Jumaat, Oktober 02, 2015

CERPEN GURU MUDA - Hasil Karya Terbaik ( Ketiga ) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan

    
 Pada 17 Disember 2013 merupakan titik permulaan bagi diriku yang kerdil ini. Sedang aku merasakan bosan berada di rumah, maka diri ini terpanggil untuk mencari pekerjaan bagi mengisi masa lapangku dengan perkara yang berfaedah. Mencari pekerjaan itu bukanlah suatu yang terlintas di fikiranku apabila tamat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada bulan oktober yang lalu. Tetapi jika aku diberi peluang tersebut, ingin juga aku mencubanya untuk mencari suatu pengalaman  yang baru di dalam hidupku.

     Apabila sahabatku mengetahui perkara ini, lalu dia memberikan nama dan nombor telefonku kapada seorang mudir sekolah  yang sedang tercari-cari guru ganti bagi mengajar di sekolah tersebut. Maka terpanggillah aku untuk menghadiri temuduga itu setelah aku menerima panggilan telefon dari mudir itu, dua minggu sebelum tarikh temuduga yang sebenar. Maka pergilah aku ke sekolah itu untuk menghadiri temuduga bagi menjadi seorang guru ganti. Hanya Tuhan yang tahu betapa berdebarnya hatiku ini. Jika mampu aku ibaratnya, seperti  seseorang yang sedang berlari. Betapa lajunya degupan jantungku apabila hendak ditemuduga. Takut dan gementarnya hanya Tuhan yang tahu. Aku tempuhilah juga saat serta detik-detik itu.

     Boleh dikatakan awal jugalah aku datang pada pagi itu disebabkan takut kelewatan untuk tiba di sekolah itu. Orang baru katakan. Semangatnya lain. Aku pun menunggu dan terus menunggu sehingga guru-guru yang lain turut hadir juga diikuti oleh mudir sekolah itu. Ketika aku sedang menunggu kedatangan mereka, terdapat seorang sahaja guru perempuan yang telah datang lebih awal sebelumku. Namanya Teacher Nazirah. Sambil-sambil itu, kami pun saling berkenalan antara satu sama lain. Apabila semuanya sudah datang, maka berlakulah satu mesyuarat di pejabat guru lelaki. Bersebelahan dengan kelas Tahun Empat Tarmizi. Mereka semua memperkenal diri masing-masing. Nama guru-guru lelaki ialah Ustaz Sobri, mudir di sekolah itu. Kemudian, Ustaz Zulkarnain, Ustaz Khairul Anam, Ustaz Norhisham dan Ustaz Khairi. Manakala guru perempuan pula ialah Teacher Nazirah, Ustazah Suwaibatul Aslamiah, Ustazah Ummu Sakinah, Ustazah Syazani, diriku Nurul Fatin Syazana dan yang terakhir adalah kerani sekolah, Puan Aziana.

     Pada ketika itu jugalah, barulah aku mengetahui mesyuarat tersebut adalah mesyuarat pertama bagi para guru sesi 2014. Aku terus diserapkan menjadi salah seorang guru di situ tanpa ditemuduga oleh mudir sekolah. Percaya atau tidak, begitulah hakikatnya. Terdetik dibenak hatiku, benarkah aku akan menjadi seorang guru?mampukah aku untuk mengawal para pelajar terutama pelajar sekolah rendah?? Tetapi itulah kebenaran yang harus aku menerimanya. Pembahagian tugas serta matapelajaran telah diberikan oleh mudir bagi setiap guru yang bakal mengajar. Banyak jugalah matapelajaran dan kelas yang perlu aku  mengajar. Matapelajaranku adalah Pendidikan Seni dari tahun 1-4, Dunia Sains Dunia Teknologi tahun 1-3, Jawi tahun 4 dan Bahasa Arab tahun 6. Maka hari-hariku yang berbaki pada hujung tahun itulah aku manfaatkan bagi membuat persiapan diri dari segi fizikal mahupun mental sebelum aku memulakan pengajaran pada hari yang sebenar.

