CERPEN PELANGI SENJA - Hasil Karya Terbaik ( Kedua ) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan


Tik..Tik..Tik.. Kedengaran bunyi air hujan menembusi atap rumah. Hujan renyai yang masih kelihatan di luar tingkap rumah membuatkan Aien Sofea teringat pada kisah yang berlaku 16 tahun lalu.Sekeping gambar ditatapnya setelah sekian lama.

    “Zah,oh Zah!Buka pintu ni.” Bunyi ketukan pintu yang sangat kuat membuatkan Zahirah terjaga dari lenanya.Daun pintu yang diketuk berulang kali memaksa Zahirah membukanya dengan cepat.Dalam hatinya berkata pasti suaminya mahu meminta duit daripadanya untuk melangsaikan hutang-hutang yang ada.

    “Lambat sangat buka pintu ni kenapa?Ingatkan pengsan dalam rumah” Dengan suara yang tinggi Daud memarahi isterinya.“Kenapa ni bang?balik je marah.Cakap elok-elok kan boleh.Anak-anak tengah tidur tu” Zahirah cuba mengawal emosinya.“Aku nak duit.” Daud mula meminta duit daripada isterinya.Bukan kali pertama perkara sebegini berlaku,tapi sudah berkali-kali.“Mana saya ada duit bang.Anak-anak pun makan apa yang ada.Abang pun tak pernah nak bagi duit pada anak bini abang ni.”Zahirah cuba mempertahankan dirinya.

    “Ohh kau dah pandai melawan ya!” Daud mengangkat tangan kanannya mahu menampar isterinya.“Ayah!!” Anak sulungnya menjerit sambil bertindak meluru di hadapan ibunya dengan tujuan cuba melindungi.Amirul Ridzwan berumur 10 tahun pada ketika itu sudah  masak dengan perangai ayahnya yang selalu memukul ibunya apabila pulang ke rumah.Ayahnya seorang penagih dadah.Tujuan pulang ke rumah tentu sahaja ingin meminta duit hasil jualan nasi lemak ibu.Belum pernah lagi ayah bersifat seperti seorang bapa yang bertanggungjawab dan mengasihani anak-anak dan isteri sepertimana orang lain.“Tak pe.Kau tak nak bagi aku duit.Anak kau aku korbankan.Aku nak jual anak perempuan kau ni.” Ayah sudah mula menunjukkan perangai kurang warasnya.

    Aien Sofea yang masih kecil,berumur 6 tahun ketika itu masih tidak memahami apa yang berlaku.Ayah yang seperti singa mencari mangsa untuk membaham menuju ke bilik mencari Aien.”Aien!Ikut ayah!” Tangan Aien ditarik dengan kasar.

    Keadaan yang getir waktu itu memaksa Amirul sebagai abang untuk menyelamatkan adiknya daripada menjadi mangsa perlakuan ayahnya.Amirul bertindak menggigit tangan ayahnya lalu pergelangan tangan Aien dilepaskan.”Aduhh!Berani kau Mirul.Jaga kau!.”
    “Aien!cepat lari!” Mendengarkan kata abang kesayangannya,Aien berlari sepantas yang mungkin keluar daripada rumah usangnya.

    Daud yang semakin berang bertindak mengambil pasu bunga di halaman rumah untuk memukul anak sulungnya.Namun,ibunya bertindak terlebih dahulu demi menyelamatkan anaknya.Darah yang banyak telah mengalir keluar daripada kepala Zahirah.Amirul dengan sebak memanggil ibunya,”ibu!!!bangun ibu.!” Air mata dengan derasnya mengalir membasahi pipi Amirul.

    Aien yang tercungap-cungap berlari seketika tadi tersedar bahawa dia telah jauh dari rumahnya.Tiba-tiba matanya dikaburi dengan silauan cahaya lampu.Terdengar suara wanita menjerit “Abang!Brek!!!”.
***
    Bunyi hon kereta  Mercedes Benz telah mematikan lamunan Aien Sofea.Dengan segera gambar tadi diselitkan semula disebalik helaian sebuah buku.Aien menuju ke pintu untuk menyambut papanya pulang dari tempat kerja.”Assalamualaikum.Anak dara papa tak tidur lagi?” Sambil tersenyum Dato’ Mustafa menghulurkan tangan kepada anaknya.“Waalaikumussalam.Belum lagi.Tunggu papa balik la ni.” Aien membalas senyuman papanya sambil mencium tangan papanya.

    Aien Sofea kini telah melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Kuala Lumpur.Seorang gadis manis bertudung dan berperwatakan lembut inilah yang menjadi kebanggaan papa dan mamanya.Aien selalu berdoa agar sentiasa diberikan kebahagiaan dalam keluarga ini.Dan juga…kesabaran dalam mengakhiri penantiannya selama ini.

    “Aien.Abang.Jom makan .Apalagi berdiri di pintu tu” Datin Salwa memanggil suami dan anak tunggalnya untuk makan malam bersama.“Dah sudah makan,kita solat jemaah bersama ya?.” Dato Mustafa memainkan peranan sebagai ketua keluarga.“Baik papa.” Jawab Aien dengan nada gembira dan patuh pada arahan papanya.
***

    Preng.Preng.Preng. Tiga kali handle motor dipulas bagi menarik perhatian Amirul.Amirul  memandang ke belakang.Kelihatan sekumpulan gangster kampung sedang menaiki motorsikal menuju ke arah Amirul.“wah wah Ustaz Amirul.Rajin sekarang pergi kelas agama.Nak masuk Pencetus Ummah ke?.hahaha. Undilah saya PU Amirul” Deris memulakan bahan ejekan.Sengaja mengusik Amirul yang baru sahaja pulang dari kelas agama bersama Ustaz Firman.

    Teringat kembali nasihat Ustaz Firman :
Orang yang bernafsu Ammarah ialah orang yang berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran.Dia berasa seronok melakukan kemungkaran.Bahkan dia mengajak orang lain dengan mempromosikan kemungkaran dan kemaksiatan.
Sepertimana yang telah dirakamkan dalam ayat Allah S.W.T di dalam Surah Yusuf ayat 53 :
“……….sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”

    Amirul menarik nafas dalam-dalam.Senyuman dan salam diberikan kepada mereka sebagai tanda saudara seagama.“Assalamualaikum.Sedap rasanya telinga ni mendengar kalau mulakan pertemuan dengan salam.Betul tak?” Amirul sengaja menguji mereka.“Amboi.Dia mengajar kita pula.Macam kita tak tahu nak sebut salam.” Deris membalas tanda dia terasa dengan kata-kata Amirul.

    “Baguslah kalau dah tahu.Harap selepas ni dapat diamalkan.Bak kata Ustaz di tv tu apa?renung-renungkan dan selamat beramal” Sambil tersenyum,Amirul beredar dari situ.Dalam diam Deris menyimpan perasaan dendam kepada Amirul akibat perbuatannya sebentar tadi.

    Setibanya Amirul di rumah,dia terpandang akan potret adik perempuan kesayangannya.Amirul sangat gemar melukis semenjak kecil.Sejak terpisah dengan adiknya,Amirul tidak pernah berhenti mencari adiknya yang bernama Aien Sofea.Nama yang sering terungkap di bibirnya suatu ketika dahulu.

    “Aien,abang teringin sangat nak ada tv di rumah kita.Setiap kali nak tengok tv,mesti kita akan ke kedai Pak Man.Jom kita beli tv.Kalau kita beli tv,kita boleh tengok kartun sama-sama”.“Eh Aien mana ada duit sebanyak tu abang.Macam mana nak beli?” Aien berkerut menunjukkan kerisauan pada idea abangnya.“Kita boleh kerja.Sementara ibu menjual nasi lemak di tepi jalan,kita boleh tolong kutip botol untuk dijual.Boleh dapat duit”

    Sejak hari itu,mereka dua beradik sangat gembira walaupun terpaksa mengutip botol di jalanan hanya untuk mendapatkan duit menampung kehidupan seharian.
***
    Ketika Aien sedang khusyuk menelaah buku pelajarannya,pintu biliknya diketuk tanda meminta izin untuk masuk.Dato’ Mustafa dan Datin Salwa menghampiri Aien lalu Datin Salwa memulakan bicara.”Rajinnya anak mama ni”.

    “Yela ma.Exam next week.Aien kenala buat yang terbaik.You know me kan mama papa?”Sambil memegang tangan mamanya Aien menyandar lembut kepalanya ke bahu Datin Salwa.“Papa ada berita gembira nak bagitahu kamu”.“Apa dia pa?” Aien tidak sabar mahu mendengar.“Papa sudah tahu di mana abang kamu berada.Dia masih tinggal di rumah usang yang Aien pernah sebutkan dahulu”.Dengan perasaan yang sangat gembira bercampur sebak,Aien mengucapkan syukur.”Alhamdulillah.Doa Aien selama ini dimakbulkan Allah S.W.T.Aien gembira sangat pa.Aien nak segera ke sana.Boleh tak pa?”

    “Baiklah.Papa izinkan.Tapi dengan syarat,pembantu peribadi papa akan bawa kamu ke sana.Papa sayang kamu.Papa tahu kamu sangat rindu akan abang Mirul kamu.Walaupun kamu ini hanya anak angkat papa,tapi papa dah anggap kamu sebagai anak sendiri.Kamu cahaya buat papa dan mama” “Terima kasih papa mama”.Bermula saat itu,Aien terasa seperti dirinya sudah kembali sempurna.

    “Abang.Tunggu Aien datang ya.” Aien bermonolog sendiri.

***

    Deris yang sebentar tadi telah berjaya meragut bag tangan seorang wanita telah berkumpul bersama rakannya di sebuah pondok lama.”Kaya kita hari ni.Kita dah tak payah nak masuk macam rancangan tv tu. who wants to be a millionare?susah-susah je nak jawab soalan.Kita ni buat kerja macam ni senang-senang je dapat duit.Lumayan pun lumayan.Hahaha.” Ketawa Deris dan rakannya membuatkan Amirul yang kebetulan baru selesai menorah getah telah mendengar perbualan tersebut.
    
Setelah mendengar perbualan mereka,Amirul berniat mahu beredar dari kawasan pondok tersebut sebelum diketahui gangster kampung itu,tetapi malangnya Amirul terpijak ranting kayu kering lalu didengari Deris dan rakannya.Amirul sudah tidak boleh lari lagi.”Hey budak kampung!Apa kau buat kat sini?Kau sengaja mengintip kami ya?”
    “Eh tak.Aku kebetulan lalu kat sini.Tak dengar apa pun.Aku pergi dulu ya”.Amirul mencari helah untuk melepaskan diri.“Nanti Amirul.Kau ingat senang-senang kau nak pergi?Rasa dulu penangan buku lima aku”.Deris memberi ancaman kepada Amirul.

    Berlakulah adegan tumbuk-menumbuk antara mereka.Amirul yang kelihatan lebih hebat dalam seni mempertahankan diri telah dapat mengalahkan rakan Deris.Manakala Deris yang kelihatan takut dengan kehebatan Amirul telah berjaya melarikan diri.

***

    Petang itu kelihatan cuaca amat mendung sekali.Aien tetap dengan azamnya untuk berjumpa abangnya,Amirul.Setelah sampai di kediaman abangnya,memang benarlah bahawa inilah rumah usang yang pernah didiami oleh mereka sekeluarga suatu ketika dahulu.Dengan perasaan sebak di dada,Aien terus masuk ke rumah sambil memanggil abangnya.”Abang! Abang Mirul ! Adik ni bang.Adik dah balik”.Suara Aien bagaikan tersekat di kerongkong akibat menahan kesedihan.Setelah sekian lama penantian,kini dia telah dapat berjumpa sekali lagi dengan abangnya.Rindu.Ya!Sangat rindu.
Ketiadaan abangnya di rumah membuatkan Aien sabar menunggu.Hujan renyai terus membasahi dedaun yang tumbuh meluas di halaman rumah.Aien semakin sebak apabila terlihat begitu banyak potret wajahnya di kamar abangnya.Hatinya berkata,mesti abang yang lukis.ya!Inilah lukisan yang membuatkan hatinya terusik.
    Aien melihat air hujan satu persatu jatuh ke tanah.”Abang,Aien tunggu abang.Cepatlah balik”.Aien mengeluarkan sekeping gambar yang di dalamnya terdapat gambarnya,abang dan ibu.Gambar yang sering dibawa bersama itu jugalah satu-satunya bukti dan kenangan yang ada ketika hari mereka terpisah.
***
    Dalam perjalanan pulang ke rumah,Amirul terasa seperti diekori seseorang.Sekali pandang ke belakang,tiada sesiapa.Pelik juga jerkah hatinya.Amirul meneruskan lagi langkahnya.Kali ini,memang benar ada yang mengekorinya.

    Dengan tidak disangka-sangka,satu tumbukantelah terkena pada muka Amirul.”Rasakan!tumbukan aku yang kau inginkan Mirul” Dendam Deris yang selama ini terbuku di hati akhirnya terbalas.”Aku tak akan biarkan kau hidup di dunia ni lagi Mirul.Selamat tinggal”.Deris yang seperti hilang akal telah bertindak melibas Amirul dengan pisau belati yang tajam.Namun,Amirul lebih tangkas menepis.Pergelutan di bawah sentuhan air hujan yang mencucuk membuatkan Amirul tidak dapat melihat dengan jelas.Tiba-tiba satu tikaman telah menerpa ke dada Amirul.

Ya Allah,
Andai takdir Engkau menemukan kami di dunia ini maka pertemukanlah kami dengan rahmat dan kasihMu,
Tetapi sekiranya tidak,maka aku memohon kepadaMu pertemukanlah kami di SyurgaMu.
Adik ………….

***
    Aien masih tetap bersabar menunggu kepulangan abangnya.Harapan untuk menemui abangnya semula tidak pernah padam.

Tik.Tik.Tik.
Adakah hujan renyai ini akan melakarkan pelangi senja yang indah?



-TAMAT-

Hasil Nukilan
Ustazah Nor Jannah binti Omar

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "

Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan 
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]