SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, April 24, 2015

DIMANAKAH LETAKNYA KEMULIAAN ? - Tinta Jumaat Siri ke - 18

Firman Allah swt :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya : “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam,Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang lebih sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Surah al-Isra’:ayat 70)


DENGAN APA MANUSIA DIMULIAKAN?

1)      ISLAM

Saidina Umar al-Khattab r.a dalam satu kalamnya yang masyhur:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فإذا ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله
- Kita adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan selain Islam, kita sebenarnya telah dihina oleh Allah:

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, 

Islam adalah agama yang sempurna. Allah menurunkan pensyariatan Islam melalui apa yang terkandung di dalam al-Quran. Manakala Rasulullah S.A.W adalah pembawa risalah kenabian tersebut. Menolak apa yang dibawa Rasulullah bererti menolak hukum al-Quran dan menolak hukum al-Quran bererti dia telah menafikan kesempurnaan Islam.

Realiti muslim pada hari ini, mengambil sebahagian hukum dan menolak sebahagian yang lain. Ada segelintir pula yang menerima al-Quran sahaja dan menolak hadis. Sedangkan sebahagian besar hukum yang terdapat di dalam al-Quran dalam lafaz yang mujmal dan disyarahkan di dalam hadis baginda S.A.W. Adakah sebenarnya mereka sedang mencabar Allah ? 

2)      PETUGAS DAIE

Firman Allah swt:
و من أحسن قولا ممن دعا إلى الله و عمل صالحا و قال إنني من المسلمين
“Dan siapa lagi yang terlebih baik perkataannya berbanding orang yang mengajak ( manusia ) kembali kepada Allah dan beramal dengan amalan yang soleh dan berkata sesungguhnya aku sebahagian dari kalangan orang – orang menyerah diri ( Islam ) “ 
(Surah Fussilat ayat 33)

Menjadi daie bukan satu pilihan bahkan ia adalah kewajipan yang mesti dipikul oleh setiap umat Islam. Tidak ramai yang sanggup memikul tugas mulia ini meskipun telah dinyatakan habuannya oleh Allah dengan ganjaran syurga. Maka persiapkan diri dengan ilmu, softskill serta qudwah yang baik agar dakwah diterima dalam memimpin mad’u.

Prinsip yang mesti dipegang oleh setiap dari kita:

عِشْ كَرِيْمًا او مُتْ شَهِيْدًا

Hiduplah dalam kemuliaan (ISLAM) dan matilah sebagai syahid (dalam perjuangan)
Di samping mempersiapkan diri menjadi mulia disisi Allah, kita turut membawa insan-insan di sekeliling agar turut bersama dengan matlamat ini. Kader dakwah akan senantiasa ada, pelapis generasi Salahuddin al-Ayyubi akan terus bersedia memegang panji kebenaran.


“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”
“Bersama Bersatu “


Disediakan oleh:
SITI NURLIANA BINTI ZAINUDIN
Timbalan Yang DiPertua II,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir  sesi 2014/2015



Khamis, April 23, 2015

RISALAH DAKWAH TERBITAN APRIL - ANDA AKAN DIDAKWAH

      ANDA AKAN DIDAKWAH
 
” Jom turun solat Jemaah kat musolla", ajak seorang rakan kepada rakannya yang lain.
"Nantilah, kalau sempat.. tak pun, jemaah kat bilik pun boleh kan?" jawab rakannya tadi.
Sedih.
Sedih mendengarkan alasan itu. Itulah hebatnya Allah Subhanahu wataa'la, hanya Dia-lah sahaja yang mampu untuk menggerakkan hati manusia seperti saya dan anda untuk menuju redha-Nya. TETAPI! Hidayah dari Allah SWT bukannya alasan untuk tidak mencari keimanan kepada-Nya.
"Jom kita puasa", kata seseorang kepada rakan karibnya.
"Hehe.. hidayah Allah tak sampai lagilah. Tak sampai seru, dah sampai nanti aku puasa la. Jangan risau, nanti aku puasa tiap-tiap hari. Huhu..", jawab rakannya dengan bersahaja. Nauzubillah.
Apakah perasaan anda, jika mendengar kata-kata seperti itu? Mungkin kemarahan akan menjelma ketika itu kan? Sabarlah dan terus bersabar. Seorang dai'e tidak kenal erti putus asa. Bukan  kejayaan yang Allah lihat, tetapi kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa itulah yang menjadi perhatian Allah SWT. Lagi dan lagi berusaha berdakwah.
TAKUT DIDAKWAH?
"Panas..panas! aku tak boleh dengar lagu-lagu nasyid ni. Aku jadi terbakar nanti" kata seorang teman kepada saya suatu ketika dahulu.

                Terbakar ke apabila mendengar ayat-ayat Allah, hanya syaitan sahaja yang akan lari bertempiaran apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT. Mengapa  apabila mendengar lagu-lagu korea dan inggeris tidak terbakar pula?. Kita sengaja meletakkan Allah itu jauh dari diri kita , kerana itu, kita sukar mendapatkan-Nya.

                Antara faktor, mengapa kita takut didakwah ialah kita berasa terpaksa dan dipaksa. Pernah suatu ketika semasa saya di sekolah menengah di tingkatan 1, warden asrama kami mewajibkan kepada semua pelajar untuk solat sunat rawatib, sesiapa yang tidak solat  atau meninggalkan solat sunat itu walau sekali pun akan didenda olehnya. Akhirnya semua pelajar akan mengikut suruhan itu walaupun dalam keadaan terpaksa.

                Bagi yang dapat menerimanya, paksaan itu lama-kelamaan akan menjadi kerelaan . Bagi yang tidak dapat menerimanya, pastinya tidak akan meneruskan ibadah ini setelah keluar dari sekolah. Di manakah silapnya? Keterpaksaan itu atau niat kita? Mungkin sebab ini juga menjadi alasan mengapa kita takut didakwah selain sebab keimanan yang nipis di dalam hati.
LAYAKKAH KITA BERDAKWAH?
" Kau pun banyak buat dosa, nak dakwah orang pula"
" Kau nasihatkan orang, tapi buat juga"
" Kita bukan Ulama, mana boleh cakap hal-hal agama ni"

                Kata-kata yang biasa kita dengar dan mungkin juga kita pernah menyebutnya. Benar,kita bukan orang a'lim ataupun ulama yang mempunyai ilmu yang menggunung  dalam bidang agama, kita insan yang dahagakan ilmu agama sebenarnya. Tetapi ilmu itu nasihat, semua yang kita tuturkan adalah dakwah.  Janganlah menyebut soal hukum yang berat-berat apabila ia bukan kepakaran kita, hanya sekadar ilmu yang kita tahu dan sebutlah berkenaan akhlak, adab dan hal-hal lain yang lebih ringan mengikut kemampuan kita.

                Firman Allah SWT:        
فذكر إن نفعت الذكرى
                Maksudnya:Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.

                Dakwah yang paling mudah ialah menunjukkan akhlak yang baik. In Sha Allah, semua mampu melakukannya. Tiada alasan untuk tidak berdakwah dan janganlah menyempitkan makna dakwah itu sendiri. Saya dan anda adalah pendakwah dan orang yang didakwah kerana ianya adalah proses mengenal  TUHAN. Nabi Musa a.s yang mempunyai kelebihan untuk bercakap terus dengan Allah SWT pun ditarbiyah oleh-Nya. Ini menunjukkan manusia perlu sentiasa didakwah, ditarbiyah dan ditazkirah.

                "Allah berfirman " Aku seperti mana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku akan bersama hamba-Ku jika di mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam khalayak ramai, Aku mengingatinya ditengah khalayak lebih ramai ( para malaikat dan seluruh makhluk). Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, aku mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku akan mendekatinya dengan berlari"                 ( hadis Qudsi Riwayat Bukhari )

                Walaupun kita tidak mahu berubah, tetapi sekurang-kurangnya  tetapkan di dalam hati kita mahu ditarbiyah dan mahukan agama. Kerana ianya pintu hidayah kepada kita. Seperti Saidina Umar r.a yang memerangi islam dan Nabi SAW, akhirnya beliau memeluk islam kerana hatinya terbuka mahukan  agama ( kisah beliau mahu mendengar ayat  Al-Quran dari adiknya). In Sha Allah, kita berada dalam kalangan hamba-hamba yang sentiasa beringat dan memperingatkan.
Wallahua'alam.


“PEMIKIRAN WASATIYAH MEMBENTUK TUNJANG UMMAH”

Hasil Karya : Nora binti Noor Rusdeen

| Lajnah Dakwah & Tarbiah |
| BKASM sesi 2014/2015 |




Rabu, April 22, 2015

KELAS SENI KHAT & KALIGRAFI KALI KE DUA


 Pada 6 April 2015 bersamaan hari Isnin yang lepas, Unit Kemahiran di bawah kelolaan Lajnah Kesenian & Sukan, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) Sesi 2014/2015 telah mengadakan Kelas Seni Khat & Kaligrafi siri yang kedua yang diadakan di Sutuh Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir. Kelas khat siri kedua ini khusus untuk pelajar ikhwah sahaja.  Tenaga pengajar untuk kelas ini ialah Ustaz Muhammad Aimi Akmal Bin Zaini, mahasiswa tahun akhir kuliah syariah. Kelas ini telah di hadiri oleh kesemua peserta yang terlibat pada kelas khat siri yang pertama dengan tambahan seorang peserta dari Badan Kebajikam Anak Wilayah Mesir sekaligus menjadikan jumlah peserta setakat ini adalah seramai 20 orang. Pada kelas siri ini, peserta di ajar cara bagaimana menulis khat yang paling bawah iaitu Khat Riq'ah. Bermula dengan menulis bentuk titik sehingga lah huruf hija'iyah yang pertama iaitu huruf Alif sehingga menepati cara tulisan yang sebenar sebelum berpindah ke huruf yang seterusnya. Kelas yang bermula pada jam seawal 6.30 pagi ini berakhir tepat jam 8:30 pagi. Semoga segala ilmu yang peserta dapat pada kelas siri kedua ini dapat di praktikkan selalu bukan hanya tertumpu pada kelas semata-mata.   Disediakan Oleh: (KHAIRUL ADHA BIN HAMDZANI) Ketua Unit Kemahiran, Lajnah Kesenian Dan Sukan, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

HARI UKHUWAH BERSAMA BERSATU 2015 (HUBB’15) SYABAB HAMASAH


ISNIN, 13 APRIL 2015, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015, telah menganjurkan Hari Keluarga BKASM yang diberi nama Hari Ukhuwah Bersama Bersatu 2015 (HUBB’15). Lebih khusus, HUBB’15 untuk ikhwah dinamakan sebagai Syabab Hamasah yang membawa maksud pemuda yang bersemangat.

            HUBB’15 Syabab Hamasah BKASM kali ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh ahli. Seramai lebih 120 orang ikhwah telah mendaftarkan diri untuk menyertai Hari Keluarga ini.

Dengan tema mengimbau zaman kanak-kanak, pelbagai aktiviti telah dirancang di peringkat pelaksana untuk mengerat ukhuwah sesama ahli. Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah acara susun selipar, galah panjang, teng-teng, ceper, batu seremban dan pelbagai lagi. HUBB’15 Syabab Hamasah ditutup dengan persembahan qasidah daripada ahli dan jamuan BBQ khas untuk semua.

Dengan tujuan untuk memberi ketenangan sambil mengukuhkan ukhuwah ahli BKASM, HUBB’15 Syabab Hamasah dilihat berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Diharapkan semua ahli dapat teruskan meribat ukhuwah yang telah terbina ini. Semoga dengan penganjuran HUBB’15 Syabab Hamasah ini mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah Taala.   

" HUBBanlillah "
" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "


Disediakan Oleh :

Muhammad Hafiz bin Rasimi
Timbalan Setiausaha Agung 1
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2014/2015


Program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together BEST ’15








Pada 7, 8 dan 9 April 2015, Badan Kebajikan Anak Selangor  Mesir (BKASM). Telah mengadakan program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15. Program telah berlangsung  selama 3 hari. Bermula dengan Ambang  BEST ’15 pada 6 april berturutan sehingga 3 hari dengan jualan pelbagai makanan dan minuman.  Bertepatan dengan objektif BEST’ 15 pada kali ini antaranya memberi ruang perniagaan kepada kepada ahli menjawa kewangan Badan Kebajikan Anak Selangor  Mesir (BKASM), serta menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam mengamalkan muamalat menurut perspektif islam.

Sepanjang Program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15 di jalankan banyak aktiviti diisi khusus kepada pengunjung. Antaranya pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Jamal Najmuddin Bin Sulaiman, Sembang  Santai bersama Badan Pengurus PMRAM dan Slot UBM (Kisah Wali). Selain itu disediakan  permainan kepada pengunjung yang datang  khusus kepada  ikhwah dan akhwat, seperti  Timbang Bola Sambil Memakai Kain Pelekat, Drum Circle, Bola Beracun dan banyak lagi.

Pelbagai pengisian yang diisi selama 3 hari Program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15 berlangsung, bukan sekadar pengunjung dapat membeli makanan dan minuman, tetapi pengisian yang berilmu juga turut memeriahkan suasana. Dengan ini pengunjung dapat memahami lebih mendalam tentang apakah itu ekonomi islam.


Tentatif pada hari ketiga menyajikan malam penutupan Program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15 yang dirasmikan oleh Pegawai Hep Selangor Al-Fadil Ustaz Muhamad Farid Bin Zainal dalam ucapan beliau, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak BEST’15 kerana telah bertungkus lumus dalam menjayakan penutupan Program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15. Majlis diserikan lagi dengan persembahan Nasyid Dan Pentomen Dari Ahli Bkasm. Maka berakhirlah Program Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15. Moga dengan usaha-usaha ini dapat menjadikan  batu loncatan kepada ahli bkasm khususnya dalam menjana pendapatan dan menjana ekonomi bkasm.

Wallahu’alam

Laporan disediakan oleh :

Ahmad Safwan Bin Muhamad Yusof,
Setiausaha ,

(Bazaria Bkasm Expo, Stand Together  BEST ’15)

Jumaat, April 17, 2015

APLIKASI SIRAH DALAM KEHIDUPAN - Tinta Jumaat Siri ke -17


    Sirah adalah putaran kehidupan yang dilalui oleh baginda Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dan para sahabat .Di dalamnya tercatat pelbagai ranjau kehidupan berhadapan dengan musuh, puak munafiq dan berbagai lagi kesusahan serta penderitaan yang dialami oleh baginda dan para sahabat yang tak dapat digambarkan dek kewarasan akal.

   Putaran kehidupan mereka sering dijadikan modal,manhaj atau diskusi baik di medan sosial dan media massa yang lain.Tidak ketinggalan bagi  para daie yg beriltizam atas jalan baginda dan para sahabat, menjadikan sirah sebagai manhaj dan bekalan di dalam melayari bahtera seorang daie.
Namun begitu, perlu ditimbulkan beberapa persolan tentang bagaimana pembacaan dan penceritaan  kisah tauladan mereka yang didengarkan di corong- corong media massa. Adakah ianya  mampu memberi kesan dalam kehidupan muslim amnya dan mahasiswa muslim khususnya ?Mengapakah masih terdapat cendekiawan barat mampu menjadikan sirah baginda sebagai satu motivasi dalam kehidupan duniawi mereka sehinggakan mereka berjaya dalam kehidupan sedangkan orang-orang Islam membaca sirah yang sama namun tidak mendapat apa-apa hasil  daripada pembacaan mereka.

   Bahkan Umat Islam hanya mengetahui tentang kesedihan Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dan turut sama bersedih atas sirah baginda dan berterusan dalam keadaan begitu sedang jiwa mereka tidak menyedari bahawa pengakhiran kesedihan baginda adalah kebangkitan yang terserap dalam jiwa seorang hamba yang menjadi pemangkin semangat untuk terus maju dalam misi memperbetulkan akidah masyarakat pada ketika itu.

Allah S.W.T berfirman :-
ولقد جاءك من نباء المرسلين
Maksudnya : 
"Sesungguhnya telah datang kepadamu wahai Muhammad akan berita para rasul yang terdahulu"
(Surah al-Anam ayat 34)

   Ayat ini turun tatkala baginda sedih terhadap apa yang dilakukan pihak musuh kepada orang-orang muslim lantas ditenangkan oleh Allah S.W.T dengan pengkhabaran kisah tentang para rasul yang terkemudian daripada baginda. Di sini kita dapat melihat peranan sirah dalam kehidupan  individu muslim baik kehidupan dalam dakwah,menuntut ilmu,politik dan sebagainya iaitu sebagai motivasi dalam kehidupan.

  Oleh kerana itu, sebagai muslim yang sentiasa membaca baik Syamail Muhammadiah,Sirah Nabawiyah Durus Wa Ibar,Siar A’lamun Nubala,Tarikh At- Thabari dan sebagainya perlu memandang sirah ini dengan pelbagai skop baik pendidikan,ekonomi, politik dan lain-lain. Ini kerana kehidupan mereka menjadi panduan untuk kita berhadapan dan mengkaji tentang pergerakan musuh,dan juga sebagai panduan kehidupan kita yang mempunyai pelbagai corak dan warna.

   Ada yang membaca kisah Nabi Yusuf Alaihisaalam namun tidak mendapat apa-apa hanya sekadar tertarik dengan penceritaan ketampanan wajah baginda sahaja.lalu mengambil ayat-ayat tertentu di dalam surah Yusuf sebagai pengamalan untuk menjadi tampan seperti baginda Yusuf Alaihissalam sedangkan solat dan amalan sunat nya yang lain entah ke mana perginya.Adakah ini hasil yang dikehendaki daripada pembacaan  sirah?

   Hentikan membaca sirah,jika ianya hanya sekadar kisah dongengan dan hikayat orang-orang lama pada diri kita. Sirah adalah sebuah ibrah. Ambillah sebanyak mungkin ibrah daripada sirah Rasulullah Sallallahualaihiwassalam dan para sahabat untuk nilai-nilai kebaikan dalam kehidupan.

“ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh :

Muhamad Nazif bin Shaari
Timbalan Yang Di-Pertua I
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir  sesi 2014/2015



Rabu, April 15, 2015

HUBB' 15 SRIKANDI ITQAN MENYATUKAN ANAK SELANGOR MESIR DARI PELBAGAI BIDANG



     
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir 2014/2015 telah mengadakan sambutan Hari Keluarga bertemakan konsep Grand Dinner dengan nama “Hari Ukhuwah Bersama Bersatu”(HUBB’15) pada 13 April 2015 yang bertempat di Sally Mall bermula pada jam 5 petang sehingga jam 10.30 malam. Kehadiran adalah seramai 200 orang ahli BKASM dari pelbagai cawangan termasuk pelajar perubatan Ain Sham, Sayyedah Zainab dan Ulum Islamiah.
      Program telah dimulakan dengan slot perasmian oleh ucapan daripada saudari Syaidatul Humaira’ bt Mohd Naim selaku Pengarah HUBB’15, seterusnya ucapan Timbalan Yang Di-Pertua II saudari Siti Nurliana bt Zainudin dan program telah dirasmikan oleh saudari Ulfatun Nadzirah bt Tugiman Razaq selaku Penasihat BKASM sesi ini. Malam Grand Dinner ini juga turut dihadiri oleh Puan Norziana bt Mohamad, isteri Pegawai Atase Pendidikan Selangor serta pimpinan perubatan, saudari Afiqah Inani bt Mohd Haslin selaku Timbalan Presiden Perubatan sesi 2015/2016 dan saudari Nur As-syuhada bt Amran selaku Naib Pengerusi II Perubatan Sesi 2015/2016.
      Program ini telah diadakan bertujuan untuk meningkatkan ukhuwah dan kesatuan yang sedia ada dalam kalangan ahli BKASM serta berterusan dalam memberikan kebajikan kepada ahli. Selain itu, sambutan Hari Keluarga ini juga bertujuan menerapkan nilai-nilai tarbiah islamiah dari segi rohani dan jasmani terhadap ahli.
     Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, antaranya makan malam, tayangan video Komuniti Rumah Sewa(KORUS), Persembahan kumpulan, Persembahan Khas daripada mutazawwijat, Nasyid Srikandi ITQAN dan acara tukar hadiah sesama ahli. Sebanyak 5 kumpulan telah melakukan persembahan yang bertemakan konsep ukhuwah,iaitu Kumpulan STELO, BG2LOVE, HUBBBEAT, I’M YOURS dan AWESOME.
     Maka dengan ini,Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir 2014/2015 mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran dan sambutan yang sangat meriah dalam kalangan ahli di samping mengharapkan seluruh ahli BKASM bersama-sama menjaga kesatuan ini dan terus kekal BERSAMA BERSATU.

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”
“Bersama Bersatu”

Disediakan Oleh :
Nor Jannah binti Omar
Setiausaha,
Hari Ukhuwah Bersama Bersatu (HUBB’15)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir 2014/2015.
    

Sabtu, April 04, 2015

PENJANAAN THAQAFAH AHLI TERUS DIPERTINGKATKAN



Pada 31 Mac dan 2 April 2015, Unit Thaqafah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015 telah mengadakan  Pembentangan Kitab dan Yaum Thaqafi yang dibentangkan oleh dua orang pengisi hebat iaitu  Ustaz Syafiq bin Sahimi, Felo Manhal PMRAM dan Ustaz Mohammad Faroaq bin Ghazali, mantan Ketua Jabatan Fasilitator BKASM.

Pembentangan kitab telah berlangsung pada 31 Mac 2015 yang disampaikan oleh Ustaz Syafiq bin Sahimi yang bertajuk Al-Fawaid Al- Makiah. Program ini telah dihadiri  seramai 200 orang dari ahli PMRAM cawangan Selangor dan tidak ketinggalan daripada PMRAM cawangan lain. Antara objektif program daurah kitab anjuran Unit Thaqafah BKASM ini adalah :
1. Memberi gambaran mengenai mabadi' setiap ilmu dan faedah mempelajarinya
2. Memberi pengenalan asas mengenai prinsip dan kaedah perjalanan Mazhab Syafie
3. Melahirkan seorang alim/asatizah yang tahu kadar dirinya.