     Pada tarikh 2 Januari 2014 adalah hari pertamaku di sekolah tersebut. Satu suasana yang amat aku rindui pada zaman persekolahanku dahulu tetapi watakku sekarang adalah berbeza. Dahulunya aku berada di barisan para pelajar, kini aku berada di hadapan sebagai seorang guru. Pelbagai perasaan yang timbul pada hari itu. Beginilah perasaan menjadi orang baru di suatu tempat yang tidak seorang manusia pun aku kenali. Ibarat seperti rusa masuk ke kampung. Itulah ibarat yang sesuai bagiku pada saat ini. Kedengaran riuh-rendah di pagi itu. Hari pertama sekolah katakan. Masing-masing bersemangat sehingga tiba-tiba diriku disapa oleh pelajar-pelajar. " CIKGU! CIKGU!! Cikgu ini,guru baru ya di sini? " Aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum dengan sapaan mereka itu. Lantas aku berlalu pergi begitu sahaja dan terus menaiki tangga ke pajabat. Berkhayal sejenak.. Sudah jadi guru rupanya aku ini. Lantas aku terus mematikan khayalanku yang sebentar itu apabila teringat akan sekarang adalah waktu untukku masuk ke kelas.

     Aku ditaklifkan sebagai guru kelas bagi Tahun 2 Muslim. Lalu aku pun menuruni tangga menuju ke arah kelas tersebut. Apabila aku memasuki kelas itu, maka bangunlah kesemua murid-murid di dalam kelas dan memberi salam kepadaku dengan lafaz yang serentak "Assalamualaikum Ustazah"... Lantas aku pun menjawabnya, "Waalaikumussalam". Kemudian kesemua pelajar membaca doa belajar. Setelah itu, aku memberi keizinan kepada mereka untuk duduk. Suasana kelas yang selesa dan tidak terlalu bising membuatku bertambah tenang kerana bilangan pelajarnya adalah sangat sedikit. Hanya 9 orang pelajar. Tanpa membuang masa lagi, aku memperkenalkan diri. "Nama saya,Nurul Fatin Syazana Binti Mohd Fauzi. Umur 19 tahun. Asal,Paya Dalam Melaka.Masih bujang. Maksudnya tidak berkahwin lagi. Matapelajaran yang saya akan mengajar awak semua ialah Pendidikan Seni dan Dunia Sains Dunia Teknologi". Aku juga telah meminta mereka untuk memperkenalkan diri. Nama-nama pelajarku ialah Aiman, Arif, Latif, Iman, Quraisyah, Wadihah, Natasa, Aisatul dan Basirah. Selain itu, aku juga telah memberikan sedikit pencerahan mengenai buku serta subjek yang bakal aku mengajar. Seusai penerangan itu, aku hanya membiarkan mereka untuk melakukan pekerjaan sendiri. Ada yang berbual, bermain, diam dan lain-lain. Tetapi dalam keadaan yang terkawal. Sudah semestinya berada di bawah pemantauanku sambil itu dapatlah aku perhatikan gelagat dan karenah masing-masing sehingga akhir waktu pengajaranku tamat dan loceng berbunyi. Maka aku pun beredar bagi memberi peluang kepada guru lain untuk masuk ke kelas.

     Selang 30 minit selepas itu, aku memasuki kelas tahun 1 Bukhari pula. Tiba-tiba aku berbicara sendiri di dalam diri. Bagaimanakah pula pelajar-pelajar tahun 1 di kelas itu ya? Masuk sahajalah. Apabila kakiku melangkah sahaja ke dalam kelas itu, maka berdirilah mereka dan memberi salam kepadaku. Maka, terlihatlah aku ke arah seorang pelajar perempuan yang tidak berdiri. Pemakaiannya juga tidak seperti pelajar yang lain. Mungkin juga bajunya tidak sempat untuk disiapkan oleh penjahit. Dia hanya memakukan diri sahaja apabila aku masuk dan berdiri di hadapannya. Tidak mengapalah. Mungkin dia tidak mengetahui peraturan di sekolah itu. Bersangka baik sahajalah terhadapnya. Lalu aku berkenalan dengan mereka semua. Berbagai-bagailah ragam yang dapat aku perhatikan. Ada yang diam, petah bercakap, bising, suka menyakat orang lain dan berbagai lagi. Ada juga yang menangis apabila diganggu oleh pelajar lain. Maklumlah, pelajar tahun 1 katakan. Begitulah karenah mereka. Terima sahajalah seadanya.

     Seperti itu jugalah kelas tahun 3 Ahmad. Belum lagi aku memasuki kelas itu, suara mereka telah aku dengari dari kejauhan lagi. Sudah aku dapat meneka bagaimanakah perangai mereka. Pelajar-pelajarnya lagi agresif dan aktif. Nakal pun ada juga. Gaduh itu perkara biasa. Bagi yang lemah, hanya mampu menangis sahaja. Itu sahajalah kerjanya. Bertegas lebih sedikit pun, kurang berkesan. Suaraku ini lebih kecil jika hendak dibandingkan dengan mereka.

     Tahun 4 Tarmizi lain pula ceritanya.Boleh kata matanglah juga. Pelajar perempuannya agak manja denganku.Walaupun kami baru berkenalan di dalam kelas. Sifat mereka lemah-lembut sahaja. Manakala yang lelakinya sahaja yang agak petah dan sedikit nakal. Tetapi baiklah juga jika dibandingkan dengan kelas-kelas yang lain.

     Akhir sekal, kelas tahun 6 Ibnu Majjah. Pelajar -pelajar yang paling dewasa di sekolah. Tetapi bagiku dari segi umur, mungkin tidak. Ini kerana sifat dan perangai mereka yang aku perhatikan. Berbalah di antara pelajar lelaki dan perempuan itu, sudah menjadi sebati dalam diri mereka. Masing-masing sudah besar. Masing-masing hendak bercakap dan memberikan pendapat. Semua berfikir bahawa dirinya sahaja yang benar dan hendak menang. Tidak kira pelajar lelaki atau pelajar perempuan. Sama sahaja. Pening jugalah aku melihat mereka. Tetapi tidaklah semuanya begitu. Ada juga yang hanya berdiam diri dan ada pula yang baik-baik sahaja.

     Setiap kelas berlainan situasi pelajarnya yang perlu aku tempuhi. Sabarlah duhai hati. Apabila masuk pada minggu ke-3, secara puratanya mereka sudah mempunyai buku masing-masing bagi semua subjek yang bakal dipelajari dan bermulalah pembelajaran mereka semua. Dari pengajaranku kepada para pelajar, dapatlah aku simpulkan kepada beberapa kategori mengikut matapelajaran yang aku mengajar, iaitu :
1) Pendidikan Seni - Tidak mempunyai silibus yang khusus dan harus mencari inisiatif  lain dengan membeli buku di kedai-kedai buku terbesar seperti di Popular atau Thai Kuang serta mencari idea-idea luar bagi mempelbagai bahan mengajar.
2) Dunia Sains Dunia Teknologi - Para pelajar kurang memahami penyampaian yang diberikan serta bahan pembelajaran kurang dan ada juga yang tiada.
3) Jawi - Silibus buku adalah baru dan agak tinggi bagi mereka serta para pelajar tidak mampu menangkap dengan cepat serta terpaksa mempelajarinya dari asas semula.
4) Bahasa Arab - Pencapaian mereka ada yang sederhana dan baik. Tetapi ada juga segelintir pelajar yang tidak mampu membawa subjek.

     Itulah pemerhatian awal yang dapat aku simpulkan. Seperti biasa, persediaan sebelum mengajar itu adalah suatu perkara yang sangat penting. Menyusun aktiviti sepanjang waktu mengajar agar masa pembelajaran dapat digunakan dengan sebaiknya. Contohnya, memberikan latihan dan kerja rumah, membuat soal jawab di antara pelajar dan guru, kuiz dan lain-lain lagi. Dengan aktiviti seperti ini, secara tidak langsung dapat menarik perhatian mereka semasa proses pembelajaran. Seusai proses pengajaran, guru harus membuat laporan bagi setiap matapelajaran yang diajar untuk diberikan kepada mudir bagi melihat perkembangan pengajaran seseorang guru itu. Penat jugalah hendak menghadap laporan itu hari-hari. Tetapi itulah yang mesti dilalui oleh seorang guru walaupun dalam keadaan yang penat.

     Waktu berlalu sehingga pada bulan ke yang ke dua iaitu bulan Februari. Bulan yang mana para pelajar akan menghadapi ujian pertama. Persediaan dari guru dalam menyiapkan soalan bagi kesemua matapelajaran yang diajar serta menghabiskan silibus sebelum para pelajar menduduki peperiksaan. Tergesa-gesalah juga. Penat itu, perkara biasa bagi seseorang yang bergelar guru.

