TIKA UJIAN MENYAPA : ANDA YANG MANA ? - TINTA JUMAAT SIRI KE-33

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون
Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud : Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja hanya dengan mengatakan, ‘’Kami telah beriman’’ dan mereka tidak diuji ?
(Surah Al-ankabut, ayat 2)
Berdasarkan petikan kalam ALLAH ini, jelas menunjukkan setiap orang yang beriman dengan ALLAH dan Rasul-Nya akan hadir padanya satu ujian yang sesuai dengan kemampuan dirinya. Di sini, saya ingin berkongsi jenis-jenis manusia tika ujian menyapa dalam perjuangan dan urusan kehidupannya.

JENIS PERTAMA : KAYU RAPUH
Insan yang bersifat seperti kayu yang rapuh, mudah patah apabila ditekan. Biarpun sekecil-kecil masalah atau ujian yang mendatang, menjadi kayu yang mudah rapuh tetap menjadi pilihan. Dia yang mudah mengeluh, merasa tidak berjaya, sering menangis dan minta dikasihani apabila tekanan dan masalah mula menghentak dirinya. Insan bersifat sebegini haruslah melatih diri untuk berfikiran positif , berani dan berjiwa besar dalam menghadapi kenyataan hidup.

JENIS KEDUA : BESI
Insan yang bersifat seperti besi, biasanya mampu bertahan pada awalnya dalam menghadapi tekanan mahupun cabaran. Namun, seperti kebiasaannya sifat besi yang semakin ditekan oleh objek yang besar dan kompleks, ianya mula membengkok dan tidak stabil. Demikian juga keadaan manusia yang kerdil lagi lemah bersifat sebegini, mampu menghadapi tekanan dan cabaran tetapi bukan dalam keadaan yang berturut-turut. Akhirnya, mereka mula menyerah kalah dan berputus asa malahan lari membawa diri jauh dari manusia. Walaubagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka masih mahu mencuba sebelum menyerah. Kurangnya, mereka tidak ‘beristiqamah’ hingga akhirnya.

JENIS KETIGA : KAPAS
Insan yang bersifat seperti besi ini mampu bersikap fleksibel dalam menghadapi ujian mahupun mehnah yang mendatang. Cuba anda menekan sebongkah kapas, apabila ditekan ia akan mengikut tekanan tersebut. Kapas itu sifatnya yang mampu menyesuaikan kondisinya mengikut saat tekanan yang terjadi. Tetapi setelah berlalu, ia akan kembali pada keadaan yang asal dengan cepat. Begitu juga dengan kita insan biasa,hakikatnya mampu menghadapi ujian yang menimpa, dengan syarat kita perlu segera melupakan masa silam(jahil) dan memulakan langkah baru dengan peluang(hidayah) yang ALLAH s.w.t kurniakan sebaiknya.

JENIS KEEMPAT : BOLA PING PONG
Inilah sifat insan yang ideal dan terhebat. Semakin tekanan menghentak diri mereka, semakin mereka bekerja kuat, lebih bermotivasi, kreatif malahan menjadikan tekanan itu sebagai pendorong ke arah merealisikan impian. Cuba perhatikan bola ping pong, saat ia ditekan, ia kembali melantun ke atas. Lagi kuat ditekan, lagi tinggi ia melantun ke atas mungkin mampu mencapai awan. Senyum.

كنتم خير أجرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله
Firman ALLAH yang bermaksud : kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada ALLAH s.w.t.
(Surah Ali-Imran, ayat 110)
Manusia adalah sebaik-baik insan yang dipertanggungjawabkan untuk menyeru manusia yang lain kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Tidak dinafikan, manusia juga adalah selemah-lemah insan. Percayalah, ujian yang datang bukan untuk melemahkan tapi membangkitkan kembali jiwa-jiwa yang mula suram agar terus ‘thabat’ bersama memperjuangkan Agama Islam di atas muka bumi ALLAH ini. Ambillah semangat dari pejuang dan srikandi Islam dan bergerak bersama kesatuan Islam, itulah kekuatan. Umat Islam haruslah saling menguatkan. Wallahu ‘alam.


*SUMBER: HASIL BACAAN MAJALAH ‘NAHDHAH’ BIL KE-4,FEBRUARI 2008
( TERBITAN BADAN ANAK SELANGOR )


 " Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan Oleh :

Nurul Ain Binti Rahmat
Timbalan Setiausaha Agung II
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

السيرة النبوية : القصة في المنام أو التربية للأنام؟ MINDA SISWA | SIRI 2

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK MANHAJI ]