Jumaat, November 06, 2015

KESATUAN DALAM ISLAM - Tinta Jumaat Siri 1


Firman Allah SWT :
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah ( agama Islam ), dan janganlah kamu berpecah belah
( Surah Ali Imran Ayat 103 )
Berdasarkan firman Allah Taala di atas, kita dapat memahami kewajipan kita supaya bersatu dan jangan berpecah. Allah memberi kita satu garis panduan perlunya kesatuan umat Islam dalam dunia ini agar dapat membendung segala mafsadah jika perpecahan umat islam berlaku.
Ulama berpendapat, ayat di atas menunjukkan bahawa persaudaraan itu adalah persaudaraan yang lahir dari takwa dan Islam yang menjadi tiang seri yang pertama, iaitu tiang seri yang berasaskan pegangan yang kukuh dengan tali Allah, iaitu dengan perjanjian-Nya, sistem-Nya dan agama-Nya. Ia bukannya persaudaraan yang lahir semata-mata bermasyarakat berlandaskan sesuatu fahaman yang lain atau kerana sesuatu matlamat yang lain atau persaudaraan yang berasaskan pegangan pada sesuatu tali yang lain dari tali-tali jahiliah yang banyak.”
Tambahan daripada itu, jika kita singkap sirah nabi, kita dapat lihat betapa Rasulullah mengambil berat berkaitan kesatuan ataupun persaudaraan di antara umat Islam ketika itu. Ikatan persaudaraan yang diikat antara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah atas dasar taqwa membawa kepada kesatuan umat Islam Madinah yang menjadi negara Islam pertama seterusnya menjadi titik tolak kekuatan dan kebangkitan umat Islam ketika itu setelah di tindas hebat ketika berada di Mekah. Natijah dari kesatuan tersebut, kita dapat lihat, pembukaan Kota Mekah berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah.
Oleh itu, di zaman modenisasi ini, kita kehilangan sistem pemrintahan Islam sekian lamanya. Hilangnya pemerintahan Islam yang menjadi lambang kesatuan umat Islam menyebabkan umat Islam berpecah belah dan sering ditinda.  Oleh itu, kepentingan membina kembali kesatuan Islam itu haruslah di ambil perhatian. Segala anasir perpecahan haruslah dicegah agar kesatuan Islam dapat dikekalkan.
Rasulullah SAW bersabda:
 “Perumpamaan orang Mukmin dalam hal kasih sayang adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan, maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam.” [HR Muslim]
BKASM yang menjadi wadah kesatuan anak Selangor di bumi Mesir ini haruslah kita pertahankan. Tali persaudaraan yang terjalin membuktikan kesatuan kita ini sentiasa utuh mengikut peredaran masa. Kebersamaan di antara barisan pimpinan dan ahli haruslah diperkuat. BKASM bukan terbina semata-mata untuk pimpinan bahkan ahli juga terlibat sama. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjayakan segala program dan juga aktiviti yang dianjurkan oleh BKASM agar keteribatan ukhuwah kita diperkuat dan sentiasa bersama dan bersatu merentasi pelbagai cabaran bagi memastikan kesatuan yang kita sayangi ini sentiasa relevan dan dirahmati Allah.

Disediakan oleh,
Mohd Azrollnaim Bin Arshad
Ketua Lajnah  Penerangan & Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan