Jumaat, Disember 25, 2015

G25 - PATUHI SYARIAT HIDUP TERPELIHARA - Tinta Jumaat Siri 7


Mutakhir ini, semakin banyak isu umat dan masyarakat Islam yang semakin parah dan kian meruncing yang diperdengarkan kepada kita saban hari. Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan sebuah kumpulan yang dinamakan sebagai G25 agar menggesa tindakan hukuman khalwat terhadap orang Islam dimansuhkan. Hal ini jelas bertentangan dan membelakangkan hak Allah yang agung.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

“ Celupan Allah. Siapa yang lebih baik celupannya daripada Allah. Dan hanya kepadaNya kami menyembah “ ( Al-Baqarah : 138 )

Ayat Al-Quran di atas jelas menunjukkan hukum-hakam di dalam Islam adalah yang terbaik. Kalam Allah mengatasi segala-galanya. Malah, ia lebih tinggi tarafnya daripada apa yang termaktub dalam mana-mana perlembagaan sesebuah institusi mahupun negara sekalipun.

Antara perkara yang diperjuangkan oleh kumpulan G25 ini adalah tidak mengganggu hak kebebasan seseorang. Tegas mereka lagi,  perbuatan khalwat di tempat peribadi merupakan kesalahan yang hanya membabitkan antara pelaku dengan Tuhan pada pandang sisi  mereka. Gesaan agar meminda dan memansuhkan hukuman khalwat yang ada dalam undang-undang syariah Islam adalah tidak relevan sama sekali. Hal ini menunjukkan bahawa kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini sangat membimbangkan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“ Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksa-Nya “ ( Al-Anfal : 25 )

Semua pihak harus memainkan peranan bagi membendung gejala ini daripada terus menular dalam lapisan ummat Islam. Konsep ‘Amar Makruf Nahi Munkar’ perlu disemat di dalam hati dan dibuktikan dengan amal dalam kehidupan seharian kita kerana bala Allah itu tidak  diturunkan pada individu yang melakukan maksiat sahaja bahkan ia menimpa pada semua makhluk yang bersamanya.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:
Aisyah Binti Mhd Shukeri
Timbalan Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2015/2016


0 comments:

Catat Ulasan