SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, Februari 27, 2015

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Pernah dengar ayat yang diketengahkan dalam tajuk di atas ini? Apakah yang dimaksudkan dengan ayat di atas?
“Perbaikilah diri kamu dan (pada masa yang sama) ajaklah orang lain”
Inilah antara dua elemen penting bila mana kita menggalas tugas sebagai khalifah yang ditaklifkan Allah atas setiap hambaNya yang bergelar muslim. Kalimah ini juga seringkali meniti dibibir para daie bagi menyuntik semangat untuk kita bersama-sama mendokong tanggungjawab khalifah di muka bumi ini.
 
REFLEKSI  DIRI 

      Perlu diketahui, refleksi diri atau perbaiki diri merupakan aspek penting yang menjadi tunjang dalam gerakan dakwah. Hal ini sewajarnya bermula dengan diri kita sendiri sebelum mengajak orang lain dalam berbuat kebaikan. Teruslah beramal , berubah ke arah yang lebih baik dan jangan bersedih dan takut jika perubahan kita tidak dihargai sekeliling. Sesungguhnya, pandangan dan redhaNya lebih berharga daripada nilaian manusia itu sendiri.
Allah berfirman dalam Al-Quran Al-Karim :

ولا تهنوا ولا تحزنوا وأنتم الأعلون ان كنتم مؤمنين
"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika sekiranya kamu benar-benar orang yang beriman”

MENGAJAK ORANG LAIN 

Nabi SAW bersabda :-
Sampaikan daripada aku , walaupun sepotong ayat”   (Hadis Riwayat Bukhari)
       Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sudah menjadi kewajipan ke atas kita untuk meneruskan perjuangan dakwah Rasulullah S.A.W.  Bila mana kita mengajak orang lain dalam kebaikan, hal ini menjadikan ia satu titik tolak yang positif untuk kita mempertingkatkan lagi amal kebajikan kerana iman kita sentiasa berada dalam keadaan naik dan turun.
      Akhir kata, cukuplah kata-kata Hassan al-Basri mengingatkan kita bahawa “Andai kata seorang Muslim tidak memberi nasihat kepada saudaranya , kecuali setelah menjadi orang yang sempurna , nescaya tidak akan ada para pemberi nasihat”.  Maka dengan itu, proses islah haruslah seiring dalam proses berdakwah agar dapat melahirkan generasi rabbani sekaligus mendapat redha Allah dunia dan akhirat.


Hasil Nukilan : Aisyah binti Shukeri
 
" Pemikiran Wasatiyyah Membentuk Tunjang Ummah "

| Lajnah Dakwah & Tarbiah |
| BKASM sesi 2014/2015

KESEDARAN ISLAM YANG SEBENAR - Tinta Jumaat Siri ke -13



 KESEDARAN ISLAM YANG SEBENAR

Firman Allah swt dalam Surah Al-Isra’ ayat (11) :
ويدع الإنسن بالشر دعاؤه بالخير وكان الإنسن عجولا
Maksudnya : “Dan manusia seringkali berdoa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa”.

Allah swt berfirman juga dalam Surah Al-Maidah ayat (45) :
ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الظلمون
Maksudnya : “Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Kehilangan Islam dalam praktikal hidup masyarakat

                Cara hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-quran. Mereka menolak kekuasaan, kebesaran dan janji-janji Allah.
                Keyakinan umat Islam mestilah dibina semula agar mereka merasai pentingnya rahmat Allah. Penolakan terhadap rahmat Allah dalam kehidupan mereka dianggap sebagai satu ancaman keras yang sentiasa membahayakan keselamatan jiwa, fikiran dan amalan.
                Kesan daripada penolakan tadi, umat Islam kini kehilangan Daulah Islamiyyah ke arah ‘Ubudiyyah nilai hidup sebenar dan akhlak sebenar.

Punca

Penolakan umat Islam terhadap Islam berpunca dari ‘aqidah yang lemah. ‘Aqidah yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai ad-Din. ‘Aqidah yang sakit lantaran dipengaruhi dan diserang oleh cara hidup bukan Islam.
Pelbagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkahlaku umat hingga Islam kembali menjadi dagang. Islam sebagai ad-Din turut asing di hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud hanyalah realiti mempertikaikan kehendak-kehendak Allah swt. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang Islam kehendaki dan mempertikaikan nilai-nilai syara’.