Program di bawah unit Thaqafah diteruskan lagi pada 2 April 2015 yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Faroaq bin Ghazali yang bertajuk Pemikiran Wasatiyyah.
Kitab ini amat menarik untuk dibincangkan bersesuaian dengan isu yang melanda umat Islam di zaman sekarang. Antara objektif program Yaum Thaqafi ini adalah :-
1. Menanamkan fikrah islamiyah syumuliah kepada ahli BKASM
2. Mengkualitikan penjanaan thaqafah dan ilmiah ahli BKASM
3. Melahirkan seorang yang alim dan asatizah yang tahu kadar dirinya.

Justeru,pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih di atas komitmen yang telah diberikan oleh ahli BKASM khususnya bagi memastikan penjanaan thaqafah di setiap peringkat semakin baik. Semoga program seperti ini dapat diteruskan supaya ahli terus sedar tentang kepentingan ilmu dan thaqafah.


“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Noorain binti Harun
Timb. Setiausaha Program Daurah Kitab,
Unit Thaqafah BKASM sesi 2014/2015

Jumaat, April 03, 2015

DOKONGAN PADU KEPADA PMRAM



بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah. Pujian bagi Allah tuhan yang menguasai sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan Muhammad SAW serta para keluarga Baginda, sahabat-sahabat dan para penerus rantai dakwah sekalian.

    Atas coretan ini saya selaku Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015 (PMRAM Cawangan Selangor) ingin melafazkan takziah buat seluruh ahli dan kepimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) atas pembekuan pendaftaran PMRAM. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan ganjaran yang besar di sisi-Nya.

    Pmram merupakan satu wadah kesatuan anak-anak Melayu yang bertapak di bumi Mesir ini sejak 85 tahun keberadaannya. Dengan kapasiti umur yang matang dan ahli yang mendokong, kesatuan ini dijaga dengan rapi dan dijulang sebagai khilafah kecil yang menaungi anak-anak Melayu. Pelbagai mehnah dan tribulasi yang telah dikecapi samada pimpinannya mahupun ahli. Sejarah telah memaparkan bagaimana episod PMRAM cuba untuk diharamkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Bahkan PMRAM juga pernah melalui pengalaman dibekukan sekitar 70an yang lalu.

   Pembekuan PMRAM kali ini sepertimana yang dimaklumkan oleh Saudara Hanifulfuad bin Husin, Presiden PMRAM 2014 dalam Persidangan Khas baru-baru ini bukanlah asing buat ahli dan kepimpinannya. Bahkan ianya menjadi sebahagian daripada mehnah perjuangan sepertimana mereka-mereka terdahulu mencipta sejarah. Pasti dan pasti, PMRAM akan kembali menuju ke persada ummah dengan izin Allah SWT suatu hari nanti. Beriman dengan satu hadis nabi SAW :
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله  (رواه مسلم)
Bermaksud : Akan sentiasa ada satu kumpulan dalam kalangan umatku mereka berada di atas jalan kebenaran, tidak ada sesiapa yang mampu memudharatkan mereka sehinggalah tibanya qiamat.

   Saya mewakili kepimpinan dan ahli di peringkat PMRAM Cawangan Selangor akan terus bersama mendokong PMRAM dari pelbagai aspek dan kepentingan demi menjayakan resolusi yang telah disepakati dalam Persidangan Khas baru-baru ini. Di kesempatan ini juga saya meluahkan rasa kesal dan kecewa sekiranya di sana terdapat tangan-tangan ghaib yang cuba menjatuh dan meroboh kesatuan yang telah dibina sejak sekian lama ini. Jika benar, maka Allah adalah sebagi-baik hakim yang akan mengadili suatu masa kelak. 

  Akhir kalam daripada saya, saya menyeru seluruh mahasiswa-mahasiswi yang berada di perlembahan Nil ini mahupun yang berada di tanah air agar kita dapat bersatu dan bergandingan bahu dalam mengembalikan era kegemilangan PMRAM untuk masa akan datang. Semoga nusrah Allah bersama para pendokong kebenaran.

#kitaPMRAM
#BersamaBersatu

Anas bin Mohd Bhukhari
Yang Di-Pertua
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

(PMRAM Cawangan Selangor)