Jumaat, Oktober 02, 2015

ISLAM DAN POLITIK - TINTA JUMAAT SIRI KE- 35

       Islam menetapkan tujuan dan tugas utama pemimpin adalah untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah dan RasulNya serta melaksanakan perintah-perintahNya.

Sabda Rasulullah SAW:

 عن ابن عمر رضى الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته.
(Dari Ibn Umar r.a, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Setiap orang adalah pemimpin dan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpin.)

       Setiap individu adalah pemimpin termasuk menjadi pimpinan bagi dirinya sendiri. Seseorang individu yang berfikiran matang haruslah sentiasa bersedia dalam mengenal seseorang pemimpin melalui sikap, kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu.Tidak kira siapapun, kita dianugerahkan oleh Allah dengan kelebihan masing-masing, sama ada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, sama ada kita selaku orang yang dipimpin kita mempunyai hak untuk menjadi jundi yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

       Ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri Muslim sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta pelbagai lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati apabila diadun. Al-Quran dan Hadis menegaskan bahawa pemimpin tidak ada kuasa mutlak. Setiap yang dipimpin haram untuk dizalimi. Rasulullah SAW menunjukkan contoh pemerintahan Islam yang adil dan baginda menjadi ketua negara yang tidak berlagak Tuhan, walaupun dirinya dilantik oleh Allah untuk menjadi Rasul. Pemerintahannya bergantung dengan wahyu dan syura daripada rakyat melalui pemimpin mereka.

Sabda Rasulullah SAW:

على المرء المسلم السمع والطاعة فيما أحب وكره، إلا أن يؤمر بمعصية، فإذا أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة.
(Wajib ke atas seseorang Muslim itu mendengar dan taat dalam perkara yang disukai dan dibenci, melainkan jika disuruh dengan perkara maksiat. Maka apabila disuruh dalam perkara maksiat maka tidak harus lagi mendengar dan mentaatinya.)

       Perlantikan Khulafa Al-Rasyidin selepas wafatnya Rasulullah SAW dilakukan secara musyawarah yang melibatkan para pemimpin seluruh rakyat dan pemimpin pula sentiasa dimuhasabah tindakannya oleh semua lapisan rakyat. Perlantikan Khalifah Abu Bakar dengan suara majoriti mengatasi calon yang lain menjadi contoh prinsip dan konsep politik Islam.

       Secara kesimpulannya, Islam datang sebagai pembawa rahmat Allah yang tidak terkira sifat Adilnya terhadap hambaNya. Dinyatakan secara wahyu dalam beberapa perkara secara umum dan khusus berkenaan kerasulan Muhammad SAW. Islam yang dibawa oleh baginda telah menunjukkan sIstem politik yang paling berjaya dalam sejarah manusia.

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Nurul Nazuwa binti Zazamudin
Timbalan Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2014/2015

0 comments:

Catat Ulasan