Siapakah yang akan menyambut seruan kesedaran

Setiap daie perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan rahmat Allah dan yang ingin menyahut seruan Allah. Fitrah manusia untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melalui proses. Daie atau murabbi perlulah bijaksana menggunakan teknik dan cara bertindak dalam menarik mad’u yang pelbagai.
 Daie perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan rahmat Allah. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah dalam setiap bidang.
Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur atau tidak berfungsi dengan betul. Hati-hati ini juga perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan berpunca dari permasalahan ‘aqidah yang mesti diterokai terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi iman sebenar agar tindakan yang lahir selaras dengan tuntutan iman. Iman kepada Allah adalah pemancar. Dari pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam.

Oleh yang demikian, daie atau murabbi perlu memahami bahawa ‘mukmin’ adalah natijah yang lahir daripada tarbiah yang menekankan keimanan kepada Allah.

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "



Disediakan oleh,
Nurul Nazuwa binti Zazamudin
Timb. Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2014/2015

Rabu, Februari 25, 2015

VARIASI BARU JAULAH SRIKANDI ITQAN


25 FEBRUARI 2015 , RABU – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) Sesi 2014/2015 dibawah kelolaan Lajnah Sambutan & Rehlah (LSR) julung kalinya telah mengadakan pakej Jaulah Ilmiah ke Iskandariah dan Dumyat pada 19 dan 21 Februari 2015 khusus untuk akhawat .

    Objektif yang diketengahkan pada jaulah kali ini antaranya  menjadikan jaulah sebagai wasilah tarbiah dan memberi khidmat bakti kepada ahli Bkasm secara berterusan. Selain itu, jaulah ini bertujuan memperbaharui medium sedia ada sempena menuju 50 tahun BKASM.

    Jaulah Serikandi Itqan Ini mendapat sambutan yang amat memberansangkan daripada  ahli dengan di sertai seramai 70 orang peserta dari Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir .Perjalanan ini diketuai oleh Ustazah Nur Hidayah Binti Mohd Ariff.

    Jaulah ini dimulakan dengan perjalanan ke Iskandariah .Sebelum bertolak  , para peserta menunaikan Solat Sunat Musafir dan Solat Sunat  Hajat di Musolla Darul Ehsan.Rombongan bertolak daripada Kaherah pada pukul 5 pagi. Perjalanan mengambil masa selama 4 jam . Pada jam 9 pagi , para peserta tiba di Safari Africa . Antara tarikan yang terdapat di Safari,para peserta berpeluang melihat dan bergambar bersama  haiwan. Seterusnya , para peserta meneruskan perjalanan di sekitar Iskandariah . Antara tempat bersejarah yang dilawati adalah , Maktabah terbesar di dunia ,Makam Imam Busiri dan Imam Abbas Al-Mursi,Qol’ah Qaitbey, Montazah Istana Raja Farouk,dan tempat yang terakhir yang dilawati di Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah (DPMI). Aktiviti menaarik yang diadakan sepanjang jaulah adalah “sweet capture” , Para Peserta Penerangan tentang tempat-tempat tersebut diberikan oleh  Musyrif  yang  berpengalaman ,iaitu Ustaz Hakimi Ibrahim, Ustaz Nazir Jamaluddin dan ustaz Hadi Ismut. Seterusnya , Para peserta bergerak pulang ke Kaherah  dan  tiba pada jam 3 pagi.

    Pada 21 Februari 2015 , Jaulah Serikandi Itqan diteruskan lagi ke Dumyat. Di sini , para peserta dibawa menikmati keindahan pantai . Program dimulai dengan Solat Sunat Musafir dan Solat Sunat Hajat serta bergerak  jam 1 pagi. Seterusnya , para peserta berhenti solat subuh di Masjid Ar-Rahman. Pada jam 6 pagi , para peserta meneruskan perjalanan ke Pantai Kerang , Dumyat . Seusai sampai, para peserta dihidangkan sarapan pagi dan bermain aktiviti pantai . Pada tengah hari , para peserta menjamu selera BBQ yang disediakan oleh pihak penganjur . Seterusnya , Para peserta meneruskan perjalanan ke Ra’su Bahr,Para Peserta dapat melihat sempadan yang memisahkan antara dua pantai.

   Pihak pelaksana program Jaulah Serikandi Itqan merakamkan jutaan terima kasih sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang menyertai jaulah pada kali ini.Semoga objektif untuk mengukuhkan ukhuwah antara ahli tercapai dalam menuju 50 tahun BKASM dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah .

                                                         “TEGUH PEMIKIRAN , RIBAT KEBERSAMAAN “


Disediakan oleh,

NOR ELLYNA AQILAH BINTI MOHAMAD ALIAS
Setiausaha Jaulah Serikandi Itqan,
Lajnah Sambutan & Rehlah,
BKASM sesi 2014/2015.

Jumaat, Februari 20, 2015

BKASM JULUNG KALINYA MENGADAKAN JAULAH KE SELATAN SINAI

PERJALANKU SINAI ‘15

18 FEBRUARI 2015, RABU – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2014/2015 dibawah kelolaan Lajnah Sambutan & Rehlah (LSR) buat julung-julung kalinya telah mengadakan lawatan ilmiah ke Semenanjung Sinai selama tiga hari dua malam pada 15, 16, dan 17 Februari 2015 khusus untuk ikhwah.

Objektif yang diketengahkan pada jaulah kali ini antaranya ialah mengukuhkan ukhwah antara ahli BKASM pada setiap peringkat serta menambah pengetahuan dan thaqafah tentang sejarah dengan adanya penerangan dari musyrif berpengalaman sepanjang jaulah. Selain itu, jaulah ini juga bertujuan membentuk ahli yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental melalui aktiviti-aktiviti lasak ketika di sana.

PerjalanKu Sinai ‘15 mendapat sambutan yang memberangsangkan dari ahli dengan disertai seramai 62 peserta dari Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor termasuk dua orang peserta dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Terengganu. Menariknya pada kali ini, PerjalanKu Sinai yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Auzaie bin Roslan ini turut disertai Atase Pendidikan Negeri Selangor Mesir, Ustaz Mohamad Farid bin Zainal bersama ahli keluarga, dan Encik Shamsul Andri bin Masruddin, Pembantu Pegawai Atase Selangor Mesir.

Program dimulakan dengan taklimat disiplin dan keselamatan serta tentatif pada jam 1.00 pagi dan diikuti dengan Solat Sunat Hajat serta Solat Sunat Musafir sebelum bertolak. Rombongan bertolak dari Kaherah kira-kira jam 3 pagi dan berhenti rehat untuk Solat Subuh di Muzium Mini Suez sebelum meneruskan perjalanan. Antara tempat bersejarah yang dilawati pada hari pertama ialah Terowong Ahmad Hamdi, Kubu Israel, Telaga Uyun Musa, sauna semulajadi di Hamam Firaun. Penerangan tentang tempat-tempat tersebut diberikan oleh Musyrif program yang sangat berpengalaman, iaitu Ustaz Mohd Nur Afzan bin Ab Wahab. Destinasi terakhir pada hari tersebut ialah Dahab, tempat membeli-belah bagi para peserta juga merupakan tempat penginapan pada malamnya di Hotel Jawhara.

Hari kedua jaulah dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah serta tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Yang DiPertua BKASM, Ustaz Anas bin Mohd Bhukhari diikuti dengan ucapan dari Ustaz Mohamad Farid bin Zainal. Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada pagi hari antaranya snorkeling di Blue Hole dan menaiki Glass Boat sambil menikmati pemandangan indah dasar laut yang terdapat di sana. Perjalanan kemudiannya diteruskan lagi menuju ke St Catherine untuk melawat Uyun Musa dan Wadi Arbain sebelum menginap di Hotel Wady Mouquddus yang terletak di kaki bukit Sinai. Pada malam tersebut, peserta dijamu dengan hidangan BBQ kemudian berehat untuk persediaan mendaki bukit Sinai.

Misi pendakian bukit Sinai dimulakan pada jam 2.45 pagi dan kumpulan pertama tiba di puncak kira-kira jam 4.45 pagi dan menunaikan Solat Subuh di masjid yang terletak berdekatan dengan tempat Nabi Musa bermunajat kepada Allah. Alhamdulillah semua peserta yang mendaki akhirnya berjaya menamatkan pendakian mereka hingga ke puncak. Lebih menakjubkan, anak-anak kecil Ustaz Mohammad Farid yang turut serta dalam juga berjaya menyempurnakan misi pendakian bukit setinggi 2,285 itu. Keinginan para peserta untuk menyaksikan matahari terbit tidak kesampaian apabila cuaca pada pagi tersebut agak mendung dan berkabus. Namun, tanpa disangka-sangka salji turun ketika mereka berada di puncak Sinai.