     Realiti kehidupan seorang yang bergelar guru sebenarnya tidak ada rehat bagi dirinya. Dari pagi sehingga tengahari adalah watu mereka mengajar di sekolah. Petangnya pula, terpaksa berhadapan dengan kerja rumah para pelajar untuk ditanda, membuat laporan serta persediaan menghadapi hari esoknya. Seterusnya, bertambahlah kerjanya apabila berada pada musim peperiksaan. Bermula dari membuat kertas soalan, menjaga peperiksaan, menanda kertas dan memberi markah sehinggalah menyiapkan buku rekod para pelajar untuk diserahkan kepada ibu bapa pelajar. Tidak terhenti di situ sahaja tetapi setelah itu membuat analisa pencapaian mereka untuk dibentangkan kepada mudir sekolah. Inilah guru. Betapa beratnya tangggungjawab yang harus dipikul bagi melihat kejayaan generasi pada masa akan datang. Tidak kira dengan hari-hari yang mesti dilalui bersama mereka untuk menyampaikan ilmu. Juga kelas tambahan yang wajib dilaksanakan bagi memantapkan lagi kefahaman mereka terhadap matapelajaran yang dipelajari. Inilah jasa para guru bagi mendidik anak bangsa berilmu pada masa hadapan.

     Berlalunya hari demi hari sehingga bulan berganti bulan yang seterusnya. Aku menguatkan diri supaya terus bersemangat untuk menjadi seorang pendidik. Walaupun cabaran yang mesti aku tempuhi pada setiap hari adalah berlainan. Walaupun dengan jangka masa 5 bulan ini, hari-hari dan bulan-yang lalu telah mematangkan diriku dengan perangai serta karenah mereka. Ada sahaja yang tidak membawa buku ke sekolah, bermain-main, bercakap ketika belajar, tidak membuat kerja rumah dan berbagai lagi. Bagi guru, perkara seperti itu adalah perkara biasa yang sering dilakukan oleh para pelajar. Tetapi setiap orang mempunyai tahap kesabaran yang terbatas dan juga ada hadnya.

     Seperti rutin kebiasaanku, aku menaiki motorsikal. Setiap kali sebelum pergi ke sekolah, aku akan memperbaharui semula niatku agar dapat menanamkan semangat yang baru untuk mengajar anak-anak murid di sekolah. Think positive! Moga Allah mempermudah urusanku pada hari ini dan akan datang. Setibanya aku di sekolah, pelajar-pelajar akan menyambutku di tepi motor dengan berkata "Ustazah Fatin...". Aku hanya tersenyum dengan gelagat mereka dan terus menuju ke pejabat dan menanda kehadiran.

     Setelah habis perhimpunan pagi, aku bersiap-siap dan bersedia untuk masuk ke kelas. Jadualku pada hari ini agak padat dari pagi sehingga waktu balik. Tidak mengapa. Amanah itu, haruslah dilaksanakan juga. Pagi itu dimulakan dengan kelasku sendiri. Tahun 2 Muslim. Apabila aku ingin memulakan pengajian, aku pun meminta para pelajar mengeluarkan buku. Lalu mataku memerhatikan kesemua para pelajar yang berada di dalam kelas itu. Ada yang berkata, "Ustazah... Latif,Quraisyah dengan Aisatul tak bawa buku". Maka aku datang menghampiri mereka sambil merotan meja sebagai tanda amarahku. Kesemuanya tersengih-sengih denganku apabila aku berbuat sedemikian dengan alasan yang sama, "Saya tertinggallah ustazah..lupa hendak letak buku dalam beg masa susun jadual". Lalu aku mendenda mereka dengan sekali sebatan di tangan sebagai peringatan kepada mereka agar tidak melakukannya lagi pada masa akan datang dan meneruskan pembelajaran sehingga habis waktu pembelajaranku bagi subjek tersebut. Walaupun pada hakikatnya moodku telah bertukar sedikit. Ini kerana aku sedikit terkesan dengan perbuatan mereka itu.

     Kemudian diteruskan pula pada kelas Tahun 1 Bukhari. Aku sedikit lewat masuk ke kelas tersebut kerana guru sebelumnya terlebih masa mengajar dan mengambil waktuku yang sememangnya sedikit tetapi aku tetap meneruskan juga pengajaran. Waktu yang berbaki sebelum rehat, aku gunakan hanya dengan memantau kerja rumah mereka yang lepas dengan menanda buku. Boleh kata sebahagian jugalah yang tidak melengkapkan kerja rumah yang berbaki itu. Pelajar-pelajar darjah tahun 1 ini, jika hendak dimarah lebih-lebih pun bukannya mereka boleh faham dan ambil berat tentang apa yang diperkatakan kepada mereka. Hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Membazir masa dan waktu sahaja. Berlainanlah jika berkata dengan pelajar sekolah menengah. Masing-masing sudah besar dan mampu berfikir dengan matang. Tidak mengapalah. Aku hanya memperingat kepada mereka agar tidak melakukannya lagi.

     Ada lagi 1 kelas yang harus aku hadiri iaitu kelas Tahun 3 Ahmad. Hari ini, kelas inilah yang sering aku masuki. Bermula dengan subjek Pendidikan Seni sebelum rehat. Ideaku hanya mahu membuat tugasan di dalam buku sahaja memandangkan bahan pengajaran tidak sempat aku siapkan kerana kepadatan jadualku serta aktivitiku di rumah. Aku pun bersuara dan berkata kepada mereka, "tajuk lukisan kita pada hari ini ialah ular. Tugasan awak semua ialah warnakan dan gunting lukisan tersebut menjadi seekor ular". Kebiasaannya pelajar perempuan yang akan menyiapkan tugasan lebih awal. Hendak diharapkan pada pelajar lelaki, ramai yang bermain dan membuat bising di dalam kelas. Apabila ditegur, barulah mereka membuatnya. Jika tidak, begitulah perangai mereka. Ibaratnya seperti pahat. Jika tidak diketuk, tidak bergeraklah ia. Sekali, dua mampulah aku menegur mereka. Setelah itu, kesabaran sahajalah yang mampu mengawal diriku ini. Hanya mampu memandang dan berdiam diri sahaja dengan perlakuan mereka. Walaupun dalam hati ini, Allah sahaja yang tahu aku sedang menahan amarahku itu. Aku memujuk diriku dengan kata-kata, "Tidak mengapalah. Mungkin selepas rehat ini baiklah mereka". Setelah loceng berbunyi, aku pun pergi ke kantin untuk membeli makanan bersama beberapa orang guru serta menjamu selera dengan para pelajar yang lain.

     Setelah habis rehat, aku meneruskan lagi tugasanku. Kelas 3 Ahmad juga. Tetapi subjek yang berlainan iaitu Dunia Sains Dunia Teknologi. Hatiku berbisik sebentar dengan kata-kata, "Ubahlah tanggapan di dalam dirimu. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik selepas rehat ini. Apa-apa pun, bersangka baiklah dengan para pelajarmu". Melangkah sahaja kakiku ke dalam kelas itu dengan harapan yang menggunung agar sikap mereka akan  lebih baik selepas ini. Masuk sahaja ke dalam kelas, ketua kelas pun berdiri. Diikuti para pelajar yang lain bagi memberi salam kepadaku. Aku menjawab salam tersebut tanpa menghiraukan beberapa orang pelajar yang tidak berdiri dan masih lagi bermain-main sesama mereka. Sabarlah Fatin. Dugaan bagi dirimu pada hari ini. Lantas aku bersuara. "Keluarkan buku teks muka surat 32". Tiba-tiba ada yang berkata, "Sekarang ke ustazah? muka surat berapa?? Saya tak dengarlah..". Maka aku mengulangnya semula. Lalu masih juga ada yang tidak dapat menangkap kata-kataku dek kerana riuh-rendahnya kelas pada ketika itu dengan berkata, "Apa ustazah?". Tanpa berlengah lagi, aku pun mengambil maker pen dan menulisnya pada papan putih. Sabar sahajalah dengan mereka ini. Pengajaranku diteruskan dengan tajuk 'jenis-jenis haiwan'. Sebuah tajuk yang sudah dipelajari pada minggu lepas tetapi sengaja aku mengulangnya bagi menguji ingatan mereka terhadap pelajaran yang lalu. Aku memulakan dengan bertanya soalan kepada beberapa orang pelajar tanpa membenarkan mereka untuk melihat buku. Tidak ramai yang dapat menjawabnya. Aku membiarkan sahaja tanpa mendenda mereka. Lalu aku terus membuat soalan di papan putih dan meminta mereka menyalinnya serta memenuhkan tempat kosong dengan jawapan sendiri. Malangnya, sehingga waktuku sudah hendak berakhir pun, masih ada yang tidak menulis soalan dengan lengkap di dalam buku. Jawapan jauh sekali sudah siap. Tiba-tiba aku terdengar ada suara yang bising di sudut kelas itu.

Abdullah berkata, "Mail!kau ambil pensel aku kan? "
Lalu Ismail menjawab kata-kata itu dengan berkata, "Mana ada.."ini aku punyalah. Kau kenapa??
Mereka silih berganti memberi soalan dan menjawabnya.
"Itu aku punyalah.........."
"Aku punyalah!!ayah aku yang belikan"
"Buwekkkk...." (Abdullah menjelihkan lidahnya kepada Ismail)
Ismail pun bangun dari kerusinya sambil menarik nafas yang geram dengan sikap Abdullah yang sering mencari gaduh dengannya. Lalu terus berlari menuju ke arah Abdullah dan menolaknya sehingga terjatuh dari kerusi yang didudukinya.
Abdullah berkata, "Kau kenapa tolak aku?"
Berlakulah pergaduhan di antara mereka disebabkan perkara tadi.

     Aku terus bangun dari kerusi guru yang berada di hadapan dan bertindak untuk meleraikan pergaduhan tersebut tetapi tidak berjaya. Mereka tetap bergaduh. Ditambah pula dengan kata-kata sahabat yang lain kepada mereka, "gaduh!gaduh!!". Semakin bertambahlah api kemarahan mereka untuk berhenti begitu sahaja tanpa menyelesaikan perkara ini. Lantas menjerit dan berkata, "Diam semua!Kembali ke tempat masing-masing". Tetapi semua tidak menghiraukan teguran dan nasihatku itu.

     Tahap kesabaranku sudah memuncak. Aku sudah tidak tahan lagi dengan semua ini. Sudah cukup penat aku melayan kerenah para pelajar dari pagi sehinggalah sekarang. Tanpa berfikir panjang, aku terus meninggalkan kelas tersebut tanpa mengeluarkan apa jua kata-kata serta membiarkan pergaduhan itu berlaku. Telingaku terdengar akan suara halus yang memanggilku. "Ustazah..ustazah...". Aku terus melangkahkan kaki keluar dari kelas itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Sedih di sudut hati kecil ini dengan apa yang diperlakukan oleh pelajarku sebentar tadi. Pedih sekali bagiku. Adakah ini karma bagi diriku di atas apa yang aku lakukan terhadap guru-guruku dahulu?Adakah aku juga bersikap seperti itu kepada mereka?? Pelbagai persoalan bermain di mindaku. Akhirnya, aku menenangkan diri dengan berehat dan berdzikir kepada Allah. Alhamdulillah, redha jua api kemarahanku setelah berjayanya syaitan dalam membisikkan kemarahan sehingga aku tidak mampu mengawal emosiku pada ketika itu. Kalahlah aku dengan emosiku sendiri kerana tidak dapat mengawalnya dengan baik apabila berhadapan dengan masalah seperti itu. Ya Allah..Layakkah aku dipanggil guru jika ujian sekecil ini sahaja aku tidak dapat menghadapinya dengan akal yang waras. Tidaklah aku menyalahkan mereka 100% di atas perkara yang berlaku. Mungkin salah aku juga kerana tidak mampu menjadi guru yang terbaik bagi mereka. Sudah tiba saatnya aku muhasabah diri sendiri.

     Aku merasaka bahawa begitu berat ujianku itu. Masih terngiang-ngiang suara mereka di telingaku. Walaupun masa telah berlalu sehingga larut malam. Tidak mampu aku melelapkan mata ini dek kerana memikirkan masalah yang berlaku siang tadi. Bagaimanakah mereka pada keesokan harinya? Adakah sama seperti itu atau sudah mulai sedar akan perbuatan tersebut adalah salah dan akan meminta maaf kepadaku?? Pelbagai soalan yang datang kepadaku tanpa aku mengetahui jawapannya. Bagiku, inilah keperitan yang perlu dihadapi oleh seorang guru. Walau apa pun yang berlaku, akan ku tempuhi jualah keesokan hari seperti biasa.

     Pagi yang agak hening dan cuacanya kelihatan mendung sahaja. Tidaklah menandakan langit ingin menurunkan hujan dan tidak juga matahari ingin menjengahkan dirinya. Cuaca itu sepertinya memahami perasaan dan hatiku yang masih hambar dek perkara semalam  yang memberi kesan kepadaku. Sampai sahaja aku ke sekolah, aku melaksanakan tugasan harianku seperti selalu. Pagi ini aku hanya bercadang untuk memberikan latihan sebagai bahan pengajaranku. Aku tidak bercadang untuk bercakap panjang dan hanya akan memantau gerak kerja mereka. Seperti itulah jua konsep pembelajaran bagi kelas-kelas yang lain. Termasuklah kelas 3 Ahmad. Waktu pengajaranku di kelas itu adalah waktu terakhir bagi sesi pembelajaran di sekolah. Aku masuk ke kelas itu seperti biasa dan meminta mereka untuk duduk. Lantas meminta mereka membuat latihan serta menghantar kerja tersebut sebelum bunyi loceng balik yang menandakan para pelajar boleh pulang ke rumah.

