Sabtu, November 14, 2015

BKASM Meraikan Kejayaan Para Graduan dan Mahasiwa Cemerlang

12 NOVEMBER 2015, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2015/2016, dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah berjaya mengadakan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan.

Majlis yang diadakan di Asrama Rumah Selangor ini tidak lain adalah untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada mahasiswa dan  mahasiswi BKASM atas kejayaan yang telah mereka perolehi pada imtihan sesi lepas. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menaikkan semangat ahli-ahli BKASM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Majlis yang julung-julung kali dijalankan di peringkat BKASM ini disusun berdasarkan dua kategori, iaitu kategori graduan dan juga kategori kecemerlangan.Graduan adalah kategori yang dikhaskan bagi mahasiswa dan mahasiswi yang telah selesai menamatkan pengajian mereka di bumi Mesir ini.
Manakala kategori kecemerlangan pula adalah untuk semua ahli BKASM yang mendapat pangkat yang terbaik berdasarkan imtihan pada sesi yang lalu.

Bermula dengan pendaftaran yang dibuka seawal jam 2 petang, program diteruskan dengan solat asar secara berjemaah. Kemudian dilanjutkan lagi dengan sesi penerangan berkaitan teknikal perjalanan program kepada para penerima hadiah, yang dikendalikan oleh saudara Muhamad Nazif bin Shaari, yang bertindak sebagai Ketua Eksekutif Pengisian dan Disiplin program.

Program diteruskan lagi dengan majlis perasmian yang dimulai dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh saudara Muhammad Afham bin Sahrom, sebelum disambung dengan kalam alu-aluan oleh Pengarah program, saudara Muhammad Alauddin bin Zulkifli, dan Yang Dipertua BKASM, Ustaz Asraf bin Alias, serta Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir, Ustaz Mohammad Farid bin Mohammad Zainal.
Majlis perasmian ini diakhiri dengan pelancaran dan gimik pelancaran kelas tutorial yang dilancarkan sendiri oleh pegawai Selangor, sejurus selepas beliau menyampaikan amanatnya kepada para graduan dan graduanita khususnya.

Usai solat maghrib secara berjemaah, para hadirin dan hadirat disajikan dengan kalam tausiyah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Al-Syeikh Rif’at Fauzi.

Majlis tiba ke kemuncaknya dengan sesi penyampaian anugerah kepada para graduan dan pelajar cemerlang.

Penyampaian anugerah dimulai dengan kategori cemerlang ikhwah yang disampaikan oleh Pegawai Selangor, kemudian disusuli dengan kategori graduan ikhwah yang disampaikan oleh Syeikh Rif’at Fauzi sebelum diteruskan dengan penyampaian anugerah bagi kategori cemerlang akhawat yang disampaikan oleh isteri pegawai Selangor, dan disusuli pula dengan kategori graduan akhawat yang telah disampaikan oleh Syeikh Rif’at Fauzi.

Setelah selesai sesi penyampaian anugerah, para graduan diminta untuk  memperkenalkan diri mereka, dan beberapa orang wakil daripada para graduan dan graduanita telah diberi ruang untuk memberikan ucapan kepada ahli BKASM yang hadir.

Pada majlis ini juga turut diadakan simbolik pemotongan kek dan sesi fotografi dan majlis telah berakhir secara rasminya dengan jamuan.

Semoga program yang dijalankan ini dapat menjadi pembakar semangat buat ahli-ahli BKASM untuk terus melakar kejayaan dalam menimba ilmu, dan menjadikan BKASM sebagai medan untuk beramal dengannya.

"Ilmuan Berkualiti Mencurah Bakti"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh :
Setiausaha,
Majlis Graduasi & Anugerah Kecemerlangan,
Anjuran Bersama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir
dan BKASM sesi 2015/2016..

0 comments:

Catat Ulasan