Sabtu, November 28, 2015

HAKIKAT SEORANG DAIE - RISALAH DAKWAH SIRI PERTAMA

Dakwah adalah tugas yang sangat mulia kerana merupakan tugas para Nabi dan Rasul. Amalan ini sangat penting untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apakah Kelengkapan Para Daie?

Seorang Daie sekurang-kurangnya mestilah melengkapkan dirinya dengan perkara-perkara berikut:

Pertama: Kefahaman Yang Terperinci

Seorang Daie wajib mempunyai kefahaman yang terperinci dan menyeluruh kepada tajuk dakwah iaitu Islam. Ulama meletakkan satu kaedah yang sangat menarik:

“Seseorang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikannya kepada orang lain.”

Kedua: Keimanan Yang Mendalam

Seorang Daie mestilah meyakini bahawa Islam yang diserunya adalah petunjuk Allah yang benar yang tidak ada selain daripadanya. Dia mestilah meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang boleh menyelamat dan menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

Ketiga: Hubungan Yang Erat

Seorang Daie mestilah mempunyai hubungan yang erat dengan Allah S.W.T. kerana Dia-lah sahaja tempat bergantung dan memohon pertolongan dan Dia-lah sahaja yang boleh membuka pintu hati manusia untuk menerima agama-Nya.

Keperibadian Daie

Seorang Daie mestilah mempunyai keperibadian Islam yang sejati yang diterangkan di dalam Al-Quran dan diperincikan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sunnahnya. Sekurang-kurangnya seorang Daie itu mestilah mempunyai akhlak seperti berikut:

  1. Benar
  2. Sabar
  3. Rahmat
  4. Merendah diri
Keperibadian seorang Daie merangkumi pembentukan akhlak yang terpuji. Selaku ahli BKASM, kita seharusnya berusaha menjadi ikon Daie dalam menggerakkan Islam suatu hari nanti bermula dengan persatuan yang menaungi anak-anak Selangor di Bumi Mesir ini.

Kesimpulannya, tugas Daie tidak hanya terpundak kepada individu tertentu atau organisasi, malah menjadi tugas seluruh manusia yang bergelar seorang Muslim. Semoga kita terus menggembleng tenaga dalam menggerakkan dakwah demi kelangsungan Islam di muka bumi ini.

" Pemantapan Biah Solehah Membentuk Generasi Berakhlak "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Penulis :
Ustaz Khairulamirin bin Khabir
Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan