SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Sabtu, Mac 28, 2015

DAIE MURABBI DAKWAH INFINITI


 Pada 25 Mac 2015,Kelab Daie Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir telah mengadakan Ijtimak Du'at Siri 1 untuk sesi ini.Tema Kelab Daie pada sesi ini berkonsepkan akademi.Seiring dengan tema Kelab Daie pada sesi ini ‘Daie Murabbi,Dakwah Infiniti’ penganjur menumpukan kepada tiga objektif.Pertama adalah melahirkan mahasiswa yang berkualiti,berketrampilan serta berjiwa besar dalam melakukan gerak kerja dakwah.Kedua pula meningkatkan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap suka membaca dan mengkaji.Objektif ketiga pula adalah memberi pendedahan tentang realiti ummah dan keperluan semasa melalui wasilah BKASM.

  Ijtima’ Duat siri 1 didahulukan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Kelab Daie.Ustaz Ahmad Lutfi bin Azizi dan kemudian dirasmikan oleh Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir,Ustaz Anas bin Mohd Bhukhari.

  Ijtima’ Duat kali ini membawakan dua slot dan satu Gerak Kerja Berkumpulan(GKB).Slot pertama adalah mengenai Asas Dakwah:Daie Murabbi,Dakwah Infiniti yang dibentangkan oleh Ustaz Zahani binti Abdul Ghani.Beliau mengatakan dakwah mestilah didahului dengan ilmu dan contoh ikutan terbaik.Konsep “Qudwah Qobla Dakwah” menjadi perkara terpenting untuk semua daie berhadapan mad’u.

 Seterusnya program diteruskan dengan pengenalan kepada para mentor yang akan membimbing peserta dalam GKB berkenaan dengan Dakwah Fardiah:Simple Touch.Peserta diberikan situasi-situasi yang memerlukan Dakwah Fardiah mengikut kumpulan-kumpulan yang dibahagikan.Perbincangan dan penyelesaian disimpulkan oleh mentor yang berpengalaman berpandukan konsep
Dakwah Fardiah.

 Slot terakhir pula adalah “Madkhal Ila Fiqh Nusus” yang dibentangkan oleh Ustaz Mohd Mukhlis bin Hasin.Beliau menerangkan konsep Fiqh Nusus yang berasal daripada Al-Quran dan Sunnah. Keperluan memahami Fiqh Nusus atau Fiqh Maqasid bertujuan mengetahui kaedah para ulama’ mengambil hukum daripada sumber syariah yang utama.Masalah ummat pada hari ini memerlukan pemahaman kepada nas syarak yang sahih berpandukan kaedah ulama yang benar.

  Ijtima’ diakhiri dengan kalam Pengarah Kelab Daie mengenai tugasan yang mesti dilakukan oleh ahli sebelum menyertai Ijtima seterusnya.Tugasan dibahagikan kepada individu dan berkumpulan melalui  bimbingan mentor.

 Semoga para peserta terus istiqamah dalam meneruskan siri-siri Ijtima’ Duat sehingga akhir sesi.
Penganjur mengharapkan pengisian yang diberikan dimanfaatkan semua peserta.Daie perlu menyediakan diri dengan pelbagai ilmu sebagai menyahut seruan Daie Murabbi,Dakwah Infiniti.

“DAIE MURABBI,DAKWAH INFINITI”
" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "


Disediakan Oleh:
Rabiatul Adawiyah binti Abdul Zabar
Setiausaha Kelab Daie
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

Jumaat, Mac 27, 2015

BINASAKAN ISLAM : F= -kx - Tinta Jumaat Siri ke Enam Belas

Chaim Herzog (حاييم هيرتزوع) : “Sesungguhnya keaslian Islam sangat bahaya seantero dunia”
The Globe and Mail (ذا غلوب آند ميل) : “92 artikel menerangkan tentang bahaya kekuatan gerakan Islam di Palestin”.
Washington Post : Pernah tersebar satu artikel bertajuk : “Islam adalah musuh nombor satu kepada Barat”

Laungan pimpinan Barat : “Binasakan Islam ,hancurkan pendokongnya!”
Adakah kita akan terus berdiam diri? Adakah kita akan terus bergoyang kaki tanpa amal di sisi? Adakah kita akan terus menunggu kemenangan dari nusrah Ilahi tanpa sedikit pun mahu menabur amal bakti?
          
فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّىٰ إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً حَتَّىٰ تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ۚ ذَٰلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لَانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَٰكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ ۗ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ

Maka apabila kamu bertemu dengan orang yang kafir (di medan perang), maka pukullah batang leher mereka. Selanjutnya apabila kamu telah mengalahkan mereka, tawanlah mereka dan setelah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan, sampai perang selesai. Demikianlah dan sekiranya Allah mengkehendaki, nescaya Dia membinasakan mereka, tetapi Dia hendak menguji kamu satu sama lain. Dan orang yang gugur di jalan Allah, Allah tidak mensia-siakan amal kebaikan mereka. ( Surah Muhammad :4 )

Lumrah orang beriman , mereka akan semakin teguh apabila dihenyak dengan tekanan. Namun tidak kurang juga yang tersungkur kerana merasa terhempap dengan tekanan yang bertalu.Pilihan berada di tangan kita.Allah telah menganugerahkan nikmat akal untuk kita manfaatkan serta mensyukurinya dengan memastikan akal sentiasa dipandu dengan wahyu dari Allah.

Prinsip spring (Hooke’s Law) yang menjadi silibus Fizik di Malaysia boleh dikaji atau ditimbulkan untuk membuat banding beza dengan kesedaran kita.Penulis tidak berniat untuk mengagungkan ilmu dari Barat, hanya ingin menjentik jiwa para pejuang agama Islam sekalian tentang perbandingan antara kita ciptaan yang dianugerahkan akal dan nyawa dan ciptaan yang tidak diberi akal.

F = -kx
[ F : daya yang dikenakan untuk memberi tekanan kepada spring l k : pemalar spring (keanjalan spring) l x : jarak spring daripada kedudukan asal setelah diberi tekanan l (-) :arah yang berlainan apabila daya dikenakan ; contoh : bila suatu spring diregang ke kiri, ia akan menarik balik ke kanan ]

Perumpamaan kepada kita selaku spring.Kita mempunyai keanjalan akal(-k) yang mana akan kembali kepada wahyu apabila berlaku sebarang perselisihan (tekanan). Semakin berat tekanan yang dikenakan terhadap spring(F) , semakin besar nilai jarak spring daripada kedudukan asalnya(x).Begitu juga dengan kita.Sepatutnya, semakin banyak tekanan yang kita hadapi semakin banyak kita kembali kepada wahyu dan semakin banyak tindakan kita untuk menegakkan agama Islam yang tertinggi ini.

Kadangkala dengan tekanan barulah kita menyedari berat dan besarnya peranan kita di dunia ini selaku hamba,khalifah dan pejuang agama.Kadangkala dengan kesedaran ancaman daripada musuh,baru kita sedar bahawa kita mesti bekerja untuk terus memastikan agama Islam ini berada di tempatnya yang tertinggi.

Tidak perlu kita terlampau meninjau di luar jendela sedangkan ruang lingkup jendela sirah perjuangan Rasulullah , para anbiya’ dan para sahabat belum kita hadam bersama.Mari kita selak sebentar naskhah Al-Quran pada muka surat 506 Rasm Uthmani dalam surah Al-Ahqaf : 35.



فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِل لَّهُمْ ۚ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِّن نَّهَارٍ ۚ بَلَاغٌ ۚ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ

(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik - derhaka.

Rasulullah pernah diancam dengan ancaman bunuh,Baginda juga pernah diuji dengan kemewahan dan keseronokan dunia bahkan pernah menerima perilaku yang tidak berperikemanusiaan oleh musuh-musuh Baginda.Namun tindakan Baginda tidak pernah melangkaui wahyu.Baginda tetap teguh dengan wahyu yang diturunkan dari Allah.Oleh itu,saat Baginda hendak meninggalkan ummatnya,Baginda mewariskan kepada kita dua perkara yang tidak akan menyesatkan bahkan memberi pedoman kepada kita.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك(
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).

Benar ! Barat tidak pernah memandang kita melainkan dengan tipu daya mereka.Mereka tidak pernah menghidu kita melainkan dengan “haruman” dendam kesumat mereka.Tetapi perkara yang kita mesti yakin adalah mereka merancang tipu daya dan Allah berkuasa menggagalkan tipu daya mereka.Hanya kita, Dimanakah peranan kita?



وَإذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ


Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.( Surah Al-Anfal : 30 )

Mereka hanya ingin melihat kita sering berselisih. Mereka juga ingin melihat kita takut untuk menyatakan kebenaran berbanding kebatilan.

Apabila kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan rasulNya (Al-Quran dan As-Sunnah).

Selamat beringat dan selamat beramal!

Satu Fikrah Satu Amal
Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan

Ulfatun Nadzirah binti Tugiman Razaq
Penasihat BKASM sesi2014/2015

RISALAH DAKWAH TERBITAN MAC- SAHUTLAH SERUAN ITU


SAHUTLAH SERUAN ITU

Situasi 1: “ Min, aku ada beli pizza ni. Jom makan sama-sama. ”
Situasi 2: “ Man, bangun Man. Dah pukul 3 ni. Ko kata nak tengok final Liverpool vs Chelsea.”
Situasi 3: “ Man, jom solat. Dah azan dah.”
           
Andai dialog-dialog di atas ditujukan kepada kita, apa jawapan yang kita akan berikan? Ketika inilah kita dapat menilai iman kita. Jika kita boleh menyahut ajakan yang pertama dan kedua tanpa sebarang penangguhan, mengapa kita berikan seribu satu alasan apabila ajakan yang ketiga ditujukan kepada kita? Inilah antara penyakit yang semakin parah di akhir zaman ini. Penyakit suka bertangguh. Andai solat pun kita boleh tangguh-tangguhkan, tidak mustahil kita akan bertangguh dalam perkara lain.
          Seruan azan yang dilaungkan bukanlah sekadar muzik yang dialunkan sebagai tanda masuk waktu solat. Akan tetapi ia merupakan satu seruan dari Ilahi menyeru jiwa-jiwa yang mengaku beriman untuk datang menghadap-Nya. Oleh yang demikian, bilamana kita mendengar seruan azan dilaungkan, bergegaslah untuk berhimpun di rumah-rumah Allah sebelum datang satu seruan yang memanggil kita untuk berhimpun di hadapan Allah untuk dinilai dan dihisab amalan kita di muka bumi ini. 
 فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا
“…belumba-lumbalah kalian dalam kebaikan, di mana pun kamu berada, pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua
(Surah Al-Baqarah : 148)
          Kalam ini bukanlah bermaksud untuk memaksa kalian menghentikan segala urusan kalian setelah mendengar seruan azan. Namun, jika tiada urusan yang penting atau urusan yang ada boleh ditangguhkan seketika, bukankah lebih baik jika kita mengutamakan Allah?

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133)}. - See more at: http://quran-m.com/container2.php?fun=artview&id=651#sthash.xgwcAyXC.dpuf
 وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133)}. - See more at: http://quran-m.com/container2.php?fun=artview&id=651#sthash.xgwcAyXC.dpuf
“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa” 
(Surah Ali Imran : 133)
          Ayat ini seolah-olah mengajak kita untuk berlari ke syurga yang telah dijanjikan untuk mereka yang bertaqwa. Bukankah satu kerugian, sekiranya pintu syurga terbuka luas di hadapan kita, namun kita berlenggang-lenggang berjalan ke arahnya, sedang orang lain berpusu-pusu memasukinya. Kita kalau lepas habis kuliah, nampak bas lapan puluh palang pun berkejar-kejar, inikan pula syurga Allah.
    
          Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berjanji dalam sebuah hadis qudsi, sekiranya kita mendekatkan diri kepada-Nya sejengkal, maka Dia akan mendekatkan diri-Nya kepada kita sehasta,  jika kita mendatangi-Nya sehasta maka Dia akan mendatangi kita sedepa, dan sekiranya kita berjalan ke arah-Nya maka Dia akan berlari ke arah kita. 
          Akhir kalam, ayuhlah kita bersama-sama berlari menuju ke syurga Allah. Sememangnya jalan menuju ke syurga itu tidaklah mudah, dan adakala kaki ini terasa berat untuk terus melangkah. Maka perkukuhkan tali yang menghubungkan kita dengan Rabbul 'alamin dan bergantunglah pada-Nya. Moga Allah mengurniakan taufik dan inayah-Nya untuk kita terus istiqamah di atas jalan-Nya sehingga sampai ke destinasi yang dituju.

" Pemikiran Wasatiyyah Membentuk Tunjang Ummah "

| Lajnah Dakwah & Tarbiah |
| BKASM sesi 2014/2015 |


Selasa, Mac 24, 2015

RIBAT PERDANA DAN PELANCARAN UNIT BIAH SOLEHAH (UBS) sesi 2014/2015

20 MAC 2015,KAHERAH – Unit Biah Solehah (UBS) dengan kerjasama Jabatan Fasilitator, Lajnah Dakwah dan Tarbiah (LDT), Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), sesi 2014/2015 telah mengadakan Program Ribat Perdana dan Pelancaran Unit Biah Solehah bagi sesi 2014/2015 yang bertempat di Musolla Darul Ehsan.

Secara ringkasnya, program ini melibatkan ahli-ahli BKASM, sama ada yang tinggal di imarah mahupun di rumah sewa. Antara pengisian dalam program ini adalah qiamullail,tazkirah subuh khas,dan pelancaran UBS.

Program ini dimulakan dengan kehadiran ahli dan para fasilitator untuk sama-sama tidur di musolla, bagi menjayakan aktiviti qiamullail yang dimulakan pada jam 3.50 pagi di Musolla Darul Ehsan. Kemudian program diteruskan lagi dengan Solat subuh secara berjemaah serta tazkirah subuh khas yang disampaikan oleh Badan Pengurus angkat PMRAM Cawangan Selangor, Ustaz Ahmad Shahrir bin Alias, Naib Presiden 1, merangkap Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan sesi 2014 yang bertajuk “ KEPENTINGAN BIAH SOLEHAH”. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan pelancaran UBS bagi sesi 2014/2015 yang telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Sharir bin Alias.


Antara Objektif diadakan program ini diadakan adalah untuk mewujudkan suasana biah solehah dalam kalangan mahasiswa/wi dan mendidik ahli BKASM akan kepentingan Biah Solehah dalam kehidupan seharian. Seterusnya, mengeratkan dan menguatkan lagi hubungan silaturrahim dan ukhwah sesama ahli BKASM.


Program ribat perdana ini berakhir sekitar jam 7.00 pagi dan alhamdulillah program ini dapat berjalan dengan baik serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli BKASM. Program ini juga melibatkan kerjasama yang baik  dengan Jabatan Fasilitator BKASM.

Akhirnya, semoga program seperti ini akan dapat terus dijalankan pada masa – masa akan datang dan juga semoga semua ahli BKASM dapat memberi komitmen yang baik terhadap program anjuran BKASM. Semoga BKASM sentiasa dipelihara oleh ALLAH S.W.T.

Disediakan oleh,

Setiausaha,
Lajnah Dakwah dan Tarbiah,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir,

BKASM sesi 2014/2015.

Ahad, Mac 22, 2015

TO BE A LEADER : ANJAKAN PARADIGMA PELAPIS BKASM


KAHERAH,21 MAC 2015 – Program “To Be A Leader” merupakan satu inisiatif yang disusun oleh Lajnah Perancang, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015 bertujuan menjayakan salah satu pembawaan BKASM iaitu “Generasi Harapan Aset Kesatuan”.

Program tersebut  dilaksanakan  di Musolla Darul Ehsan bermula jam 2.30 petang dan berakhir pada 10.30 malam. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 60 orang aktivis BKASM yang dihantar melalui setiap lajnah dan jabatan di dalam organisasi masing-masing.



Di antara objektif utama program “To Be A Leader” adalah bagi melicinkan gerak kerja BKASM sesuai dengan usia 50 Tahun serta  memberi kefahaman kepada AJK lajnah dan jabatan tentang pengurusan organisasi.

Program dimulakan dengan ucapan pengarah iaitu Ustaz Muhamad Nazif Bin Shaari selaku Timbalan Yang Dipertua 1 merangkap ketua Lajnah Perancang BKASM sesi 2014/2015. Antara slot yang dimuatkan di dalam program ini ialah Slot “Muslim Produktif” yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Farid Bin Mohammad Zainal, Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Slot kedua adalah slot “Mesyuarat Efektif & Perancang Berjaya” yang disampaikan oleh Ustazah Siti Aisyah Ismail dan Ustazah Ulfatun Nadzirah Tugiman Razaq, Penasihat BKASM sesi 2014/2015. 

Seterusnya para peserta diberi taujihat melalui slot “Taujihat Emas” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mu’aaz Bin Ramli, Badan Pengurus PMRAM 2014
Slot diakhiri dengan nyanyian lagu tema “Hadapilah” , lagu PMRAM dan bacaan doa rabitah bersama-sama seluruh AJKT BKASM.

Peringkat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015 berharap agar program seperti ini dapat memberi manfaat yang besar kepada seluruh peserta di dalam menggerakkan bahtera BKASM dengan penuh kefahaman Islam dan semangat yang jitu.







“GENERASI HARAPAN ASET KESATUAN”
“TEGUH PEMIKIRAN RIBAT KEBERSAMAAN”

Disediakan Oleh,
Setiausaha
To Be A Leader

Lajnah Perancang 
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015











Jumaat, Mac 20, 2015

KEPERIBADIAN AMIRUL MUKMININ ; Pemimpin yang amanah dengan Tanggungjawab - Tinta Jumaat Siri ke - 15

KEPERIBADIAN AMIRUL MUKMININ ;
 Pemimpin yang amanah dengan Tanggungjawab



Pernah diceritakan, pada suatu malam, Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab R.A. keluar meronda bersama seorang pembantunya. Apabila tiba di satu tempat, mereka terjumpa seorang wanita bersama beberapa orang anaknya. Lantas terus disapa oleh Umar R.A. dengan salam dan menanyakan hal keadaan mereka. Wanita itu menjawab bahawa mereka kedinginan dan tiada tempat tinggal.

Melihatkan keadaan anak-anak wanita itu yang sedang menangis, maka Umar R.A. bertanyakan keadaan mereka. Si Wanita menjawab bahawa anak-anaknya menangis kerana kelaparan. Wanita itu hanya memasak air untuk menenangkan anak-anaknya kerana menyangka makanan sedang disiapkan sehinggalah mereka tertidur. Hakikatnya mereka tidak mempunyai sesuatu pun untuk dimakan.

Maka Umar R.A. bertanya apakah perkara ini tidak diketahui Khalifah Umar?  Si Wanita menjawab: “Umar R.A. memang pemimpin kami tetapi dia tidak mengambil peduli hal-hal orang seperti kami”

Segera, Umar R.A. dan pembantunya menuju ke gudang penyimpanan bekalan. Beliau telah mengambil gandum dan minyak samin untuk dibawa  kepada wanita tersebut. Lalu Khalifah Umar R.A. meminta keizinan wanita itu untuk memasak. Segera Umar R.A.  memasakkan mereka bancuhan gandum dan minyak samin. Selesai, wanita itu mengejutkan anak-anaknya yang tertidur bangun untuk makan.

Sikap yang ditunjukkan oleh Saidina Umar bin Al-Khattab merupakan contoh keperibadian muslim yang sangat mulia dan tinggi. Memberi pengajaran kepada kita bahawa Islam amat mementingkan sikap amanah dalam setiap diri jiwa muslim. Kepimpinan yang baik adalah yang menunaikan amanah sebagaimana yang disuruh syariat. Firman Allah S.W.T:-
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menunai amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu berhukum terhadap manusia maka hendaklah kamu berlaku adil” (Surah An-Nisa’: Ayat 58)

Lawan bagi amanah ialah khianat. Pemimpin apabila dia berlaku khianat dengan tanggungjawab yang diberi, tidak amanah, maka sesungguhnya dia sedang menanti azab daripada Allah.

Muktahir ini, kita dapat melihat ramai pemimpin yang khianat dengan amanah yang diberi. Tidak menjalankan tugas dengan baik. Bekerja untuk mencari kemewahan. Tidak berhukum dengan Islam. Mengenakan peraturan yang membebankan rakyat. Maka benarlah sabda Nabi Muhammad S.A.W:-

Sesungguhnya nanti akan muncul pemimpin-pemimpin, yang memimpin untuk kepentingan diri sendiri, tetapi bukan untuk kamu. Sekiranya kamu taat kepada mereka, kamu akan disesatkan. Dan sekiranya kamu lawan mereka, kamu akan dibunuh”
(Riwayat Tabrani)

  Oleh yang demikian, perlu untuk kita fahami bahawa Islam adalah satu-satunya cara untuk kita selamat di akhirat.  Islam membawa rahmat keseluruh alam. Para pemimpin wajib amanah dengan tanggungjawab yang diberikan. Percaya, bahawa beramal dengan syariat Allah memberi keamanan buat ummat seluruhnya.

Muhammad Hafiz bin Rasimi
Timbalan Setiausaha Agung 1
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2014/2015

BENGKEL SONY VEGAS : Siri 1 Sambutan yang baik daripada Mahasiswa/wi baru



Pada 11 Mac 2015 yang lepas, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2014/2015 di bawah kelolaan Lajnah Penerangan Dan Penerbitan telah menganjurkan program Bengkel Sony Vegas Siri Pertama aktiviti di bawah Kelab LPP. Bengkel ini telah dilaksanakan terbuka seluruh ahli BKASM dan khusus kepada semua Unit Promosi dan Penerbitan setiap Lajnah. Bengkel ini telah diadakan di Musolla Darul Ehsan, Asrama Selangor, Hayyu Asyir.

Bengkel ini dilaksanakan bertujuan untuk melatih mahasiswa/wi khusus untuk pelajar baru dalam penggunaan Sony Vegas dalam menghasilkan video yang menarik dan terbaik disamping mengasah bakat terpendam di kalangan mahasiswa/wi sekaligus melahirkan pelapis baru bagi peringkat PMRAM pusat dan cawangan. Aktiviti ini telah disertai oleh 11 orang mahasiswa dan 18 orang dari kalangan mahasiswi. Bengkel Sony Vegas ini telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Hakimi Ahmad Suhaimi (Pengarah Kelab Karyawan Islam, Lajnah Penerbitan KPKM) dan  turut dihadiri oleh beberapa mahasiswa/wi yang berkemahiran dalam tatacara penggunaan Sony Vegas sebagai mentor kepada peserta.

Bengkel Sony Vegas Siri Pertama ini telah mendapat sambutan yang baik terutamanya dalam kalangan mahasiswa/wi baru. Bengkel ini berakhir dengan pemberian tugasan kepada para peserta iaitu membuat video berdasarkan tajuk yang telah diberikan oleh pengisi. Semoga dengan penganjuran bengkel ini, para peserta dapat  mengambil peluang  untuk mengasah bakat masing-masing khususnya dalam penyampaian mesej dakwah melalui penghasilan video yang kreatif dan menarik kepada masyarakat di luar sana.


“Together Through Multimedia”
“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Setiausaha Lajnah Penerangan dan Penerbitan

BKASM sesi 2014/2015

Rabu, Mac 11, 2015

SEJARAH KESATUAN YANG DILUPAKAN - Tinta Jumaat Siri ke -14


SEJARAH KESATUAN YANG DILUPAKAN
            
  Bilamana sejarah diketengahkan di dalam perbincangan, perlu diketahui sejauhmana kesahihan sejarah tersebut. Sirah Nabi Muhammad s.a.w merupakan sejarah yang terperinci dan paling sahih berbanding dengan sejarah-sejarah yang lain disebabkan metod pengambilan sejarah tersebut yang tidak dapat dinafikan kebatilannya.

Sejarah melakarkan satu paradigma yang agung apabila manusia dapat disatukan di bawah satu wadah kepimpinan Islam bermula era negara Islam pertama iaitu Madinah. Di situ bermulanya kekuatan dibentuk dan disebarkan pengaruh Islam ke beberapa tempat. Setelah wafat baginda Nabi Muhammad s.a.w, diteruskan lagi peranan kepimpinan Islam oleh para sahabat bahkan mengutamakan perlantikan khalifah daripada pengebumian Nabi. Disebabkan peranan itu diteruskan, akhirnya Islam berjaya meluas hingga sepertiga dunia.

Kesatuan yang dibina atas dasar Islam. Kesatuan dari sudut bersatunya kawasan-kawasan yang sekiranya berlaku serangan musuh luar, maka mereka akan bersatu dalam melawan musuh tersebut sehingga kalah. Kesatuan dari sudut rujukan iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang relevan untuk setiap tempat dan masa.

Kesatuan terakhir yang terpenting adalah dari sudut pemimpin yang satu iaitu “Khalifah” yang menyatukan umat yang berada di dalam negara Islam selain mengelak daripada perpecahan. Kalaulah Islam mengajar kita dalam bab perselisihan antara suami dan isteri perlu didatangkan hakim, apatah lagi dengan perkara manusia yang lagi banyak mehnahnya.
Berdasarkan fenomena tadi, dapat kita simpulkan bahawasa perintis kepada tercetusnya kepada pemikiran kesatuan adalah ideogi Islam yang datangnya daripada Allah s.w.t. Allah berfirman di dalam kitabNya: "

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا"

Maksudnya: Berpeganglah kepada tali Allah dan jangan berpecah belah.(Surah Ali Imran, ayat 103)

Malangnya, kesatuan ini mula merudum dalam diri orang-orang Islam hari ini apabila khilafah dijatuhkan hasil daripada perancangan-perancangan Yahudi. Mereka menonjolkan seorang tokoh iaitu Mustafa Kamal Atartuk dalam misi menjatuhkan kesatuan melalui menjatuhkan khilafah selain daripada memburukkan khalifah pada ketika itu dan membangkitkan semangat nasionalisme Arab.
Kita, sebagai mahasiswa Mesir, perlu ada kesedaran tentang pentingnya kesatuan ini dan mengambil berat terhadap permasalahan yang kita hadapi pada hari ini. Ini kerana Islam membawa rahmat kepada seluruh alam dan tidak akan terjadi rahmat ini secara total melainkan adanya kesatuan. 

Akhir sekali, ingatlah firman Allah untuk kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w jadikan renungan:
 "كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر وتؤمنون بالله"
Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang mana menyuruh kepada kebaikan, melarang kepada kemungkaran dan beriman kepada Allah” (Surah Ali-Imran,110)

Wallahua’lam.

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Aiman Fitry bin Zulkifli,
Ketua Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2014/2015


Selasa, Mac 03, 2015

KHILAFAH : SUNNAH YANG SEPATUTNYA DIKEMBALIKAN

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وإنه لا نبي بعدي وسيكون خلفاء فيكثرون

“Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, apabila wafatnya Nabi maka akan ada yang menggantikan nabi, sesungguhnya tidak ada Nabi lagi selepas daripada aku, dan akan ramainya khalifah-khalifah (pemimpin-pemimpin) selepas aku”(Riwayat Bukhari)

Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w menjadi suatu titik permulaan bagi kehidupan umat Islam. Semangat untuk meneruskan legasi pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul menggugat para sahabat. Nabi tidak boleh diganti, hukum Allah yang meletakkan Nabi sebagai “khotaman Nabiyyin” tidak boleh diubah. Maka hasil musyawarah sahabat di Thaqifah Bani Sai’dah menjadi sejarah terpenting bagi umat Islam dalam mengingati sejarah permulaan khilafah selepas kewafatan Nabi S.A.W.

Permulaan Saidina Abu Bakar ketika memimpin umat Islam bukanlah suatu perkara baru, akan tetapi suatu perkara yang diteruskan daripada Nabi Muhammad sebagai ketua yang memimpin Negara Islam Madinah. “Manhaj Nubuwwah” iaitu kalimah yang sentiasa disebut mesti kita ingat dan amati bahawa bukan hanya “manhaj Nubuwwah” akan tetapi terkandung di dalamnya juga “manhaj khilafah” sebagai wasilah kesatuan umat Islam. Rekod Nabi S.A.W dalam mendirikan negara Islam, rekod Nabi melaksanakan pemerintahan negara islam, rekod Nabi memastikan negara-negara jiran tersebar tentang Islam adalah antara hujah yang mesti diingati bahawa manhaj khilafah adalah suatu kewajiban bagi umat Islam.

Penerusan zaman khilafah menjadi suatu kekuatan bagi umat Islam. Kekuatan yang sangat dibimbangi oleh musuh-musuh sama ada dari luar mahupun dalam. Justeru, usaha untuk melenyapkan khilafah terus dilakukan sehingga kemuncak pada pemerintahan khilafah Uthmaniah. Usaha dalam melenyapkan khilafah turut dibantu pengkhianat agama “Mustafa kamal Attartuk”. Sejarah kejatuhan khilafah ini juga disebut sebagai sejarah kerosakan yang paling besar dalam sejarah umat Islam. Sebab itu kalau kita perhatikan, berlakunya peperangan-peperangan besar di dunia bukanlah suatu yang tidak disengajakan, akan tetapi ia suatu agenda terancang yang merugikan umat Islam.

Peperangan dunia pertama, menyaksikan peranan khilafah di atas muka bumi dilenyapkan.
Peperangan dunia kedua pula, menyaksikan bagaimana orang-orang yahudi membahagikan negara-negara umat Islam kepada jajahan mereka. Antara yang boleh kita saksikan pembahagian negara-negara Islam di Asia Barat kepada British, Perancis dan Itali melalui perjanjian Sex-vico, pembahagian semenanjung Tanah Melayu  kepada British dan Siam melalui perjanjian Bangkok, pembahagian antara kepulauan Tanah Melayu melalui perjanjian Betawi juga di negara-negara Asia Tengah yang dibahagikan Antara China dan Soviet Union.

Walaupun dapat kita lihat selepas peperangan dunia kedua, negara yang ditadbir tetap ditadbir oleh penguasa-penguasa Islam, namun aliran pemerintahan yang dibawa tetap aliran yang sama dan mesra dengan barat yang tidak suka dengan Islam, perlembagaan-perlembagaan yang dilaksanakan tidak menuruti kehendak Islam. Maka menjadi suatu kebodohan sekiranya kita mendabik dada dengan sistem dan pemerintahan yang ada sekarang. Realitinya, kita sedang berhadapan dengan proksi-proksi yang telah dibina oleh mereka  semenjak daripada peperangan dunia kedua lagi.

Penerusan kepada kehilangan khilafah ini bukanlah suatu benda yang harus dibiarkan. Janji Allah dalam al-Quran berkenaan golongan-golongan yang menjaga dan mendokong agama ini tetap ada dalam meneruskan perjuangan mempertahankan Islam.

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خالفهم حتى يأتى أمر الله
“Senantiasa ada dalam kalangan umatku yang mempertahankan kebenaran, mereka tidak dapat dimudharatkan bagi siapa yang bertentangan dengan mereka, sehinggalah datangnya janji Allah”(Riwayat Ahmad)

Sebelum kejatuhan khilafah lagi, Sheikh Jamaluddin al-Afghani berusaha dalam meng’islah’ dan memperbaiki masyarakat dan kerajaan, Sheikh Muhammad Abduh yang berusaha mempertahankan khilafah daripada jatuh, begitu juga Sheikh Rasyid Redha dan lain-lain.

Selepas kejatuhan khilafah yang melenyapkan sistem kesatuan umat Islam di dunia, maka tetap ada juga penolong-penolong agama Allah atas muka bumi ini. Kewujudan persatuan-persatuan dan parti-parti Islam di setiap negara bukanlah suatu perkara yang tidak disengajakan, akan tetapi suatu inisiatif yang timbul bagi mengembalikan semula kekuasaan khilafah yang telah terjatuh bermula dengan negara masing-masing. Ia adalah amanah yang diletakkan atas bahu setiap muslim. Jika kita hidup dengan sistem khilafah itu wajib, maka lagi-lagilah wajib kita menghidupkan sistem khilafah itu ketika mana ketiadaannya.

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Apa yang tidak sempurna kewajiban kecuali dengan adanya perkara tersebut,
maka perkara tersebut menjadi wajib”

Sejarah yang terpahat dan diingati kita pada hari ini bukanlah suatu ilmu yang hanya untuk didiskusikan dan dikenang-kenangkan, akan tetapi ia suatu kewajiban yang mesti dilaksanakan bagi setiap individu yang bergelar muslim. Fenomena sekarang adalah kita hidup di zaman kejatuhan Islam, bukan di zaman kewujudan khilafah. Maka, inisiatif yang perlu diambil bagi umat Islam bukan sahaja mengembalikan manhaj nubuwwah (نيابة عن النبوة), malah turut terpalit adalah perlu mengembalikan manhaj khilafah yang telah hilang (نيابة عن الخلافة).

Namun, dalam memahami tuntuan dan kewajiban Islam ini, jangan kita lupa musuh-musuh Allah yang juga sentiasa berusaha dalam memadamkan agama-agama Allah ini. Agenda terbesar yang berjaya meresap ke dalam pemikiran orang Islam adalah agenda “Islam tanpa politik”,“Islam tanpa pemerintahan” atau yang lebih halus lagi, ”Islam tanpa syariah”. Fahaman-fahaman seperti tidak perlu berjemaah, tidak perlu mengembalikan khilafah, tidak perlu bersama-sama dengan kesatuan Islam adalah kefahaman karut yang berlawanan dengan sunnah Allah Taala dan sunnah perjuangan para rasul. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang membawa agenda musuh Islam tanpa kita sedar.

يا أيها الذين آمنوا إن تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم
“wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan memperteguhkan pendirian kamu” (Muhammad:7)

"Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan"

MUHAMMAD SUFI B. MOHD YUSOF
PENASIHAT 
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR SESI 2014/2015