
ibunya membawa pulang akhbar utusan yang menyiarkan cerpen pertama Luqman yang berjudul ‘hamba seni’. Keesokan
harinya pula sahabatnya Nasir bertandang ke rumah dengan membawa akhbar. Nasir bertanya kepada Luqman ,“Macam mana lagu kita
boleh masuk surat khabar ni?” Mereka pun berketawa tanda gembira. Puisi itu
sememangnya sudah dilagukan oleh Nasir.Maka bermulalah kehidupan Luqman sebagai
penulis tetap di majalah ‘Rakyat No 1’ dan terus menghantar karyanya di ruangan
‘Karya Rakyat’.
Empat bulan berlalu
karya penulisan Monoloque mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pembaca
Utusan Rakyat dan Majalah Rakyat no 1. Di setiap keluaran nama-nama penulis
baru meningkat naik seperti Monoloque, Ag Kidal dan Mujahidah Amanina menjadi
kegilaan rakyat tempatan. Hal ini dirakamkan oleh pihak utusan rakyat melaui berita di laman sesawangnya.
16
september 2002
KUALA
LUMPUR - Menerusi maklum balas
pembaca yang kami terima dari ruangan
komentar, kami mendapati karya 3 orang penulis baru kami sentiasa
ditunggu-tunggu dan mendapat respon yang positif. 3 orang penulis tersebut
adalah:
1. Monoloque-Muhammad Luqman bin Syamsul Farid
2. Ag kidal-Azri Hafiz bin Amir Jahari
3. Mujahidah Amanina-Sofia Insyirah Binti Muhd As’ad Lutfi
Disangka panas
berpanjangan rupanya gerimis mengundang di tengah hari. Segala kegembiraan yang
dinikmati tidak berpanjangan seperti yang diimpikannya apabila musibah menimpa
dirinya. Di suatu petang saat Luqman sedang asyik menulis di medan pena, fokusnya
dicantas oleh bunyi deringan telefon bimbit dan tertera nama di kaca telefon
‘ibu’ lantas disambutnya. Rupanya
panggilan itu dari seorang polis,”Boleh saya
bercakap dengan anak kepada Pn.Isza binti Isman” tanya polis itu. Luqman
menjawab “Ya, saya Luqman anaknya.Ada apa ya encik?” Soal luqman kembali kepada
polis itu sambil dengupan dada mengencang perang, tangannya membeku sejuk dan
badannya menggigil diselimuti angin menunggu jawapan dari polis itu. Polis itu
menyambung “bertenang ya encik, tabahkan hati, saya Sub. Inspektor Godin menelefon
encik melalui telefon bimbit ibu encik dan kami mencari kad pengenalan diri
mangsa serta senarai contact yang paling possible untuk dihubungi
di dalam telefon bimbitnya. Jadi kami menemui contact yang tertulis
‘anakanda’. Sebenarnya ada kejadian buruk yang telah menimpa ibu encik, jadi
bolehkah encik datang ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang? kami berada di
sini, nanti akan saya ceritakan secara terperinci kepada encik apabila encik
sudah sampai. ”Jasadnya hampir menyembah bumi selepas mendengar kata-kata polis
itu. Namun digagahi juga demi cintanya kepada insan yang paling penting dalam
hidupnya.