     Ketika di dalam kelas, aku hanya memakukan diri tanpa berkata-kata dengan mereka. Sepatah yang ditanya, sepatah jualah aku memberikan jawapan. Ada yang berkata, "Kau lah ni Mail dengan Abdullah..tengok! kan ustazah dah marah..korang pergi minta maaf dekat ustazah". Mail pun bangun untuk pergi meminta maaf. Tetapi tidak bagi Abdullah. Dia hanya duduk di atas kerusi dan mendiamkan diri. Sikap degil dan keras kepalanya tetap tidak berubah. Kawan-kawannya memaksa dia untuk pergi jua. Akhirnya dia bangun juga dan datang kepadaku. Serentaklah Ismail dan Abdullah berkata, "Kami minta maaf ustazah...". Aku hanya diam dan menganggukkan kepala sahaja. Apabila loceng berbunyi,  maka bersegeralah mereka keluar dari kelas dan berpusu-pusa menuju ke tandas untuk mengambil wudhu'. Ini kerana mereka akan solat secara berjemaah di surau setiap hari sebelum pulang ke rumah.

     Seusai solat zohor, aku menaiki tangga bersama seorang guru perempuan yang lain iaitu kak Ummu. Dialah tempat aku berkongsi dan meluahkan apa sahaja cerita. Setelah aku menceritakan perkara yang berlaku, lalu dia pun berkata, "Sabarlah ya Fatin. Inilah guru. Tidak semua orang mampu menjadi seorang guru. Allah telah memilih awak menjadi salah seorang guru di sini. Maka, Dia mengetahui bahawa awak mampu menempuh semua ini. Satu tugas yang ganjarannya sangat besar jika kamu mendidik mereka dengan penuh keikhlasan dan mampu membuat mereka berjaya di menara gading. Jadi, kitalah yang harus membuat  pengorbanan demi melahirkan pejuang-pejuang agama pada masa akan datang".

 Aku hanya tersenyum mendengar nasihat itu dan berkata, "Terima kasih ya kak sebab bagi kata-kata semangat kepada saya".
"Tidak ada apalah. Hal kecil je tu. Akak bagi nasihat kepada orang, tapi terkadang akak juga  lemah apabila menghadapi situasi yang sama. "
Tiba-tiba aku terfikir, "Eh!dah pukul berapa ni? Masa kelas pemulihan sekarang ni. Mana lah budak-budak ni tak naik lagi ke kelas..."
"Ariff! panggil kawan-kawan yang lain. Masuk kelas sekarang. Dah pukul 2.10 petang dah ni".
     Sambil-sambil itu, aku bermonolog dengan diriku."Memang benar apa yang diperkatakn oleh kak Ummu tu. Sudahlah. Aku harus bangkit dari perasaan aku ini. Mereka pun sudah meminta maaf kepadaku. Ubatilah sahaja luka itu. Didiklah mereka dengan nasihat dan hikmah seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya".

     Hari-hari yang seterusnya aku lalui dengan penuh bersemangat. Demi melihat kejayaan mereka. Sehingga akhir bulan 6, aku mendapat berita akan adanya kursus Bahasa Arab sebelum aku menjejakkan kaki ke Mesir. Sebagai persediaan bagi pelajar-pelajar menghadapi Imtihan Qabul sebelum masuk ke kuliah masing-masing. Jadi, aku tidak mempunyai masa yang panjang untuk bersama-sama dengan mereka lagi. Aku menghabiskan masa-masa yang berbaki dengan perkara yang mampu menjadi kenangan kepadaku pada suatu hari nanti. Hal ini aku tidak mengheboh-hebohkannya. Cukuplah hanya menjadi rahsia dalam kalangan para guru di sekolah. Pada saat-saat pengakhiranku di sekolah itu, baru aku menceritakan perkara yang sebenar. Sengaja aku tidak memceritakan perkara itu agar hatiku ini tidak terlalu sedih apabila menghitung hari-hari yang berbaki untuk bersama mereka. Bermain, berbual , mengambil gambar itu menjadi rutinku. Semua itu menjadi satu memori yang indah bagi diriku sebelum melangkah ke satu gerbang yang lebih luas skopnya.