Sepanjang perjalanan menuruni bukit, para peserta melawat perkampungan Nabi Ilyas AS, Monastery St Catherine, pancaran lembu Samiri, dan menziarahi makam Nabi Harun AS sebelum kembali ke hotel untuk bersiap pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, peserta sempat dibawa menziarahi makam Nabi Saleh AS dan mengadakan majlis penutup program di dataran padang pasir berhampiran. Rombongan PerjalanKu Sinai tiba di kediaman Hayyu Asyir pada jam 3 pagi.

Pihak pelaksana program PerjalanKu Sinai ’15 merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang menyertai jaulah pada kali ini diatas sokongan dan kerjasama yang sangat baik sepanjang program. Semoga objektif untuk mengukuhkan ukhwah antara ahli tercapai dalam menuju 50 Tahun BKASM melalui kembara tarbiyah ini dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah.

“TEGUH PEMIKIRAN, RIBAT KEBERSAMAAN”


Disediakan oleh,
(LUQMAN BIN MOHD ZAKI)
Setiausaha PerjalananKu Sinai ’15,
Lajnah Sambutan & Rehlah,
BKASM sesi 2014/2015

TUHAN TAHU KITA MAMPU - Tinta Jumaat Siri ke -12





TUHAN TAHU KITA MAMPU


 Hidup kita tidak lari daripada mengahadapi pelbagai UJIAN DAN CABARAN.

Firman Allah Taala :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

“ Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah”.  SURAH AL-BAQARAH :114

Iman kadang kala akan naik dan kadang kala akan menurun. Itulah lumrah bagi insan yang bergelar manusia ciptaan tuhan. Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi diri untuk terus beristiqamah dalam melaksanakan ibadah kepadaNYA.

Kadang kala kita mudah terleka dengan perhiasan dan nafsu dunia. Biarpun demikian jangan biarkan ia terus dihanyutkan dengan buaian hasutan, terus bangkit perbaiki segala amalan, perbanyakkan amalan sunnah bahkan ringankan tulang dalam bersama membantu perjuangan Islam.

Jangan menyesal dengan apa yang telah kita azamkan. Ingatlah Allah  sentiasa memerhatikan kita tanpa kita sedarkan. Jangan takut dengan bayangan manusia yang ada tetapi takutlah dengan azab ALLAH bagi mereka yang lalai dan alpa sengan suruhanNYA.

Apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir ALLAH yang tiada hikmahnya. Orang-orang yang soleh apabila diuji, hikmah dan ujian mendekatkan mereka kepada ALLAH. Namun, bagi mereka yang tidak suka atau benci apabila diuji, tidak akan dapat melihat hikmah disebalik ujian yang mendatang kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan nafsunya sahaja.

{ALLAH will never leave you EMPTY he will replace everything you have LOST if he asks you to put something DOWN it’s because he wants you to pick up something GREATER}

Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Akhir kata  marilah kita bersama-sama perkukuhkan posisi, menyusun segala strategi demi memartabatkan Islam serta berdoalah dengan sang pencipta semoga dengan didikan ini menguatkan lagi hubungan kita terhadap tuhan pencipta alam serta terus istiqamah berbakti untuk Islam.

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan Oleh :
Ustaz Muhamad Nasrul Bin Jamal
Ketua Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015


Jumaat, Februari 13, 2015

MELANGKAH DENGAN TARBIAH - Tinta Jumaat Siri ke -11

MELANGKAH DENGAN TARBIAH


   Apa itu tarbiah Islamiah?  Proses mempersiapkan manusia dengan persiapan menyeluruh,dari segala aspek kehidupan meliputi rohani, jasmani dan akal fikiran. Sekaligus dapat menciptakan keseimbangan(tawazun) dalam potensi, matlamat, ucapan serta tindakannya secara keseluruhan. Tarbiah juga merupakan salah satu wasilah bagi melahirkan insan yang soleh dan solehah. Demikian inilah yang dimaksudkan dengan tarbiah islamiah. Antara kalam Syeikh Musthafa Masyhur mengenai tarbiah :

{Aqidah dan iman yang kuat adalah asas pembentukan peribadi muslim, oleh yang demikian, kecuaian di bidang ‘tarbiah’ terhitung sebagai kelemahan dalam tapak asas dan akan menghadapkan bangunan kepada keruntuhan, samada cepat atau lambat.}

Istimewakah tarbiah?
     
Pelbagai keistimewaan yang boleh kita perolehi melalui tarbiah. Antaranya, kemampuan tarbiah dapat mengiringi fitrah manusia dalam menghadapi realiti kehidupan di bumi dan di alam material ini. Selain itu, potensi tarbiah sendiri yang dapat meningkatkan keteladanan dalam memberi manfaat dan kemaslahatan bagi diri, agama dan masyarakat. Namun yang demikian, segalanya tetap berlandaskan syariat Islam. Firman Allah s.w.t:

زين للناس حب الشهوت من النساء والبنين والقنطير المقنطرة من الذهب والفضة والخيل المسومة والأنعم والحرث ذلك متع الحيوة الدنيا والله عنده حسن المئاب
dijadikan indah pada(pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini,iaitu wanita-wanita,anak-anak,harta yang banyak dari jenis emas,kuda pilihan,binatang-binatang ternak dan sawah lading.itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.”
[ali imran:14]

     
Berdasarkan firman Allah di atas, jelas menunjukkan nikmat dan kesenangan yang Allah kurniakan kepada manusia di dunia. Nikmat yang banyak memberi manfaat kepada setiap hambaNya. Dan, dengan nikmat-nikmat begini yang banyak mengganggu ibadah manusia. Dengan nikmat dunia juga kadang-kadang melemahkan iman manusia sendiri. Maka, tarbiah adalah satu di antara elemen penting dalam diri manusia agar terus mencantikkan peribadi serta menggalakkan diri untuk menjadi lebih baik.

       
Lantaran itu,marilah kita sama-sama mendalami dan bersedia dengan segala pentarbiahan dalam membentuk modal insan yang bersifat rabbani. Melangkah dengan tarbiah untuk terus beristiqamah menyebarkan dakwah.
‘Tarbiah bukan segala-galanya,tapi Segala-galanya bermula dengan tarbiah’

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan Oleh :
Ustazah Syaidatul Humaira’ bt Mohd Naim
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

Jumaat, Februari 06, 2015

AMBIL IBRAH DARI SIRAH - Tinta Jumaat Siri ke -10




AMBIL IBRAH DARI SIRAH
              
  Allah SWT mentakdirkan setiap sesuatu terhadap segala perkara. Tidak ada yang terkecuali. Dari sekecil benda hingga sebesar perkara. Dengan segala takdir-Nya maka terciptalah sejarah atau sirah. Di dalamnya tersurat dengan sirah, tersirat pelbagai ibrah. Al-Quran sendiri banyak merekodkan kisah,sejarah dan diselitkan juga dengan pengajaran tentang para nabi, haiwan dan alam semesta. Begitu juga As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

ADA APA DENGAN SIRAH?

                Manusia asal pengetahuannya adalah jahil. Maka ilmulah yang akan mengalimkan mereka. Dengan mempelajari dan mengkaji sejarah maka kita akan dapati pelbagai perkara antaranya ilmu, kemahiran dan pengajaran yang utama. Sejarah para nabi, para sahabat dan tokoh-tokoh Islam adalah perkara yang mesti kita titikberatkan dalam kehidupan seharian. Ia diibaratkan kunci(keilmuan,kebijaksanaan dan kemahiran) yang membuka jalan kehidupan kita kepada kebahagian atau penderitaan kelak.
Firman Allah Ta’ala :
                “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan) nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui” (Surah Yusuf ayat : 3)


PENTINGNYA IBRAH

                Ibrah atau pengajaran merupakan elemen yang memainkan peranan kepada kita dalam memahami sesuatu sejarah itu sendiri. Intipati di dalamnya boleh jadi baik atau buruk, selamat atau bahaya bergantung kepada siapa yang memahaminya. Contoh yang mudah, si kaya akan belajar untuk terus jadi kaya kerana dia telah belajar apa itu erti miskin. Dahulu dia miskin, hidupnya jadi susah lalu dia mengambil pengajaran (kesusahan) akibat dari kemiskinan itu maka dia belajar(usaha) untuk menjadi kaya.
               
                Kesimpulannya, belajar dan kajilah tentang sirah dan ambil darinya ibrah. Seterusnya jadikan dan gunakan ia sebagai sebahagian panduan dalam menjalani kehidupan agar kita menjadi manusia yang sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan aman. Allahualam.


“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Muhammad Al-Fateh bin Ahmad Sapian,
Ketua Lajnah Kebajikan

BKASM sesi 2014/2015