Luqman terpaksa
meminta bantuan dari sahabatnya Nasir yang sedang bekerja di bengkel kerana
kereta milik ibunya adalah satu-satunya kenderaan keluarga yang mereka ada. Di
bengkel Nasir menghadapi masalah apabila tuannya pemilik bengkel itu tidak
membenarkan kerana banyak kenderaan pelanggan yang perlu diselesaikan hari ini serta
mempertikaikan keperluan Nasir pergi ke hospital seraya berkata “bukannya mak
kau pun,apa yang kau sibuk-sibuk nak pergi. Malam nanti pun boleh pergi.”Berang
dengan ucapan tuannya itu, Nasir terus mencapai helmet dan menghidupkan enjin
motor RXZ miliknya seterusnya memecut ke Rumah Loqman untuk membawa Luqman ke Hospital tanpa
memikirkan masa depannya di bengkel itu. Sampai di hospital, Luqman dan Nasir
terus menuju ke wad kecemasan.Terpandang oleh mereka dua orang anggota polis
dan dua orang biasa bersama mereka lantas memperkenalkan diri serta mendesak
tidak keruan untuk mengetahui keadaan Ibunya. Sub.Inspektor Godin Sivarasa dan
Detektif Kamil menyapa keduanya dan mempekenalkan Lee Ah Tee dan Zaid serta
memberitahu merekalah yang membantu ibunya. Detektif kamil menghela nafas
panjang sebelum memberitahu Luqman “Saya harap encik luqman dapat bertenang dan
mendengar dengan sabar akan berita ini. Simpati saya dahulukan dengan ucapan
Inna LILLAHI wainna ilaihi rojiuun, Allah lebih menyayangi ibu kamu, kita
manusia tidak mampu melawan takdirnya. Pn.Isza telah dipanggil ALLAH dan
menghembuskan nafasnya yang terakhir sejurus sahaja sampai di Hospital ini.”Kekuatan
jasadnya diragut sedikit demi sedikit apabila mendengar kata-kata itu.Air mata
loqman semakin deras mengalir sambil menunggu untuk dibenarkan masuk melihat
jenazah ibunya. Lee Ah Tee menceritakan kejadian itu,Isza baru sahaja keluar
dari sebuah kedai hadiah.Kemudian datang seorang pemuda berhelmet serta merta
meragut beg tangan yang disandang di tangannya. Tanpa diduga kurang dari 2
meter dari jarak Isza, kaki pemuda itu tersadung bersilang kakinya sendiri lalu
terjatuh menyembah bumi.Isza kemudiannya cuba menerpa untuk mengambil kembali
begnya itu. Lalu tanpa berfikir panjang lelaki itu mengeluarkan pisaunya seraya
menikam dan memukul kepala Isza
menggunakan helmet. ”kami yang terlihat kejadian itu segera mengejar peragut
itu dan bergelut sebelum berjaya menangkap peragut yang sedang meluru ke arah
seorang lagi rakannya menunggu untuk melarikan diri. Kami bergelut dan mendapat
sidikit luka kecil sahaja. Lelaki itu berjaya kami tangkap tetapi rakannya
melarikan diri” kata Zaid yang menyambung cerita Lee Ah Tee. Tangisan Luqman
yang teresak-esak semakin jelas suaranya. Nasir di sebelahnya duduk menemani
hanya mampu membisukan diri tidak mahu serabutkan keadaan kerana dia memahami
emosi sahabatnya tidak stabil untuk ketika ini.
Sejam kemudian seorang
doktor keluar dari bilik pembedahan lalu membenar untuk dilawat jenazah Ibunya.
Luqman terus memeluk jenazah ibunya dan dicium wajah ibunya sambil tidak mampu
mengungkap apa-apa hanya suara tangisan mampu mengungkap kesedihan. Memahami
keadaan sahabatnya Nasir segera membantu segala urusan untuk membawa pulang
jenazah ke rumah untuk dikebumikan di kampungnya. Setiap proses pengurusan, perhubungan
dan kewangan diurus oleh Nasir. Luqman melibat diri secara langsung untuk memandikan,
mengkafan sehingga ke pengebumian jenazah di liang lahad demi untuk menjaga segala
aib ibunya dari disingkap. Selesai talkin dan doa dibaca untuk ibunya maka
bermulalah kehidupannya sebatang kara tanpa insan teristimewa dalam hidupnya.
Tiga hari berlalu
tanpa Luqman melakukan aktiviti kebiasaannya seperti menulis, membaca, mencari
idea dan kesusasteraannya. Dia hanya melakukan perkara wajib seperti solat dan
makan itupun sedikit sahaja. Selain dari itu dia hanya banyak termenung dan melayan
kesedihan mengenangkan ibunya. Ternyata kematian ibunya membengkak hatinya. Mujurlah
ada sahabatnya Nasir yang mengambil berat tentang makan dan minum Luqman.
Pada suatu pagi, Nasir
merasakan ini adalah masanya untuk berbicara dengan Luqman. Dia tidak sanggup
melihat sahabatnya dalam keadaan seperti tiada lagi harapan hidup.Nasir tenang
menuju ke arah Luqman menarik nafas panjang untuk menyusun kata.”Loq, aku
bukanlah ibumu yang mampu memberi semangat kepadamu. Tapi sebagai sahabat aku
tidak mahu melihat kau meneruskan hidup seperti ini. Cuba kau bayangkan
andainya ibumu melihat kau begini tentu dia akan merasa sedih. Bukankah kau
pernah cerita padaku antara nasihat ibumu bahawa dimana-mana pun kita berada
akan tebentang penawar bagi hati dan jiwa kita. Jadi tiada sebab untuk kita
terus bersedih di alam ini yang terbentang kebahagiaan untuk insan. Ibumu pasti
tidak mahu engkau berputus asa dari hidup. Ingatlah siapa yang membela di saat
kau dituduh sebagai seorang pemalas? Siapa yang membela tatkala kau dipangil
bodoh dan bengap kerana kau gagal dalam peperiksaan? Siapa yang membela kau
diwaktu kau digelar budak lembab kerana susah untuk memahami pelajaran? Masih
segar di ingatanku bahawa kau berbangga katakan ibumulah yang berada di saat
itu menafikan dan sentiasa mempercayaimu. Sejak kecil dia didik kau supaya
tidak berputus asa dengan apa jua yang
menimpa kau. Harus kau sedar ibumu sudah meninggal khazanah yang berharga
kepada kau iaitu cinta dan kepercayaan kepada kau. Dengan cintanya kau akan
sedar bahawa ibumu masih hidup jauh lubuk hatimu dan akan selamanya berada di
sisimu walau apa pun yang kau lakukan. Kau harus meneruskan kehidupan dan terus
mencari kebahagiaan bukannya terus bersedih. Teruskanlah perjuanganmu di medan
penulisan, jangan kau sia-siakan jalan yang terbentang di hadapan. Aku akan
sentisa bersama kau seperti mana kau berada bersama aku saat aku merasa putus
asa dalam hidup selepas ibu dan bapaku mengabaikan aku. Paling penting ingatlah
Allah sentiasa bersama orang yang sabar.”
Maka berubahlah
wajah Luqman selepas mendengar luahan rasa sahabatnya. Dia mula sedar bahawa
ibunya telah mewasiatkan kepadanya beribu-ribu nasihat. Paling penting ibunya
telah banyak mengajarkan erti kehidupan sebagai seorang manusia. “Betullah apa
dikatakan kau, bersedih bukanlah bukti kecintaan
kepada Ibuku. Terima kasih kerana menyedarkan aku. Aku akan teruskan
perjuanganku di medan pena,” kata Luqman kepada sahabatnya itu. Terimbas dia akan
nasihat ibunya, “Dalam hidup ini, setiap orang diberi Allah kelebihan dan
kekurangan. Janganlah lemah jika Loq tidak Berjaya melakukan sesuatu perkara. Kesusahan
dan kesulitan akan mengunjung dalam hidup kita. Pada saat itu bertawakkal
kepada Allah dan yakinlah pada diri sendiri. Binalah impian dan berazamlah
dengan tekad untuk membuahkan impian itu,walaupun tanpa gulungan sijil. ” Ucap
ibunya di saat dirinya kemurungan tatkala menemui kegagalan dalam peperiksaan.
Pada malam
hari,selepas loqman pulang dari solat isya’ terdetik di hatinya untuk mengemas
barang tinggalan ibunya untuk disedekahkan sebahagian dan disimpan sebahagian. Luqman
terpandang sebuah beg tangan Ibunya yang juga menjadi saksi kejadian yang
membawa kepada kematian Ibunya.Dia mendapati ada sekotak hadiah yang masih berbalut
cantik dan sekeping kad.Kemudian teringatlah dia akan cerita Lee Ah Tee dan
Zaid mengatakan bahawa ibunya diragut setelah keluar dari sebuah kedai hadiah. Kesedihannya
pada waktu itu memadamkan lintasan hati untuk mengetahui tujuan Ibunya ke kedai
hadiah. Luqman pun membuka kad itu ternyata hadiah dan kad itu untuknya. Dia pun
membaca kad itu:
Kepada anakandaku Luqman:
Selamat
hari lahir dan tahniah ibu ucapkan kepada loq sempena hari kelahiran yang ke-18.
Harapan ibu semoga Loq menjadi anak yang soleh serta taat kepada Allah dan
rasul. Ibu juga melahirkan jutaan kebanggaan kepada Loq kerana berjaya menjadi
penulis di majalah ‘rakyat no 1’ dan menjadi antara penulis yang mendapat
sambutan tulisannya. Ibu juga berbangga kerana menjadi pembaca pertama bagi
setiap karya Loq. Hadiah ini adalah simbolik
sokongan Ibu untuk kepada perjuangan pena Loq. Seandainya suatu hari
nanti Ibu sudah tiada lagi, pen ini adalah lambang kesetiaan ibu pada
perjuangan anakanda, seandainya suatu hari nanti pen ini hilang, tidak akan
jatuh sedikit pun kecintaan Ibu bersama-sama perjuangan pena anakanda. Dan
seandainya kedua-duanya tiada lagi, abadikanlah kasih sayang dan cinta Ibu
sebagai teman hidupmu. Semoga diberkati umurmu wahai anakanda. Terima kasih
menerima Isza Bin Isman sebagai ibumu. Terima kasih kerana menerima syamsul
farid bin samingan sebagai bapamu. Terima kasih kerana lahir untuk kami kerana kelahiranmu
menyerikan hidup kami.
Ibu
sayang padamu akanda
28
september 2002
Maka tangisan sekali lagi bercucuran dan kesedihan
mengunjung kembali setelah membaca dan melihat kotak hadiah kecil dari Ibunya. Di
dalam kotak itu ada sebatang pen yang tertulis ‘Luqman’ disebelah kanan dan ‘Isza’ di sebelah kiri
mengelilingi pen itu. Luqman baru menyedari bahawa hari kematian ibunya adalah
pada hari lahirnya. Namun jauh di sudut hatinya yakin dan gembira bahawa cinta
ibunya akan terus bersama-sama mengiringi impian dan cita-citanya. ”Wahai
bonda, tidak akan sekali aku lemah kerana akan kugenggam kata-kata dan
nasihatmu serta akan kutanam cintamu di lubuk hati. Akan kuteruskan kehidupanku
untuk mencapai cita-cita dan impianku. Akan ku bawa nasihat dan cintamu
bersama-sama dalam hidupku” janji loqman di dalam hatinya.”
Luqman meneruskan
perjuangannya di medan pena dengan kembali menghantar penulisannnya ke majalah
‘Rakyat No 1’ dan akhbar Utusan Rakyat. Di samping itu,dia sedang menulis novel
pertamanya yang terilham dari kisah hidupnya bersama ibunya. Melalui wahana
ini,dia mahu berkongsi dengan masyarakat bagaimana ibunya berjaya menjadikan
dirinya seorang manusia yang berimpian bukannya sebuah robot yang sudah
diprogramkan tindak tanduknya. Ketua editornya Farizal menyarankan untuk dia
menmghantar novelnya di syarikat penerbitan COYG Publication. Ternyata
masyarakat mendengar suara Luqman. Ini dibuktikan apabila novel pertamanya
berjudul ‘Bonda, aku masih di sini’ mendapat sambutan hangat dan menerima
anugerah ‘best seller novel’ pada tahun 2004. Dia sudah menjadi
novelis yang menjadi rebutan syarikat-syarikat untuk menerbitkan
karyanya.Sekali sekala ada komposer muzik mengunjunginya untuk mendapatkan
lirik yang bermakna hasil tulisannya seterusnya menghasilkan lagu. Maka
berlegar-legarlah suara penanya dalam industri muzik dengan lagu-lagu seperti
sakinah, monggol dah pulang, haprak, apokalips, kias fansuri, di ambang wati, kasih
latifah, gemuruh, nurnilam sari, mentera semerah padi dan banyak lagi. Luqman berkongsi
makna kehidupan dalam setiap karyanya.
Di suatu petang, Luqman
gembira mengimbau bagaimana dia mendepani citra hidupnya yang berwarna-warni. Dia
memegang sebatang pen yang dihadiahkan oleh ibunya sambil menghayati persembahan
kumpulan pemuzik jalanan yang ditubuhkan oleh sahabatnya Nasir. Mereka menyanyikan
lagu bertajuk ’bonda’ hasil tulisannya di tengah pekan.
ʆʆ
Mengapa kanta ini masih
berkaca
Sedangku telah pun terima
di dalam redha segala kepahitan
Pengalaman menjadi penawar
mengejar impi ke pintu Syurga
Duhai bonda
Bilakah akan ku kecapi
kasturi penebus maruah dan semangat lama
Mengapa sinar neon dan
gedung indah kotaraya yang menjanjikan sejuta rasa sejuta haruman
Kini menjadi penjara jiwa
ku yang merindukan
ketenangan
Duhai bonda
Hari-hariku kini berlalu
bagaikan bahtera tanpa layar dan kemudi
Bonda
Akhirnya terbongkar jua
rahsia
Tangisan dan gurindam
Keramat kasih sayangmu
Bonda,Saat dan pertemuan
semula kita kali ini
akan ku abadikan Keramat
kasih sayangmu
Oh! bonda
Bonda ʆʆ
-penaLoque-
Hasil Nukilan
Ustaz Muhammad Fitri bin Sobri
" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "
Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015
Ulasan
Catat Ulasan