     Pada tanggal 7 September 2014, itulah hari yang menjadi titik  pengakhiranku di sekolah itu. Surat berhenti telah aku hantar kepada mudir sekolah iaitu Ustaz Sobri lebih kurang seminggu yang lalu. Berat hati ini ingin melepaskan mereka tetapi inilah yang aku harus aku lalui kerana aku juga masih mempunyai cita-cita untuk dicapai. Maka, banyak masa-masaku dihabiskan bersama dengan mereka. Dalam hati ini, Allah sahaja yang tahu betapa sedih diriku dek perpisahan ini. Semakin aku melihat jam, semakin hampir masaku untuk berpisah dengan mereka. Masa itu tetap akan berlalu sehingga tamatnya waktu pembelajaran. Sebelum para guru pulang, kami saling bersalaman antara satu sama lain.    Seraya itu aku berkata, "Maaf ya semua jika Fatin ada buat salah. Terlanjur kata dan tersalah bicara. Terima kasih semua di atas tunjuk ajar, nasihat dan jamuan yang kalian buat tadi untuk saya". Mengalir jugalah air mataku membasahi pipi dek mengenangkan masa-masa bersama para guru semua. Ukhuwwah yang sebentar itu sangat memberi makna bagi diriku. Begitu jugalah para pelajarku. Telah aku memasuki kesemua kelas di sekolah itu dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Sedih itu memang ada. Terutama pelajar yang rapat denganku. Bersalaman dan berpelukan itu semestinya ada sebelum mereka pulang. Tetapi dengan pelajar perempuan sahaja. Hanya nasihat sahaja yang mampu aku titipkan pada mereka agar berjaya pada masa hadapan. Segunung harapan aku tinggalkan bagi melihat kejayaan mereka. Kenangan hari guru pada 16 Mei 2014 tidak akan pernah sekali-kali aku lupakan kerana terlalu banyak masa yang aku habiskan dan lakukan pada hari itu. Ucapan mereka, nyanyian, lakonan serta gelagat mereka tidak akan aku lupakan. Hadiah-hadiah yang diberikan bukanlah suatu yang aku minta dari mereka tetapi sebagai tanda mereka meraikan hari tersebut. Terima kasih semua yang bergelar anak-anak muridku. Walau tidak genap setahun aku mengajar kalian, tetapi ketahuilah itulah kudrat termampu yang aku dapat lakukan untuk kalian. Hanya doa yang mampu aku panjatkan untuk kalian semua agar sentiasa dalam peliharaanNya. Aku tidak meminta untuk dibalas dengan apa-apa pun, tetapi cukuplah dengan kejayaaan kalian sebagai hadiah terindah bagi para guru semua.  

     Walaupun aku sudah berhenti mengajar di sekolah itu, aku tetap menjalin hubungan dengan mereka melalui whatsapp dan lain-lain. Ketika ada cuti kursus, aku akan datang menziarahi mereka di sekolah. Beraya bersama-sama itulah yang menjadi titik perpisahan kami yang terakhir sebelum aku pergi meniggalkan tanah air ku jauh beribu-ribu batu bagi memperolehi ilmu di bumi para Anbiya'. Kenangan itu masih segar di ingatanku sehingga sekarang.

     Ketahuilah mereka sekarang sudah berada pada tingkat yang berlainan. Masing-masing sedang menaiki tangga sebelum menjengah ke satu jendela yang lebih luas. Begitu juga diriku sekarang sedang melangkah dan terus berjalan ke hadapan untuk mencari kejayaan yang aku idam-idamkan selama ini. Diriku ini hanya mampu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mengasihani, "Moga kalian dapat terus berjuang dan berjuang tanpa menoleh ke belakang lagi serta berasa lemah jika ketiadaanku berada di sisi kalian semua. Tetaplah terus dalam menimba ilmu sehingga kejayaan itu benar-benar milik kalian semua.


     Ketahuilah sayang ustazah pada kalian semua tidak pernah berkurang walau seinci pun meskipun tidak bersama kalian lagi. Ingatlah bertemu dan berpisah kita ini hanya kerana Allah serta dengan izinNya yang menghadirkan diri ini untuk menumpang teduh dan singgah sebentar di Sekolah Rendah Sri-Ahmadiah bagi mengenali diri kalian semua". Jaga diri ya semua. I will always miss and love you until Jannah. Selamat tinggal semua. Ustazah pergi dahulu... Akhir kata, ingat lah daku dalam doamu.....  

Hasil Nukilan 
Ustazah Nurul Fatin binti Mohd Fauzi ( Melaka )



" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "

Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan 

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan